Saturday, December 19, 2015

Kebaikan dan keburukan media sosial










Media sosial mempunyai pengaruh ke atas kehidupan rakyat Malaysia. Kegilaan terhadap media sosial mewujudkan unsur-unsur ketagihan yang boleh dilihat daripada angka-angka yang terdapat dalam pelbagai perspektif.

Pengguna internet di negara ini melebihi 20.1 juta dan 16.8 juta daripadanya menggunakan media sosial. Pengguna telefon bimbit juga kerap menggunakan media sosial. Dari segi pengguna Facebook, golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun lebih aktif menggunakan aplikasi tersebut.

Media sosial memberi impak positif dan negatif  dalam pelbagai dimensi bergantung kepada siapa yang menggunakannya.

Sudut positif yang lahir daripada media sosial telah memberi ruang kepada proses pembelajaran yang lebih pantas, mudah diakses dan membantu pensyarah-pelajar mengukuhkan pembelajaran mereka, meningkatkan kualiti penyampaian dan menambahkan kefahaman.

Sebelum ini, mesej pesanan ringkas sangat popular, namun perkembangan teknologi telah menjadikan aplikasi WhatsApp lebih popular dan mencapai jaringan pengguna yang lebih banyak. WhatsApp telah membuka peluang untuk ahli keluarga, rakan pelajar dan teman sekampung bersua kembali di alam maya. Kumpulan-kumpulan ini menjadikan dunia maya semakin rancak dengan khabar, berita dan maklumat yang boleh dikongsi.

Nama-nama kumpulan dalam WhatsApp adalah pelbagai dan meempunyai tujuan tertentu. Antara nama kumpulan ini ialah KPZ91 UPM, ROTU UPM intake 15, Geng Sekolah Kodiang, cafe level 2, Kluster PS&K dan Badminton Aje.

KPZ91 UPM adalah kumpulan bekas pelajar matrikulasi yang tinggal di Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Pertanian Malaysia. Ahlinya berselerak seluruh negara tetapi yang dapat dikumpulkan hanya 36 orang. Jika ada rakan baru yang diketahui, beliau akan dimasukkan. Ada juga yang membuat keputusan untuk keluar tanpa sebarang sebab.

Rakan-rakan lama juga boleh dikumpulkan dalam WhatsApp. Rakan lama ini boleh jadi sekolah rendah atau sekolah menengah. Kumpulan Geng Sekolah Kodiang umpamanya dapat mengumpul 28 bekas pelajar lama yang mula bersekolah dari tahun 1980 hingga 1985 di Sekolah Kebangsaan Kodiang.

Kumpulan yang sudah lama terpisah ini akan mengambil inisiatif melakukan perjumpaan semula (reunion) untuk bersua muka dan bertanya khabar. Urusan jemputan dan persediaan majlis dilakukan hanya melalui media sosial.

Ada juga kumpulan WhatsApp yang diwujudkan di peringkat kampung atau taman perumahan supaya penduduk dapat mengambil berat antara satu sama lain di samping memanjangkan jemputan perkahwinan, makluman mengadakan majlis doa selamat dan bacaan tahlil jika ada kematian.

Pendek kata, media sosial khususnya WhatsApp telah menghubungkan ramai orang yang telah lama berpisah atau berjauhan. Ia secara tidak langsung telah dapat meningkatkan hubungan masyarakat yang harmoni. Selain WhatsApp, aplikasi lain yang serupa ialah Viber, Line, KakaoTalk, Facebook Messenger, Skype, LiveProfile, Groupeme, Kik Messenger, ChatOn dan WeChat.

Blog juga berperanan membantu penyebaran maklumat yang lebih santai. Kandungan blog boleh dikemas kini dari semasa ke semasa di samping membantu pengguna laman sosial itu meningkatkan pengetahuan mereka. Biasanya setiap blog mempunyai tujuan-tujuan khusus seperti makanan, pelancongan atau aktiviti yang lebih serius seperti laporan jenayah, sosial ataupun kesihatan. Semua maklumat yang dimasukkan ke dalam blog boleh dilihat, diulas dan mendapat maklum balas dalam tempoh yang singkat.

Blog juga dapat digunakan sebagai laman menambah pendapatan. Syarikat-syarikat kecil yang baru hendak memperkenalkan produk mereka kepada pasaran boleh menggunakan blog sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran mereka. Ada juga blog yang terkenal membuka ruang iklan pada blog mereka dengan bayaran tertentu, justeru di sinilah yang dikatakan blog menjana pendapatan.

