Tuesday, December 29, 2015

Persepsi pelancong terhadap industri pelancongan di Melaka










1.0  Pengenalan

Perkataan “tourism” datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran”.
           
Seterusnya, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari”. Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya. World Tourism Organization mengatakan pelancongan merujuk kepada, “aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya”.

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti sistem perkembangan pelancongan di Melaka, mengkaji persepsi masyarakat  Melaka terhadap kedatangan pelancongan ke Melaka serta pandangan pelancong terhadap industri pelancongan di Melaka, mengkaji kaedah mempromosi pelancongan Melaka di dalam dan luar negara dan mencadangkan penambahbaikan pelancongan di Melaka.

1.2  Kepentingan Kajian

Kajian ini amat penting bagi mengenal pasti apakah faktor-faktor yang mempengaruhi sistem pelancongan di Melaka. Antaranya adalah mengetahui sejauh mana sektor pelancongan mempengaruhi ekonomi Melaka, mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi sektor pelancongan Melaka, mengkaji persepsi masyarakat tempatan terhadap kedatangan pelancongan ke Melaka, mengenal pasti sistem perkembangan pelancongan di Melaka dan mengkaji kaedah mempromosi pelancongan Melaka di dalam dan luar negara.

1.3 Limitasi Kajian

Kajian ini bertumpu sepenuhnya di Melaka. Kawasan kajian meliputi Bandar Hilir,Ayer Keroh, kawasan perumahan sekitar Bukit Beruang dan kawasan penempatan pelajar-pelajar UTeM. Tempat-tempat ini dipilih kerana salah satu faktornya adalah ianya menjadi tempat tumpuan pelancong-pelancong khususnya Bandar Hilir.

Di samping itu juga, kajian dihadkan kepada responden yang berumur 20 tahun dan ke atas. Ini adalah kerana faktor umur yang menyatakan kanak-kanak adalah di bawah jagaan ibu bapa masing-masing dalam melakukan aktiviti melancong. Kajian ini juga meliputi pelajar dan orang awam yang mempunyai pekerjaan yang telah dikategorikan sebagai pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Untuk melaksanakan kajian ini, sebanyak 30 borang soal selidik telah diedarkankan secara rawak. Borang soal selidik ini merangkumi soalan-soalan yang berkaitan dengan industri pelancongan di negara kita. Hasil dapatan daripada borang soal selidik ini kemudian dianalisis bagi mendapatkan data yang akan diguna pakai dalam kajian ini.


2.0 Kajian Literatur

Industri ialah satu segmen ekonomi yang menghasilkan barangan. Perkataan “industri” berasal dari perkataan Latin industrius yang bererti tekun atau rajin. Industri ialah penghasilan barang atau perkhidmatan dan merupakan aktiviti ekonomi yang memproses bahan mentah menjadi barang siap atau menyediakan perkhidmatan.

Terdapat empat sektor dalam industri, pertama: industri pengumpulan bahan mentah secara besar-besaran seperti perlombongan dan pertanian; kedua: merangkumi pembinaan dan penghasilan; ketiga ialah industri yang berkaitan dengan perkhidmatan (undang-undang dan ubat-ubatan) dan pengedaran bahan siap; sektor yang keempat ialah industri pengetahuan yang memberi fokus kepada penyelidikan dalam bidang teknologi, rekaan dan pembangunan seperti pengaturcaraan komputer dan biokimia. Sektor kelima ialah aktiviti yang tidak memberi keuntungan.

Pelancongan merujuk kepada aktiviti melawat, melancong atau mengembara ke sesuatu tempat lain yang melebihi lima puluh batu dari tempat kediaman tidak lebih dari satu tahun untuk tujuan rekreasi atau mengisi masa lapang. Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia, iaitu salah satu badan PBB, pelancongan juga merujuk kepada aktiviti perkhidmatan kepada pelancong. Pelancongan telah menjadi aktiviti masa lapang yang popular di seluruh dunia.

