Tuesday, December 22, 2015

Adat dan pantang larang masyarakat Cina di Malaysia








1.0 Pengenalan

Dalam kajian ini, masyarakat Cina di Malaysia telah dipilih sebagai subjek kajian. Ruang lingkup kajian ini meliputi adat dan pantang larang semasa perayaan, perkahwinan dan kematian. Secara umumnya, masyarakat Cina merujuk kepada sekumpulan orang yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan cara-cara dan peraturan-peraturan tertentu yang mana identiti orang Cina itu sendiri boleh didefinisikan sebagai suatu situasi mental dan emosi orang Cina ketika mereka berhubung dengan subjek luaran di alam sosial mereka. Manakala pantang larang sesuatu kaum adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik setiap insan tidak kira tua atau muda ke arah yang lebih baik. Kebanyakannya bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.


2.0 Sorotan Kajian

Secara ringkasnya, orang Cina di Malaysia ialah orang Cina luar negara yang menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka berketurunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Di Malaysia, secara lazimnya kaum ini dirujuk sebagai orang Cina dalam semua bahasa.

Masyarakat Cina di Malaysia mengekalkan identiti komuniti yang amat ketara bezanya dengan kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama dan budaya. Hal ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan beragama Islam untuk memeluk agama pasangannya. Kebanyakan orang Cina Malaysia menganggap "kecinaan" mereka sebagai satu identiti etnik, budaya dan politik.

Etnik Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek. Terdapat enam kumpulan dialek utama iaitu Hakka, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan Hokchiu. Adalah terbukti bahawa orang yang tergolong dalam golongan suku dialek tertentu tertumpu dalam bahagian komuniti berbeza di Malaysia.

Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Berdasarkan kajian lapangan kami, terdapat pelbagai permasalahan yang menjadi tanda tanya berkenaan adat dan pantang larang masyarakat Cina di Malaysia ini. Menurut Wynne (2002), budaya Tahun Baru Cina merupakan adat dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina semasa Tahun Baru Cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul untuk hidangan malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya. Namun, adakah remaja-remaja kini mengetahui makna sebenar bagi menyambut Tahun Baru Cina atau Tahun Baru Cina hanya merupakan salah satu peluang cuti am untuk rehat atau pergi melancong dalam atau ke luar negara sahaja bagi mereka?

Selain itu, adakah remaja-remaja kini memahami fungsi atau makna sebenar mengapa ibu bapa atau orang tua memberi angpau hanya merupakan satu peluang untuk mereka memungut duit raya tanpa menyedari fungsi sebenar di sebaliknya? Adakah mereka memahami mengapa Tahun Baru Cina dirayakan dan asal usul kedatangan Tahun Baru Cina dan bagaimana generasi kini mengamalkan dan menjalankan budaya Tahun Baru Cina, adakah mereka mengikut tradisi lama atau tidak mempedulikannya?

Justeru itu, semua persoalan yang menjadi tanya ini telah dirumuskan melalui satu kajian lapangan agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut apakah adat-adat dan pantang larang serta bagaimana pelaksanaannya oleh masyarakat Cina, dan juga mengkaji cabaran-cabaran orang muda dalam mematuhi pantang larang tersebut.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik. Oleh yang demikian, borang soal selidik telah dihasilkan bagi menguji kefahaman masyarakat tentang adat dan pantang larang masyarakat Cina di Malaysia. Kajian dijalankan di sekitar kawasan Batu Berendam, Melaka serta Kampus Teknologi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Borang soal selidik diagihkan secara rawak kepada responden Cina tidak kira golongan muda ataupun tua. Jumlah responden seramai lima orang iaitu empat untuk soal selidik dan seorang untuk temu bual. Selepas itu, borang soal selidik dikumpulkan untuk analisis seterusnya. Responden berumur dalam lingkungan 20 tahun dan ke atas.


4.0 Dapatan Kajian


Soalan 1: Bagaimanakah pelaksanaan kematian mengikut agama
dalam masyarakat Cina?