Perkembangan teknologi media sosial ini tidak dapat lari daripada elemen-elemen negatif lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Impak ketara ialah terdapat kumpulan radikal atau pengganas yang cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat dengan cara mempromosi ideologi mereka melalui media sosial. Kumpulan-kumpulan ini mencari dan merekrut ahli-ahli baru hanya dengan memberi maklumat dan manfaat menyertai pertubuhan mereka melalui media sosial biar pun lokasi sebenar kumpulan itu berada jauh beribu batu.

Antara kumpulan yang aktif mempromosi ideologi ini terlibat dalam ideologi keagamaan seperti Islamic State (IS) yang menggunakan Facebook, Youtube dan Twitter untuk menyebarkan kefahaman mereka ke seluruh dunia. Ramai generasi muda yang terpengaruh dengan ideologi ini dan sanggup mengangkat senjata untuk berperang tanpa memiliki kefahaman dan kepakaran dalam berperang. Kumpulan samseng dan jenayah terancang juga menggunakan media sosial untuk mempromosi aktiviti di samping merekrut ahli baru. Malah penyebaran bahan terlarang seperti dadah juga menggunakan media sosial untuk urusan jual beli.

Selain itu, penipuan melibatkan wang ringgit, perkhidmatan dan produk juga berlaku melalui media sosial. Laporan-laporan di media seringkali mendedahkan terdapat mangsa yang telah ditipu ribuan ringgit, diugut atau diculik hanya melalui media sosial.  Contohnya seorang penjual produk ditipu RM2000 kerana ditipu individu yang mahu membeli barang dari luar negara. Selepas mendapat semua maklumat berkaitan bank, penjual ini diminta untuk menambah lagi wangnya kerana dikatakan duit yang hendak dibayar telah ditahan oleh pihak bank.

Teknologi komunikasi yang dibawa dalam media sosial akan terus berkembang seiring dengan keperluan hidup manusia. Dalam perkembangan ini, sudah pasti wujud nilai-nilai baru yang menggantikan nilai-nilai tradisi supaya cocok dengan teknologi itu. Contohnya adab dan tradisi kekeluargaan. Ketika makan bersama keluarga, apa yang dikatakan sebagai adab dan susila makan sedia ada seperti kurang bercakap ketika makan, beri perhatian terhadap apa yang dimakan dan menikmati makanan dengan sebaik-baiknya telah semakin berkurangan. Tradisi ini semakin dipinggirkan oleh teknologi media sosial.

Jika kita keluar makan malam di pusat membeli-belah, katakan kita melihat sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu, ayah dan tiga orang anak kecil. Agak sukar bagi kedua-dua ibu dan ayah untuk mengajak anak-anak makan, lalu dihulurkan peranti yang mengandungi video atau aktiviti permainan kanak-kanak dengan harapan anak-anak tidak membuat gangguan ketika makan malam itu. Dalam jangka masa panjang, anak-anak ini akan membesar dengan tingkah laku tersebut tanpa memahami keperluan mengetahui adab-adab ketika makan.

Timbul persoalan di sini, apakah perlunya kita mengawal penggunaan media sosial di Malaysia?

Di Malaysia sudah banyak undang-undang yang dapat menangkis dakwaan palsu dan salah yang disebarkan. Antaranya ialah Akta Hakcipta (Pinndaan) 1987, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 558), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Fitnah dan Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998. Semua undang-undang ini mampu mengawal tingkah laku pengguna sosial untuk lebih beretika semasa menggunakan media itu supaya tidak menimbulkan huru-hara dalam masyarakat.

Perkara yang lebih penting ialah memahamkan masyarakat tentang sistem perundangan ini dan hukuman yang boleh dikenakan ke atas mereka sekiranya wujud salah laku. Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh mengadakan kempen dan penerangan dengan lebih kerap melibatkan semua peringkat masyarakat supaya mereka memahami bahawa etika penggunaan media sosial yang baik berupaya menjadikan kehidupan masyarakat lebih aman dan menyumbang kepada kemajuan negara. SKMM juga boleh turun padang untuk mengadakan dialog dengan institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah kerana golongan remaja merupakan pengguna media sosial paling aktif ketika ini.


Post a Comment