Di Melaka, industri pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan utama negeri. Ini adalah kerana Melaka mempunyai daya tarikan tersendiri seperti peninggalan sejarah, pembangunan bandaraya, ekosistem menarik dan taman tarikan pelancong. Hal ini menjadikan sektor pelancongan sebagai manpan dalam perkembangan ekonomi.

Menurut akhbar Utusan 23 Dis 2011, Industri pelancongan di negeri ini mencipta sejarah tersendiri apabila meraih empat daripada 11 Anugerah Pelancongan Malaysia 2010/2011. Empat kejayaan tersebut adalah apabila  HOtel Holiday inn muncul pemenang kategori perkhidmatan hotel terbaik, Shaukani Abbas bagi Pemandu Pelancong Terbaik, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Hotel Naza Talya menerusi kategori Program Jelajah Terbaik. Manakala Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka pula menerima anugerah bagi kategori Tarikan Pelancongan Inovatif. Kejayaan itu membuktikan industri pelancongan di negeri ini mendapat pengiktirafan daripada seluruh rakyat di negara ini. Menurutnya, pencapaian terbaik itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada pengusaha produk pelancongan dan sekali gus mengharumkan nama Melaka dalam industri pelancongan

Sub sektor Industri Pelancongan merupakan pembahagian sektor industri pelancongan bagi mengenal pasti asas-asas dalam perkembangan industri ini. Namun dalam kajian ini, keutamaan diberi kepada perkara-perkara yang khusus menyumbang daya penarik industri pelancongan di Melaka.

Peninggalan Sejarah. Melaka memiliki tempat-tempat yang bersejarah serta identiti yang terkenal sebagai negeri bersejarah. Muzium-muzium, makam hulubalang dan replika gergasi seperti kapal selam serta bahtera Portugis merupakan contoh tumpuan Melaka dalam sektor peninggalan sejarah.

Ekosistem. Dari segi ekosistem, Melaka memiliki kedua-dua jenis ekosistem iaitu ekosistem buatan dan ekosistem asli. Di Melaka, ekosistem lebih tertumpu pada pantai kerana kekurangan hutan simpan. Dalam sektor ekopelancongan telah menyumbang sebanyak 10% keuntungan dalam industri pelancongan di seluruh negara.

Pembangunan. Seni rekabentuk bangunan di Melaka memiliki ciri-ciri yang unik. Umpanya, bangunan kedai lama, masjid cina dan bangunan Belanda. Selain itu, perencanaan pembandaran juga menarik seperti MITC, Melaka Raya, Kota Fesyen dan pengaplikasian Bandaraya Teknologi Hijau.

Tarikan Pelancongan. Terdapat banyak tempat dan taman menarik yang ada di Melaka yang menjadi tumpuan pelancong. Hal ini sangat efektif dalam industri pelancongan, antaranya adalah zoo Melaka, Menara Taming Sari, Ayer Keroh Wet World, Butterfly Farm dan lain-lain.

Perkhidmatan. Perkhidmatan istimewa menjadi satu tarikan yang baru bagi pelancong. Kerana perkhidmatan ini mampu menjadi satu identiti dan membuatkan pelancong teringin merasai pengalaman itu. Di Melaka terdapat beberapa perkhidmatan buat pelancong iaitu, beca, river cruise dan duck boat.

Sektor Perniagaan. Pelancong mempunyai motif melancong yang berlainan. Dalam kes tertentu, kemudahan membeli-belah telah dibangunkan sebagai satu motif utama melancong. Oleh itu, pembangunan dari segi tarikan kemudahan membeli-belah telah menjadi satu alat yang penting untuk mempromosikan pelancongan. Beberapa tempat yang berjaya mendapat sambutan adalah Dataran Pahlawan (Time Capsule), Jonker Walk, Mahkota Parade dan Pasar Malam Uptown Melaka.

Manfaat adalah profit atau kebaikan yang boleh diperoleh dengan menggunakannya atau mengamalkanya. Manfaat industri pelancongan akan ditumpukan pada penduduk tempatan sahaja. Industri pelancongan mampu mempromosikan identiti dan imej tersendiri bagi sesuatu Negara. Identiti dan imej itu disebut sebagai kebudayaan. Budaya yang baik mampu  memberikan pandangan positif masyarakat luar dan sekaligus mempromosi negara kita. 