Berdasarkan  soalan pertama, menurut kelima-lima responden, pelbagai cara pelaksanaan yang dilakukan sewaktu kematian. Antaranya ialah apabila berlaku kematian, kebanyakan responden memberitahu bahawa mayat akan dibakar dan kemudiannya diletakkan di tokong. Upacara kematian yang melibatkan penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung selama tiga hingga tujuh hari. Hal ini bagi membolehkan sanak saudara dan rakan taulan memberi penghormatan terakhir di samping menghadiri upacara pengebumian. Selain itu, mereka juga percaya bahawa roh itu akan datang semula ke tokong untuk melihat ahli keluarganya.

Menurut responden pertama iaitu Encik How, beliau ada menyatakan bahawa tidak semua mayat akan dibakar kerana terdapat kes si mati memberitahu bagaimana mayatnya harus disemadikan. Contohnya sebelum meninggal, si mati akan terlebih dahulu menulis satu wasiat kepada keluarganya tentang cara pengurusan mayatnya. Selalunya mereka akan meminta mayat dibakar kemudian diletakkan di tokong. Ada sesetengah mayat tidak dibakar sebaliknya diletakkan di dalam keranda.

Golongan muda juga maklum perkara ini dan ingin meneruskan amalan itu dengan mayatnya dibakar dan abunya diletakkan di tokong atau diletakkan di dalam keranda.


Soalan 2: Apakah pantang larang dan adat semasa kematian dalam masyarakat Cina?


Berdasarkan soalan kedua, menurut responden yang lebih tua iaitu Encik Cheam, selepas majlis pengebumian, ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat biasanya diberikan seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah sebagai tanda terima kasih. Warna merah itu warna yang membawa nasib baik dan menghalang hantu syaitan yang cuba membuat kacau. Menurut Abum Anas (2013), sumbangan wang dalam sampul putih biasanya disampaikan kepada keluarga si mati oleh mereka yang datang menziarahi. Jumlahnya pula perlu berupa wang dalam bentuk angka yang ganjil. Selain itu, pakaian kaum Cina sewaktu pengebumian ialah berwarna putih, hitam atau kelabu. Warna lain tidak digalakkan apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dipakai semasa kematian.

Soalan ini juga ditujukan kepada responden yang muda iaitu adakah mereka masih mengamalkan adat memberi benang ini. Ketiga-tiga responden muda menjawab mereka kurang pasti tentang adat memberi benang ini. Berdasarkan pemerhatian ini, konklusinya generasi muda zaman sekarang sudah kurang mengamalkan adat memberi benang ini. Manakala pakaian berwarna putih, kelabu atau hitam masih diteruskan jika berlaku kematian.


Soalan 3: Bagaimanakah cara masyarakat Cina mengamalkan adat dan pantang larang semasa menyambut sesuatu perayaan?


Berdasarkan soalan yang ketiga, kesemua responden berkata bahawa perayaan kaum Cina agak sama dengan perayaan kaum Melayu. Pada hari raya pelbagai makanan yang disediakan dan dihidangkan kepada tetamu yang akan datang. Selain itu, saudara mara akan datang ke rumah untuk meraikan hari perayaan Tahun Baru Cina. Pada hari perayaan, orang yang lebih tua akan memberi duit raya kepada orang yang lebih muda. Duit ini dipanggil angpau. Pemberian angpau adalah untuk melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam restu untuk kehidupan makmur serta untung nasib yang baik sepanjang tahun.

Menurut Abum Anas (2013), pada tahun baru juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina iaitu limau. Juga menjadi amalan baik untuk membawa dua atau empat biji limau mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah oleh tetamu semasa menziarahi pada perayaan tahun baru. Pemberian limau itu diibaratkan sebagai pemberian emas. Hal ini kerana dalam bahasa sukuan Cina kantonis, nama atau sebutan untuk limau menyerupai nama atau sebutan untuk emas. Di samping itu, semasa perayaan kaum Cina mereka digalakkan memakai baju yang terang seperti merah kerana warna merah dikatakan membawa tuah kepada mereka.

Pantang larang semasa perayaan ialah mereka dilarang menyapu sampah semasa hari raya. Menurut responden seterusnya iaitu Encik Goh, semasa hari raya, mereka juga dilarang mencuci rambut. Hal ini berkaitan dengan ‘tuah’ mereka pada tahun itu. Sebagai contoh, jika mereka menyapu sampah, tuah tidak akan datang pada tahun tersebut. Sewaktu perayaan mereka tidak boleh bercakap perkara yang buruk. Semua responden memberi jawapan yang sama tentang pantang larang dan adat semasa perayaan. Generasi tua dan muda masih mengamalkan amalan-amalan ini sewaktu perayaan.


