Tuesday, December 08, 2015

Pakaian etnik dalam konsep perpaduan di Melaka: satu pemerhatian








1.0       Pengenalan

Kepelbagaian etnik di Melaka yang harmoni dan saling membantu memudahkan pembangunan di Melaka. Kepelbagaian ini juga mewujudkan berbagai-bagai jenis pakaian yang kita dapat kita lihat di sekitar negeri Melaka. Terutamanya ketika musim perayaan dan dalam pelbagai upacara seperti upacara keagamaan, perkahwinan dan kematian. Setiap etnik di Melaka mempunyai cara yang tersendiri dalam berpakaian bagi melambangkan perbezaan identiti bagi setiap etnik. Walaupun pelbagai pakaian yang membezakan mereka, mereka tetap hidup secara harmoni dan toleransi dalam menjalani kehidupan seharian di Melaka.

Di samping itu, kajian ini juga mengaitkan kepelbagaian cara berpakaian bagi setiap etnik dengan beberapa konsep yang berkaitan dengan hubungan etnik. Konsep ini adalah konsep asimilasi, amalgamasi, akomodasi dan akultrasi dalam cara berpakaian bagi etnik-etnik yang terdapat di Melaka.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengkaji pelbagai jenis etnik yang terdapat di negeri Melaka, jenis-jenis serta nama pakaian yang terdapat dalam etnik-etnik tersebut dan mengenali budaya etnik-etnik di negeri Melaka.


2.0       Sorotan Literatur

Melaka dikenali dengan panggilan bandar bersejarah. Selain memiliki tinggalan sejarah yang unik, Melaka juga mempunyai jalinan budaya yang pelbagai. Terdapat pelbagai etnik di Melaka yg mengamalkan budaya yang berbeza-beza, antaranya kaum Melayu, Cina, India, Portugis, Baba-Nyonya, Chetti dan sebagainya. Setiap etnik mengamalkan budaya yang diasaskan oleh nenek moyang mereka agar terus berkekalan dan dijadikan sebagai suatu keistimewaan bagi kaum mereka. Antara budaya yang kekal pada masa kini ialah cara pemakaian  setiap etnik yang berbeza dan melambangkan keistimewaan kaum tersebut.

Bagi kaum Melayu, songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit. Teknik songket diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuh hasilnya. Biasanya orang Melayu memakai songket ketika hari perkahwinan.

Bagi kaum India pula, sari merupakan pakaian untuk kaum perempuan dan ia adalah pakaian seharian dan turut dipakai pada musim perayaan. Sari dililit dari pinggang dan diselempang pada bahu kiri. Lilitan pinggang sebanyak tiga hingga lima kali untuk menguatkan lilitan supaya tidak terurai. Warna-warna yang lebih menarik untuk sari yang dipakai pada musim perayaan. Pemilihan corak pula adalah mengikut si pemakai. Pakaian harian etnik ini pula adalah ‘sarung’ iaitu merujuk kepada alas bahagian bawah badan orang Melayu, tanpa mengira lelaki atau wanita. Perkataan ini berasal dari perkataan India iaitu sari.

Cheongsam dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Ia berasal dari baju tradisional lelaki Cina yang labuh sampai ke kaki. ‘Cheong sam’ dalam dialek kantonis bermaksud ‘baju labuh’. Diperkenalkan semenjak revolusi di Negara China pada tahun 1911. Selain itu, samfoo juga digunakan oleh wanita Cina untuk kegunaan harian. Ia diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera. Tarian bunga diadakan adalah untuk merayakan keamanan dan kegembiraan dunia. Pakaian yang dipakai oleh setiap penari diperbuat daripada sutera dan setiap corak pada pakaian adalah mengikut corak bunga.

Dalam etnik Portugis, pengantin perempuan akan memakai kebaya laboh (cabaia) dan kain sarung sutera berwarna putih (saia) beserta kasut yang bermanik. Pengantin lelaki pula memakai suit hitam, baju dan bow yang berwarna putih beserta topi tinggi yang diikat pita hitam. Tarian ‘jingli nona’ merupakan tarian tradisional masyarakat Portugis. Pakaian yang dikenakan merupakan sepasang gaun yang berwarna merah dan baju kemeja putih yang dipakai di dalamnya.