Industri pelancongan melibatkan promosi dan daya tarikan yang tinggi tetapi hasilnya sangat lumayan dan mampu menarik pelabur-pelabur luar sekiranya tempat itu meyakinkan. Namun, tumpuan utama adalah pendatapan jangka panjang iaitu menarik kedatangan pelancong. Kedatangan pelancongan akan meningkatkan pertukaran wang sekaligus meningkatkan ekonomi negara. Masalah umum yang berlaku dalam industri pelancongan, sama ada member kesan pada penduduk tempatan atau pelancong.

Mengikut Murphy (1985) pembangunan pelancongan harus menemui keseimbangan keperluan antara residen (individu dan peniaga) dan pelancong. Hal ini menunjukkan bahawa residen itu sendiri harus sedar akan kepentingan dalam menampilkan perspektif yang baik kepada pelancong dan tidak mengambil kesempatan kepada mereka. Kesesakan lalu lintas akan memberi kesan yang negatif pada pengalaman pelancong. Kes ini terjadi di Jakarta yang memegang rekod bandar raya paling sesak di dunia. Perencanaan bandar adalah sangat penting bagi mengelak kesesakkan lalu lintas.

Di sesetengah negara, terdapat amalan yang negatif menyebabkan masyarakat luar takut untuk ke negara tersebut. Contohnya, di Amsterdam, dadah kanabis boleh dihisap secara terbuka oleh penduduk tempatannya menjadikan ia bandar yang tidak sesuai untuk dilawat kerana dikhuatiri budaya itu mampu menular kepada pendatang.

Pada era modern ini, media sering menjadi perantaraan maklumat sehinga mampu mencorak perspektif sama ada buruk atau baik, yang benar atau palsu. Hal ini terjadi di Amerika yang mana rata-rata penduduknya memberi perspektif yang buruk pada umat Islam kerana medianya yang telah memacu perspektif yang salah itu. Hal ini, merugikan semua negara Islam di dunia ini.

Secara umumnya, manusia sentiasa mahukan keselesaan dan keselematan terjamin. Oleh itu, negara-negara yang disenarai hitam harus dielak oleh pelancong bagi menjamin keselematan diri sendiri. Di negara kita, perhimpunan bersih 2.0 dan 3.0 telah memberikan satu impak yang besar dari segi mentaliti penduduk tempatan serta masyarakat luar.


3.0  Metodologi Kajian

Metodologi kajian adalah meliputi cara, kaedah dan pendekatan yang digunakan untuk mencapai objektif dan matlamat kajian. Perancangan metodologi mestilah dilakukan secara teratur. Strategi yang digunakan adalah melibatkan kerja–kerja untuk mendapatkan maklumat dan data melalui kaedah temubual kepada responden berdasarkan borang soal selidik. Metodologi kajian ini juga dilakukan dengan mengambil kira pandangan serta pendapat sesebuah pihak.

3.1 Reka bentuk kajian

Dalam konsep reka bentuk kajian, iamenyatakan jenis kajian yang dijalankan. Jenis reka bentuk yang dijalankan ialah persepsi, pandangan dan perbandingan yang dijalankan ke atas pelancong. Jenis kajian ini merangkumi persepsi para pelancong yang mengunjungi Melaka. Pandangan para pelancong terhadap sektor pelancongan Melaka sama ada baik atau sebaliknya. Perbandingan pelancongan yang datang melancong juga diambil kira kerana telah banyak mempengaruhi ekonomi, sosial dan budaya sesebuah negara.

3.2 Populasi kajian

Populasi kajian yang dijalankan adalah mengikut bilangan keseluruhan kawasan kajian kawasan tumpuan pelancong dan penduduk tempatan. Kajian ini dijalankan di Bandar Hilir, muzium dan tempat-tempat menarik di Melaka. Kajian dijalankan di sekitar daerah ini disebabkan terdapat banyak pelancong yang datang ke sini kerana banyak bangunan tinggalan sejarah dan pusat membeli-belah yang mampu menarik daya pelancong untuk datang.