Soalan 4: Adakah upacara perkahwinan mempunyai adat dan pantang larang dalam masyarakat Cina?


Berdasarkan jawapan yang diberikan kesemua responden, mereka mengatakan pada asasnya adat resam perkahwinan masyarakat Cina merangkumi peringkat sebelum berkahwin iaitu merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan. Antara pantang larang sebelum perkahwinan pula, sebelum tiba hari perkahwinan, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak sesuai mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan.

Adat dan pantang larang semasa hari perkahwinan ialah baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih, merah atau kuning dan dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Selain itu, wanita yang mengandung dan orang yang baru kematian saudara-mara tidak boleh terlibat dengan majlis perkahwinan atau menyentuh pakaian pasangan pengantin dan sebagainya di rumah baru pasangan tersebut  untuk mengelakkan sebarang perkara buruk daripada berlaku.

Manakala adat dan pantang larang selepas berkahwin pula untuk menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki, sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan perlu bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki.  Isteri tidak dibenarkan untuk pulang ke rumahnya sendiri dan harus menetap di rumah suaminya bersama keluarga suaminya. Tiga hari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat keluarganya bersama-sama suami.

Kesimpulannya, masyarakat Cina juga mempunyai adat dan pantang larang ketika perkahwinan yang banyak dan diamalkan semenjak zaman dahulu lagi. Mereka mempunyai adat dan pantang larang sebelum, semasa dan selepas perkahwinan. Mereka juga mengatakan terlalu banyak adat perkahwinan kaum Cina jika betul-betul untuk diikuti.


Soalan 5: Adakah masyarakat muda zaman sekarang masih mengamalkan adat dan pantang larang sebelum kahwin seperti yang diamalkan oleh nenek moyang mereka?


Berdasarkan soalan terakhir, adakah generasi muda masih mengamalkan pantang larang dan adat semasa perayaan, responden yang lebih tuan berkata tidak semua generasi muda masih mengikuti amalan ini. Contohnya, tidak boleh mencuci rambut. Generasi muda sekarang sudah tidak mengendahkan pantang larang ini. Namun adat semasa perayaan masih diamalkan oleh generasi muda. Contohnya, berpakaian berwarna merah, kunjung-mengunjungi dan lain-lain. Manakala generasi muda pula menjawab yang mereka masih mengamalkan adat-adat ini. Cuma terdapat beberapa pantang larang yang sudah tidak diikuti generasi muda sekarang.

Dari aspek perkahwinan, masyarakat Cina akan merancang dan mengatur sesuatu perkahwinan dengan sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah tetapi ini tidak lagi relevan pada zaman teknologi sekarang. Menurut responden wanita iaitu Cik Wong yang telah ditemu bual, beliau mengatakan bahawa jika beliau berkahwin, beliau tetap akan mengikuti adat dan pantang larang ini jika ia bersesuaian dan tidak akan mengikutinya jika tidak bersesuaian.

Kesimpulannya, adat dan pantang larang ini masih lagi diikuti oleh masyarakat Cina zaman sekarang tetapi bilangannya semakin hari semakin sedikit. Ia bergantung pada kesesuaian adat dan pantang itu sendiri serta kepentingan adat itu. Selain itu, tempat tinggal juga mempengaruhi pengamalan adat dan pantang larang. Kebanyakan masyarakat Cina yang menetap di kawasan bandar sudah kurang mengikuti adat dan pantang larang kerana kemajuan pesat di bandar dan faktor cara hidup keluarga manakala masyarakat Cina di kampung masih lagi yang mengamalkan adat dan pantang larang nenek moyang mereka ini.


5.0 Kesimpulan

Melalui kajian ini, dapat dirumuskan bahawa setiap adat dan pantang larang mempunyai tujuan masing-masing. Generasi muda yang serba moden kini tampak masih mempercayai dan mengamalkan adat dalam kehidupan seharian mereka khususnya dalam upacara kematian, perkahwinan dan juga perayaan. Hal ini disebabkan pegangan yang utuh daripada warisan turun-temurun nenek moyang mereka membuatkan ia masih lagi dijadikan amalan pada zaman sekarang.