Baju kebaya adalah pakaian tradisional yang dikenakan oleh wanita Indonesia dan Malaysia yang dibuat daripada kain kasa yang dikenakan dengan sarung batik. Dipercayai kebaya berasal daripada kaum Cina yang berhijrah ke nusantara ratusan tahun yang lalu. Kebaya Nyonya menjadi ciri khas masyarakat peranakan yang terdapat di Malaysia, khasnya di Melaka. Ketika upacara perkahwinan lelaki memakai simfoni daripada fabrik satin Cina yang ditenun dengan motif motif melambangkan kesejahteraan. Wanita pula memakai baju panjang nyonya dari kain les dan memakai baju kecik kolar tinggi. Baju panjang dipadankan dengan kain batik gerus.

Pakaian perkahwinan Chetti tidak jauh beza dengan pakaian perkahwinan Melayu. Pengantin perempuan memakai baju yang dipanggil baju labuh dengan kain songket serta di atas kepala dipakai sanggul lintang. Wanita Chetti dapat dibezakan daripada kaum India lain berdasarkan pakaian mereka yang mirip pakaian Nyonya dan Melayu seperti baju kebaya pendek (sutera Cina) dan kain batik sarung. Baju kebaya yang selalu dipakai wanita Chetti Melaka adalah berbentuk ‘V’ pada leher (cara pemakaiannya dimulai dengan memasukkan lengan dahulu seperti memakai baju kemeja).

Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedekatan bermula dengan hubungan terpisah iaitu segregasi sehinggalah hubungan yang berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Konsep akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik yang lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Konsep ini kita dapat lihat dalam pemakaian etnik-etnik ini ketika menghadiri upacara keagamaan serta upacara kematian. Contoh yang kita dapat lihat adalah bagi etnik India di Melaka. Mereka masih mengekalkan pemakaian sari bagi kaum wanita ketika menghadiri upacara kematian. Walaupun mempunyai pelbagai perbezaan mereka masih menghormati cara berpakaian etnik-etnik lain di Melaka.

Konsep asimilasi adalah satu proses percantuman dan penyatuan di antara kelompok atau individu dari berlainan kebudayaan supaya menjadi satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Konsep ini berhubungan dengan penyerapan sehala individu atau kelompok ke dalam kelompok lain. Satu proses yang berlaku apabila mana-mana kelompok berfikir, berperasaan secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. Kaum Chetti iaitu masyarakat Hindu Peranakan yang juga dikenali sebagai masyarakat Chetti Melaka juga mengalami proses perubahan budaya ini. Masyarakat ini terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dengan orang-orang tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain. Pakaian yang dapat kita lihat dalam etnik ini lebih kepada kaum Nyonya dan Melayu berbanding kaum-kaum lain. Mereka memakai pakaian sarung dan kebaya wanita Chetti melihat pengaruh budaya Baba-Nyonya.

Konsep amalgamasi merupakan satu proses penyatuan pelbagai kumpulan etnik dari segi biologi. Dalam proses ini, semua entiti kebudayaan pelbagai kumpulan dicampuradukkan melalui perkahwinan campur dan akhirnya mewujudkan satu bangsa yang baharu. Proses ini memakan masa yang lama dan biasanya melalui beberapa generasi. Di Melaka, masyarakat yang tergolong dalam proses ini adalah masyarakat Baba-Nyonya iaitu segolongan keturunan yang terhasil melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu. Pakaian Nyonya serupa dengan pakaian tradisi Melayu, iaitu terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.

Konsep akulturasi merupakan satu proses penyerapan unsur-unsur kebudayaan daripada suatu budaya kepada budaya yang lain. Perubahan budaya terjadi hasil daripada hubungan yang berkesinambungan antara dua budaya berbeza dalam satu jangka masa yang berterusan dan perubahan tersebut berlaku sama ada dalam satu atau kedua-dua budaya tersebut. Akulturasi lebih mudah dicapai dalam budaya yang bersifat kebendaan. Dari segi pakaian bagi etnik-etnik di Melaka konsep ini jelas dapat dilihat dalam cara berpakaian bagi etnik Baba-Nyonya dan Chetti di Melaka. Penyerapan unsur-unsur Melayu dalam etnik ini telah mengubah cara berpakaian dalam kedua-dua etnik ini daripada kaum asal bagi etnik ini.