3.4 Sampel kajian

Pemilihan Sampel kajian  mewakili jumlah seluruh populasi kajian mungkin separuh atau lebih dari jumlah populasi kajian. Pemilihan ini dijalankan secara rawak. Ini untuk memudahkan kajian dijalankan dan dilaksanakan dengan lancar.

3.5 Instrumen kajian

Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah borang soal selidik. Pengedaran borang soal selidik dilakukan berdasarkan majoriti pelancong di sesuatu kawasan. Kawasan sekitar Bandar Hilir amat sesuai kerana ia menjadi kawasan tumpuan pelancong.

Ujian  rintis dilakukan sebelum melakukan kajian sebenar. Melalui ujian rintis ini, pengkaji berpeluang untuk memperbaiki soalan yang kurang sesuai dengan menambahkan soalan yang bersesuaian. Pengkaji perlu melihat dahulu tahap keboleh percayaan item set soal selidik sebelum melakukan kajian sebenar. Menurut Mohd Majid (1999), tahap keboleh percayaan yang boleh diterima dalam membina set soal selidik ialah 0.8 ke atas manakala saiz sampel untuk kajian rintis memadai 10 hingga 50 orang sahaja serta mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kumpulan sebenar yang digunakan dalam kajian. Dalam kajian ini pengkaji telah memilih seramai 30 orang sebagai sampel.

3.6 Kaedah mengumpul data

Dalam kajian ini data dihimpunkan melalui soal selidik. Setiap respon yang diberikan oleh responden dikumpul bagi menilai keberkesanan soal selidik yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Setiap soal selidik dihimpun dan diasingkan mengikut respon yang diberikan oleh responden sebelum dianalisis.


4.0 Hasil Kajian

Tujuan dari penelitian ini adalah untuk mendapatkan informasi awal tentang penerimaan penduduk tempatan dan pandangan pelancong di Melaka tentang sector pelancongan di Melaka. Informasi ini diperolehi daripada hasil soal selidik yang berjaya dikumpul. Pelancongan adalah aset ekonomi yang terbesar di Melaka. Justeru itu, kadar pelancong yang datang di Melaka makin meningkat setiap tahun.

Daripada hasil kajian kami, didapati bahawa pelancong yang datang berpuas hati tentang dasar pelancongan di Melaka tetapi ada juga yang tidak berpuas hati berdasarkan perkara yang tertentu. Pelancong amat berpuas hati tentang perancangan bandar, perkembangan aspek bangunan, kebersihan dan kemesraan penduduk tempatan manakala pelancong yang tidak berpuas hati adalah berdasarkan kesesakan lalu lintas, kemudahan awam dan perkembangan aspek sosial.

Perancangan bandar di Melaka yang pesat membangun yang juga melibatkan perkembangan aspek bangunan adalah sejajar dengan Melaka Maju 2010. Masyarakat luar yang berpindah dan terus menetap di Melaka kerana dapat bekerja di sini atas aspek keselamatan di Melaka dan taraf hidup yang sederhana. Rumah di Melaka juga jauh lebih murah berbanding negeri-negeri lain terutamanya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Dari aspek kebersihan pula, Melaka sangat menitikkan kebersihan di bandar dan di setiap kawasan perkampungan. Di samping itu juga landskap dan tumbuhan sangat dititik beratkan kerana pekerja-pekerja MBMB ditugaskan untuk menyiram tumbuhan di sekeliling jalan raya.
Orang Melaka terkenal dengan bahasanya yang agak kasar tetapi masyarakatnya adalah sangat baik hati dan peramah. Kajian mendapati bahawa ramai respondan yang bersetuju bahawa orang Melaka sangat mesra. Bagaimanapun kesesakan lalu lintas di Melaka sangat teruk di bandar kerana tumpuan pelancong tempatan dan pelancong asing tertumpu di sana. Melaka terkenal dengan negeri yang masih mengekalkan bangunan-bangunan yang lama kerana Melaka merupakan banda rraya yang bersejarah. Oleh itu, jalan-jalan di bandar terutamanya di Bandar Hilir tidak boleh dibesarkan kerana bangunan-bangunan bersejarah dan momen-momen lama perlu dikekalkan.

