Thursday, December 31, 2015

Kenangan 2015







Berakhirnya tahun 2015 ini, umur kita juga sudah genap setahun. Andai ditoleh ke belakang, setahun hanya sekejap.

Seorang pelajar dari Yemen mengatakan masa-masa yang dilaluinya di Malaysia sangat singkat. Tempoh dua bulan seolah-olah seperti dua tiga minggu sahaja. Beliau masih ingat dengan jelas suasana mendaftarkan diri sebagai pelajar universiti sedangkan ketika ini sudah hampir semester kedua. Hari-hari yang dihadapi dirasakan sangat singkat. Juah beza dengan keadaan di Yemen, satu hari rasanya sangat perlahan untuk dilalui.

Bagi mereka yang membuat azam tahun 2015, sudah tentu dapat menilai sejauh mana pencapaian mereka. Mungkin ada yang telah mencapai sasarannya lebih awal dan ada yang mencapainya tetapi tidak berpuas hati. Mungkin juga ada yang enggan meneruskan azam kerana pelbagai sebab.

Contohnya azam yang terkandas adalah keinginan hendak kurus. Oleh kerana disiplin yang teruk, azam menjadi kurus terpaksa ditangguhkan.

Menilai pencapaian azam merupakan ciri-ciri orang yang cemerlang kerana mereka ini mahu mengetahui sejauh mana perubahan yang dilalui. Selepas berpenat lelah berusaha dan berikhtiar, kemajuan dalam memenuhi azam boleh menyuntik keinginan untuk membentuk azam yang lebih besar dan mencabar.

Contohnya, mereka yang mempunyai tabiat yang paling sukar ditingggalkan iaitu merokok. Fatwa terhadap merokok telah lama dikeluarkan tetapi masih tetap sama kepada perokok. Walaupun harga rokok semakin mahal, perokok tetap juga membelinya. Apatah lagi di pasaran terdapat pelbagai pilihan termasuk rokok seludup. Walaupun perokok berazam mengurangkan dan meninggalkan terus amalan merokok, ia gagal sama sekali kerana terdapat pelbagai faktor dalaman dan luaran.

Termasuk juga dalam kategori ini ialah vep. Walaupun difatwakan haram masih ada yang tidak mengendahkannya kerana ada negeri yang memberikan lesen berniaga.

Tahun 2015 telah menjadi sejarah. Ia tidak akan berulang, hanya menjadi memori yang dikongsi dalam media sosial sebagai kenang-kenangan. Pada saya, tahun 2015 meninggalkan kenangan yang sedih-sedih kerana dua orang rakan lama telah kembali ke rahmatullah.

Pertama, Raja Roslan, seorang pensyarah dan aktivis kumpulan sekerja. Kematian beliau selepas dua bulan hari raya puasa disebabkan kompilasi kencing manis. Kepada allahyarham, kita hadiahkan al fatihah, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.

Kedua, Zainal Ardi, seorang pengamal perubahan homeopati di Brunei. Allahyarham berasal dari Melaka dan bekerja di Klinik Hasbu, Kampung Bunut sejak awal tahun 1990-an. Bertemu jodoh dengan wanita Filipina dan mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki. Anaknya yang sulung, Umairah, pernah belajar membaca di Pusat Membaca Cepat yang ketika itu beroperasi Tadika Alif, Bunut. Umurnya 50-an tahun dan meninggal ketika waktu subuh. Saya menerima mesej dari rakan saya, Mamit yang memaklumkan berita berkenaan. Kepada allahyarham juga, kita sedekahkan al fatihah.

Tabiatnya yang paling saya kenang ialah suka belanja makan. Biasanya selepas bekerja sama ada petang atau malam, beliau akan menelefon saya untuk menemannya makan. Tempat biasa kami makan ialah sekitar Jalan Tutong atau Jangsak. Beliau percaya kalau banyak belanja orang makan rezekinya akan bertambah.

Sepanjang bekerja di Brunei beliau dapat menyiapkan sebuah rumah cita rasa Brunei di Kuala Sungai Baru, Melaka.

Saya yakin ada dalam kita yang kehilangan rakan-rakan, saudara-mara dan sahabat-handai kerana pelbagai sebab. Mudah-mudahan mereka ditempat dalam kalangan orang-orang soleh.

Tahun 2015 juga menjadikan kita sebuah bangsa yang berani berfikir dan bertindak. Dalam keadaan ekonomi yang “sejuk”, keadaan nilai ringgit kurang berdaya dan kos hidup semakin meningkat, orang Malaysia mungkin sedang berfikir untuk memilih pimpinan baru supaya keborosan hidup pemimpin sedia ada dapat dihentikan, supaya generasi muda berani mengambil risiko dan mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang disenangi.

Selamat tinggal 2015, selamat tinggal kenangan dan yang baik daripada Allah, semua yang salah dan silap adalah kesilapan kita sendiri.



Post a Comment