3.0       Metodologi

Dalam kajian ini, soal selidik menggunakan borang telah dilakukan ke atas 30 responden di kawasan Bukit Beruang, Melaka. Pemerhatian dan lawatan ke muzium diadakan bagi memahami dengan lebih lanjut berkaitan pakaian-pakaian etnik di Melaka.


4.0       Hasil Kajian

Analisis soalan kaji selidik ini adalah mengenai pakaian bagi etnik-etnik di Melaka melalui konsep asimilasi, amalgamasi, akomodasi dan akulturasi. Kajian ini berdasarkan kepada 30 orang responden yang terdiri daripada kalangan penduduk Bukit Beruang di Melaka. Soal selidik ini dilakukan secara rawak iaitu meliputi penduduk Bukit Beruang di Melaka yang terdiri daripada semua etnik seperti Cina, India, Melayu, Portugis dan Baba-Nyonya. Hasil daripada soa selidik ini telah diterjermahkan dalam bentuk graf bar.


Rajah 1: Maklumat bilangan penduduk tempatan yang berada di Melaka bagi penduduk
Bukit Beruang.


Rajah 1 menunjukkan bahawa bilangan penduduk tempatan yang berada di Melaka bagi penduduk Bukit Beruang mengikut jantina. Berdasarkan graf tersebut, bilangan penduduk  lelaki ramai berbanding bilangan penduduk perempuan yang merupakan penduduk tempatan Melaka. Manakala bilangan penduduk lelaki kurang jika dibandingkan dengan bilangan penduduk perempuan yang bukan penduduk tempatan Melaka. Seramai sepuluh orang penduduk lelaki dan sembilan orang perempuan pada kolum ‘ya’. Manakala pada kolum ‘tidak’, bilangan penduduk lelaki adalah lima orang dan penduduk perempuan pula enam orang.


Rajah 2: Makluat tentang penduduk Bukit Beruang yang tahu mengenai etnik-etnik atau suku kaum di Melaka.


Rajah 2 menunjukkan graf tentang penduduk Bukit Beruang yang tahu mengenai etnik-etnik atau suku kaum di Melaka mengikut jantina. Berdasarkan graf tersebut, jika dibandingkan pada kolum ‘ya’, ia menunjukkan bahawa bilangan penduduk lelaki adalah melebihi bilangan penduduk perempuan yang mengetahui etnik-etnik atau suku kaum di Melaka. Manakala pada kolum ‘tidak’ pula, bilangan penduduk lelaki kurang berbanding penduduk perempuan.Ini menunjukkan bahawa penduduk lelaki lebih mengetahui tentang etnik-etnik atau suku kaum di Melaka jika di bandingkan dengan penduduk perempuan. Pada kolum ‘ya’, bilangan penduduk lelaki sebanyak sepuluh orang manakala bilangan penduduk perempuan sebanyak sembilan orang. Pada kolum ‘tidak’ pula, bilangan penduduk lelaki sebanyak lima orang manakala bilangan penduduk perempuan sebanyak enam orang.


Rajah 3: Pendapat penduduk Bukit Beruang mengenai etnik-etnik Melaka yang masih lagi mengamalkan pemakaian tradisi masing-masing.


Rajah 3 menunjukkan bahawa pendapat penduduk Bukit Beruang mengenai etnik-etnik Melaka yang masih lagi mengamalkan pemakaian tradisi masing-masing. Berdasarkan graf tersebut, bilangan penduduk lelaki kurang berbanding bilangan penduduk perempuan  pada kolum ‘ya’. Pada kolum ‘tidak’ pula, bilangan penduduk lelaki lebih banyak jika dibandingkan dengan bilangan penduduk perempuan. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk perempuan lebih berpendapat bahawa etnik-etnik Melaka masih lagi mengamalkan pemakaian tradisi masing-masing walaupun pelbagai jenis pakaian moden yang diperkenalkan. Sebanyak enam orang penduduk lelaki dan lapan orang perempuan pada kolum ‘ya’. Manakala pada kolum ‘tidak’, bilangan penduduk lelaki adalah sembilan orang dan penduduk perempuan pula tujuh orang.


Rajah 4: Pandangan penduduk Bukit Beruang di Melaka mengenai persamaan
pakaian bagi wanita kaum Chetti dengan kaum Melayu dan Baba-Nyonya.