Kajian ini juga menunjukkan segelintir orang muda kurang mempraktikkan adat dan pantang larang semasa kematian iaitu memberi benang, malah mereka juga ada yang tidak mengetahui tentang adat-adat tersebut kerana ianya sudah tidak dipraktikkan lagi dalam keluarga mereka. Anak-anak muda sekarang telah banyak dipengaruhi oleh kehidupan moden justeru mereka tidak lagi menitikberatkan kepentingan adat dan pantang larang dalam kehidupan mereka seoalah-olah ia telah luput ditelan zaman. Hal ini dapat dilihat melalui kepentingan ibu bapa dan setiap ahli keluarga itu sendiri yang merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan kesinambungan adat dan pantang larang dalam keluarga mereka. Hal ini kerana ibu bapa merupakan contoh teladan yang baik dan paling dekat dengan anak-anak untuk dijadikan ikutan sehingga mereka dewasa dan menjadi warisan akhir zaman.

Masyarakat Cina mempunyai adat dan pantang larang yang agak unik. Kepentingan adat resam dalam hidup masyarakat tidak kira bangsa apa sekali pun tidak dinafikan. Pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua ini bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan. Selain itu, pantang larang sebenarnya diperturunkan untuk kebaikan kaum itu sendiri dan setiap daripadanya mempunyai keistimewaan. Adat resam yang merangkumi semua aspek kehidupan bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian sememangnya masih lagi diamalkan oleh semua masyarakat di Malaysia tidak kira bangsa Melayu, Cina mahupun India namun ia juga bergantung kepada kesesuaian adat resam itu sendiri agar selaras dengan masa dan juga situasi tertentu.


Rujukan

Ann, W. S. (2011). Perayaan Orang Cina. Shah Alam: Fajar Bakti.
Amdun, H. (2015). Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamzah, R. K. (2006). Menjadi Remaja Berbudaya Positif. Ampang: PTS Litera Utama.
Kadir, T. A. (2006). Hari Perayaan Penduduk Malaysia. Petaling Jaya: Pelanduk Publications.
Budaya Masyarakat Cina Di Malaysia. (t.t.). Diakses pada November 25, 2015, dari http://www.scribd.com/doc/70154179/Budaya-Masyarakat-Cina-Di-Malaysia
Gan Ah Mey. (August 20, 2010). Sehati Sejiwa Berkasih Mesra, diakses pada 12 November 2015 dari http://cintaakanbudaya.blogspot.my/2010/08/pantang-larang-perkahwinan-masyarakat_20.html
Jelajah Edisi Daus. (September, 2010). Adat Dan Budaya Etnik Di Malaysia, diambil pada 10 November 2015 dari http://bmpengurusan2010.blogspot.my/2010/09/kaum-cina.html
Joan D'Arcy, (March 25, 2006), Daya Family Tree (Adat Perkahwinan Masyarakat Cina Bhg.2) diambil pada 12 November 2015 dari http://dayafamilytree.blogspot.my/
Seminar Sosiobudaya Antara Kaum – Kenali Sebahagian Adat Orang Cina. (n.d.). Diakses pada November 25, 2015, dari http://www.abuanasmadani.com/seminar-sosiobudaya-antara-kaum-kenali-sebahagian-adat-orang-cina/
Tan Su Lin. (Januari 31, 2014). Adat Resam Dan Pantang Larang Tahun Baru Cina, akses pada 20 November 2015 dari http://www.astroawani.com/gaya-hidup/adat-resam-dan-pantang-larang-tahun-baru-cina-29179
Wynne Loke. (February 13, 2002). Konsep Angpau Dalam Perayaan Tahun Baru Cina, diakses pada 26 November 2015 dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm




MZ Zainudin, Nor Fatin Izzati Che Wahab, Nurfilza Zulkarnain Helmi, Nur Shakira Suhana Abu Bakar, Nur Syahirah Zakaria, Siti Hajjar Hamdi                                                                  




Post a Comment