Kemudahan awam di sini juga tidak begitu memuaskan kerana bas awam hanya melalui jalan-jalan yang tertentu sahaja dan ini amat menyukarkan pelancong yang tidak berkenderaan kerana perjalanan mereka terhad kepada sesuatut empat. Kemudahan LRT juga tidak terdapat di sini seperti negeri-negeri membangun yang lain. Pada masa yang sama, perkembangan aspek sosial tidak berada pada tahap yang memuaskan kerana pembangunan yang terlalu memfokuskan kepada pelancongan juga telah menimbulkan konflik guna tanah di kawasan kajian dan akhirnya mengakibatkan ketiadaaan medan atau tempat untuk mempromosikan dan mempamerkan sesuatu warisan budaya.

Implikasi kajian ini adalah untuk mengetahui tentang destinasi percutian yang wajib dilawati di Malaysia dan ramai yang mengatakan Melaka dan kajian ini amat menepati slogan melawat Melaka bererti melawat Malaysia. Umum mengenali Melaka melalui elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba-Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia. Secara keseluruhannya, Melaka amat kaya dengan pelbagai sumber jaya yang merangkumi sumber jaya warisan kebudayaan, semula jadi dan buatan manusia. Sebahagian besar sumber jaya telah diketengahkan sebagai produk pelancongan Melaka.

Dalam Laporan Teknikal Rancangan Tempatan Daerah Melaka Tengah (2000-2015) dijelaskan bahawa terdapat 12 subsektor dalam konteks pelancongan di Melaka. Setiap subsektor ini telah dikenal pasti mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri dalam menarik kedatangan pelancong ke Melaka. Subsektor tersebut ialah pelancongan warisan, pelancongan kebudayaan, pelancongan rekreasi (ekopelancongan), pelancongan sukan, pelancongan membeli-belah, pelancongan konvensyen, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan makanan, pelancongan tani dan program “My Second Home”.

Kajian ini menyimpulkan bahawa ramai yang memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan di Malaysia kerana keunikan bandarnya yang masih mengekalkan sejarah dari segi bangunan dan landskap dan ini amat menepati slogan “Melawat Melaka bererti melawat Malaysia”.


5.0  Kesimpulan

Industri pelancongan di Melaka ini sangat memberikan kebaikan kepada banyak pihak. Ia bukan sahaja diterhadkan kepada penduduk di Melaka tetapi seluruh rakyat Malaysia menikmati hasilnya. Aspek yang terpenting dalam pelancongan di melaka adalah aspek sejarah dan warisan. Melaka dikenali sebagai tempat yang kaya dengan sejarah serta warisan. Inilah yang tidak terdapat di mana-mana tempat serata dunia. Para pelancong mempunyai matlamat yang sama datang ke Melaka iaitu mahu melihat kesan dan mendengar cerita tentang sejarahnya. Pelbagai kaum yang tinggal di Melaka ini telah membentuk banyak budaya yang berlainan identiti. Percampuran bangsa melalui perkahwinan membentuk budaya yang baru hasil gabungan beberapa budaya. Pembangunan di negeri ini juga sentiasa dikawal bagi memastikan warisan dan keaslian pemandangan tidak terjejas dengan kerancakan pembangunan.

Menyedari kemasukan pelancong yang ramai, pihak kerajaan negeri tidak hanya memfokuskan kepada satu aspek pelancongan semata-mata. Pelbagai cabang pelancongan diwujudkan sehingga menjadi 12 subsektor  pelancongan utama di Melaka. Pelancongan warisan dan kebudayaan adalah dua daripadanya. Ini akan menambahkan pilihan para pelancong dan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. Keramahan penduduk tempatan juga menjadi faktor perkembangan industri pelancongan di Melaka ini. Dalam usaha menjadikan Melaka sebagai sebuah lokasi pelancong terbaik dunia, ianya memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, khususnya pihak kerajaan dan penduduk tempatan.