Rajah 4 menunjukkan graf pandangan penduduk Bukit Beruang di Melaka mengenai persamaan pakaian bagi wanita kaum Chetti dengan kaum Melayu dan Baba-Nyonya mengikut jantina. Berdasarkan graf tersebut, penduduk lelaki dan perempuan memilih baju kebaya sebagai persamaan pakaian bagi kaum Chetti dengan kaum Melayu dan Baba-Nyonya. Tambahan pula, ia menunjukkan kadar bilangan yang sama antara penduduk lelaki dengan penduduk perempuan dan merupakan yang tertinggi di antara pakaian-pakaian yang lain. Bagaimanapun, bilangan penduduk lelaki yang memilih baju kurung sebagai persamaan pakaian bagi kaum tersebut adalah melebihi penduduk perempuan. Bagi pilihan baju kebarung pula, penduduk lelaki kurang berbanding penduduk perempuan. Untuk persamaan pakaian lain-lain, bilangan penduduk perempuan adalah melebihi penduduk lelaki. Pada kolum baju kurung, bilangan penduduk lelaki yang memilih pakaian ini adalah seramai empat orang manakala penduduk perempuan pula seramai dua orang. Pada kolum baju kebaya, bilangan penduduk lelaki dan perempuan yang memilih pakaian ini sebanyak sepuluh orang. Pada kolum baju kebarung pula, hanya seorang manakala bilangan penduduk perempuan seramai dua orang. Pada kolum lain-lain, bilangan penduduk lelaki adalah sifar manakala bilangan penduduk perempuan seorang.


Rajah 5: Pandangan penduduk Bukit Beruang mengenai pemakaian baju kurung khususnya bagi kaum wanita Melayu masih lagi dikekalkan ataupun tidak pada musim perayaan.


Rajah 5 menunjukkan graf pandangan penduduk Bukit Beruang mengenai pemakaian baju kurung khususnya bagi kaum wanita Melayu masih lagi dikekalkan ataupun tidak pada musim perayaan mengikut jantina. Berdasarkan graf, pandangan penduduk perempuan lebih banyak mengatakan ‘ya’ bagi pemakaian baju kurung khususnya bagi kaum wanita pada musim perayaan berbanding penduduk lelaki. Manakala pada kolum ‘tidak’, penduduk lelaki lebih berbanding penduduk perempuan. Pada kolum ‘ya’, bilangan penduduk lelaki sebanyak enam orang manakala bilangan penduduk perempuan sebanyak sepuluh orang. Pada kolum ‘tidak’ pula, bilangan penduduk lelaki sebanyak sembilan orang dan bilangan penduduk perempuan sebanyak lima orang.


Rajah 6: Perbezaan antara baju kebaya Baba-Nyonya dan Melayu dari segi potongan dan
gaya pemakaian.

                       
Berdasarkan gambar Rajah 6, seramai 12 orang daripada golongan lelaki bersetuju mengatakan bahawa tidak ada perbezaan antara baju kebaya Baba-Nyonya dan Melayu dari segi potongan dan gaya pemakaian. Manakala seramai tiga orang lelaki dan dua orang perempuan bersetuju mengatakan bahawa terdapat perbezaan antara baju kebaya Baba-Nyonya dan Melayu dari segi potongan dan gaya pemakaian. Ini dapat dilihat pengaruh Melayu lebih tertumpu pada potongan dan gaya pemakaian bagi etnik Baba-Nyonya.


Rajah 7: Bentuk baju kurung dan baju Melayu yang sentiasa dilihat.


Berdasarkan gambar Rajah 7, seramai lima orang lelaki dan dua orang perempuan  mengatakan baju kurung dan baju Melayu memilih bentuk cekak musang sebagai corak leher baju mereka. Manakala, bagi leher berbentuk V, seramai 13 orang perempuan serta tujuh orang lelaki memilih corak tersebut. Seramai tiga orang lelaki memilih corak teluk belanga. Cekak musang menjadi pilihan masyarakat lelaki kerana ianya kelihatan lebih kemas dan sopan berbanding bentuk V dan teluk belanga. Bentuk V pula paling banyak diminati oleh golongan wanita berbanding cekak musang.


Rajah 8: Jenis pakaian yang masih dikekalkan ketika menghadiri majlis atau
upacara bagi etnik Cina.
       
