Monday, December 14, 2015

Kesejahteraan sosial komuniti bandar: pembangunan dalam kesinambungan






Penyunting: Roziah Omar, Sivamurugan Pandian
Tahun: 2015
Penerbit: Majlis Profesor Negara, Jabatan Perdana Menteri, Presint 5, Putrajaya, Malaysia.
Muka Surat: 190

Buku ini dilancarkan semasa 'Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat' di Kuala Lumpur. Sebanyak 20 bab pelbagai kepakaran dengan penulisan bidang kesarjanaan masing-masing penting untuk dijadikan panduan, rujukan dan penyelidikan berterusan dalam agenda pembangunan kesejahteraan sosial negara termasuk pihak kementerian, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, institusi keilmuan, penyelidik, badan bukan kerajaan, organisasi pemikir, pelajar dan masyarakat. 

Dalam menjejaki kedudukan negara melangkaui Wawasan 2020, rujukan ke atas indeks sosial sama penting dengan indeks kesejahteraan ekonomi. Walaupun negara akan melalui proses pertumbuhan ekonomi dan pencapaian yang baik dalam persekitaran fizikalnya, sifat dalam kemanusiaan dengan jaminan kualiti kehidupan yang saksama juga penting supaya tidak wujud jurang yang besar dalam sebarang perkembangan negara. 
Nilai kemasyarakatan memerlukan rasa tanggungjawab yang besar daripada pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi berwajib. 

Antara kandungan bab ialah 'Dari MDGs kepada SDGs: Agenda Orde Baru Kesejahteraan Sosial' yang melihat kepada perubahan dan anjakan yang berlaku di peringkat global, khususnya pergerakan dai MDGs kepada SDGs di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggap turut mempunyai kepentingannya kepada negara ini. Perubahan perancangan 15 tahun di bawah MDGs kepada SDGs dianggap penting bukan sahaja untuk negara membangun tetapi juga negara seperti Malaysia yang kini dalam transisi lima tahun untuk mencapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara berstatus maju dan sepuluh tahun selepas itu akan turut berada bersama di akhir tempoh agenda SDGs.

Bab lain ialah 'Cabaran Sosial Komuniti Bandar di Kuala Lumpur' iaitu komuniti bandar di Kuala Lumpur sentiasa menghadapi cabaran yang wujud dalam pelbagai bentuk. Cabaran-cabaran ini silih berganti sehingga menjadi beban kepada komuniti itu sendiri dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan mereka. Salah satu cabaran yang muncul akibat penghijrahan masyarakat ke kota raya Kuala Lumpur ialah masalah sosial. 

Penempatan setinggan, pekerja asing, persaingan mendapat pekerjaan dan berbagai-bagai lagi telah meningkatkan jumlah warga kota ini menjadi miskin bandar. Impak kemiskinan bandar ini umpama kitaran yang tidak akan berakhir kerana memberi kesan terhadap pencapaian akademik, penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja, keciciran sekolah dan keganasan rumah tangga.

Peningkatan kos hidup sehingga tidak terjangkau oleh pendapatan isi rumah menyebabkan mereka membuat pekerjaan sampingan untuk menampung perbelanjaan keluaga. Justeru masa yang diperuntukkan untuk keluarga tidak dapat digunakan sepenuhnya menjadikan anak-anak liar dan mencetus masalah yang lebih besar melibatkan masa hadapan mereka sendiri. 

Biarpun pelbagai teori dan strategi yang digunakan untuk mencari pendekatan paling sesuai, nampaknya masalah sosial di Kuala Lumpur tidak pernah selesai. Perancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu bandar raya bertaraf dunia sedang giat dilaksanakan, namun bagaimana pula persediaan penghuni kota ini untuk membuat perubahan minda, fizikal dan spiritual mereka supaya dapat menzahirkan sebuah komuniti bandar yang sejahtera. Inilah cabaran utama semua pihak yang bersama-sama membangunkan “the Greater Kuala Lumpur”.

Secara keseluruhan, buku ini memberikan gambaran secara menyeluruh penulisan oleh sarjana yang memiliki kepakaran masing-masing mengikut bidang yang diterokai. Ini sekali gus akan membolehkan kesinambungan penyelidikan dan penulisan mengenai pembangunan kesejahteraan komuniti bandar dan luar bandar melalui penerbitan yang berterusan pada masa akan datang.

Post a Comment