Kesesakan yang berlaku di Melaka ini bukanlah bersifat kekal. Ianya terjadi ketika cuti hujung minggu, musim cuti sekolah ataupun cuti-cuti umum lain. Jaringan jalan raya di Melaka dilihat bersistematik. Namun tidak dapat menampung jumlah kedatangan para pelancong yang datang. Jaringan jalan raya ini hanya direka khas untuk penduduk tempatan berdasarkan kepada saiznya yang kecil dan melalui lorong-lorong bangunan. Dicadangkan agar satu jadual direka untuk penduduk tempatan keluar menjalankan aktiviti. Sebagai contoh kesesakan biasanya berlaku pada musim cuti sekolah, jadi penduduk tempatan dinasihatkan keluar pada waktu yang tidak sesak seperti awal pagi untuk menjalankan urusan harian.

Secara keseluruhan, kajian ini memperlihatkan sikap keterbukaan yang diamalkan oleh masyarakat Melaka. Para pelancong yang hadir juga memberikan maklum balas yang positif terhadap industri pelancongan di negeriini. Sikap keterbukaan yang dimiliki oleh masyarakat Melaka ini memberikan kesan yang cukup besar kepada perkembangan industri pelancongan. Dengan sikap keterbukaan inilah sesebuah kemajuan dapat dikecapi tidak kira apa pun perkara yang dilakukan. Bukan mudah untuk berkongsi segala kemudahan dan kehidupan dengan masyarakat luar apatah lagi warga asing. Kebanjiran para pelancong yang datang ke Melaka sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian penduduk tempatan di Melaka ini, antaranya kesesakan jalan raya, kerenah pemandu luar, kemudahan awam seperti bas yang sesak, sampah yang dibuang pelancong di hadapan rumah mereka dan banyak lagi. Namun masyarakat Melaka menyedari kehadiran para pelancong ke tempat mereka membawa seribu rahmat.

Mengikut statistik, industri pelancongan di Melaka ini berada di tempat yang kedua selepas industri pembuatan. Dasar kerajaan yang memerintah memainkan peranan yang paling penting dalam menentukan hala tuju sesebuah kawasan yang diperintah. Melihat banyak sejarah yang dimiliki oleh negeri Melaka, industri pelancongan di Melaka ini diangkat menjadi sumber kedua terbesar pandapatan negeri. Perkembangan industri pelancongan ini dilihat sungguh pesat selepas pengisytiharaan melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008 yang lalu. Pelbagai kemudahan perancangan dan kaedah mempromosi telah dibentang dan dilaksanakan. Ini secara tidak langsung menguntungkan penduduk tempatan kerana peluang pekerjaan telah bertambah sama ada bekerja dengan kerajaan ataupun memilih untuk bekerja sendiri. Slogan “melawat Melaka bererti melawat Malaysia” dilihat tepat kerana Melaka kaya dengan adat dan warisan bangsa-bangsa yang terdapat di Malaysia.



Rujukan

Jabatan Perancang Bandar dan Desa. (2005). Kajian Awal Pengekalan Kawasan Warisan Budaya. Kuala Lumpur, Tidak Diterbitkan.

Kris, E. (1996). Heritage tourism, di halaman internet www.nwhf.no/

Majlis Bandaraya Melaka Bandaraya Bersejarah. (2000). Laporan pemerkasaan rancangan struktur Negeri Melaka (2000-2020). Melaka, Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Nurhazni. (2004). Bisnes pelancongan. PT.

PERZIM. (2002). Endegered Craft. Melaka.

Rumah Media Melaka

Unesco, 1975: Conservation of the cities. Paris: Unesco Press.


MZ Zainudin, Muhammad Aidil Adnan, Abdul Muhaimin Mohd Yusri, Mohd Khairul Faiq Mohd Khairi, Shariful Redzuan Naquiddin Abdullah, Muhammad Hazrul Mohd Norddin


Post a Comment