Berdasarkan Rajah 8, seramai 24 orang memilih cheongsam sebagai pakaian untuk menghadiri sebarang majlis atau upacara. Manakala empat orang lagi memilih samfoo dan dua orang lagi baju shanghai. Pakaian cheongsam paling banyak dikekalkan ketika menghadiri apa jua acara berbanding dengan baju shanghai dan samfoo.


Rajah 9: Pakaian yang dipakai oleh kaum wanita India semasa upacara pengebumian.


Berdasarkan Rajah 9 di atas, seramai 26 orang bersetuju memilih sari putih sebagai pakaian oleh kaum wanita India semasa menghadiri upacara pengkebumian. Manakala empat orang lagi memilih pakaian serba hitam. Selain itu, tiada seorang pun yang memilih sari kuning. Sari putih paling banyak dipilih berbanding pakaian serba hitam dan sari kuning. Sari kuning tidak menjadi pilihan kerana kebiasaannya sari kuning dipakai oleh golongan sami ketika upacara sembahyang.

  
Rajah 10: Pakaian yang sering menjadi pilihan etnik-etnik di Melaka ketika menghadiri upacara atau majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.


Berdasarkan Rajah 10 di atas, seramai tujuh orang lelaki dan 12 orang perempuan bersetuju memilih pakaian tradisional untuk menghadiri majlis perkahwinan. Untuk pakaian kasual pula seramai empat orang lelaki dan seorang perempuan memilih untuk memakainya ketika menghadiri upacara tersebut. Manakala pakaian moden seperti blaus dan skirt pula dipersetujui oleh seramai empat orang lelaki dan dua orang perempuan. Pakaian tradisional masih menjadi pilihan setiap golongan etnik ketika menghadiri setiap upacara. Ini dapat dibuktikan apabila jumlah responden paling banyak memilih pakain tradisional berbanding pakaian kasual dan moden.


5.0       Kesimpulan

Kesimpulan yang boleh dibuat melalui kajian lapangan ini ialah pakaian-pakaian etnik di Melaka juga menunjukkan kepelbagaian dari segi kaum dan juga variasi yang menunjukkan satu Malaysia melalui konsep amalgamasi, akomodasi, akulturasi dan asimilasi.

Dalam kajian ini, dapat dilihat bahawa kaum seperti Baba dan Nyonya serta kaum Chetti mengamalkan konsep amalgamasi iaitu konsep yang mana satu proses terjadi apabila berlakunya percampuran budaya untuk membentuk satu budaya yang baru. Dari segi pemakaian kaum ini dapat dilihat seperti pakaian baju kebaya yang digabungkan dari kaum Melayu tetapi dengan beberapa pertukaran sedikit pada gaya.

Konsep asimilasi merujuk kepada proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang berlainan budaya yang akhirnya membentuk satu kelompok kaum yang punyai persamaan kebudayaan dan identiti. Manakala konsep akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap etnik menghormati nilai etika kaum lain tetapi tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Contohnya di mana sesuatu kaum memakai pakaian kaum lain di majlis keramaian atau perayaan seperti kaum Cina memakai pakaian kaum Melayu dengan berbaju kurung dan Melayu, manakala kaum India dan Melayu memakai pakaian etnik yang lain seperti pakaian dhotti dan cheongsam.

Secara keseluruhannya, dari segi pemakaian juga boleh melambangkan keharmonian dan juga perpaduan sesuatu kaum. Ia juga dapat menunjukkan kepelbagaian konsep yang boleh diaplikasikan daripada konsep di atas ini melalui pakaian dan cara pemakaian sesuatu kaum.


Rujukan

Abdul Latif Abu Bakar. (2004). Busana Melayu Serumpun. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka.

Ramlah Abas et.al. (2003). Busana Melayu Melaka Warisan Bangsa. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.

Shamsul Amri Baharuddin. (2011). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi Mara,.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kaum-kaum_di_Malaysia

www.scribd.com/doc/4342909/Pakaian-tradisi

http://saiminginsariipkent.blogspot.com/

http://www.melaka.gov.my/bm/masyarakat-di-melaka.html

Lawatan ke muzium Mini Malaysia pada 30 Februari 2011.
                             

MZ Zainudin, Nurfarahana Simun, Nurul Aini Ahmad, Nur Syaheera Ahmad, Norshahira Abd Ghani, Nurul Muzanil Mustaffa



Post a Comment