Saturday, December 05, 2015

Bunuh diri bukan penyelesaian








Dalam tempoh dua minggu ini, kejadian membunuh dan bunuh diri kerap dilaporkan. Bermula dari seorang pelajar sekolah menengah yang kecewa tidak dapat menjawab soalan peperiksaan, pembunuhan ke atas dua orang kanak-kanak oleh ibu sendiri amat mengejutkan.

Mengambil nyawa sendiri atau membunuh orang lain kerana kecewa semakin menjadi trend yang sedang meningkat naik dalam masyarakat hari ini. Ia berlaku di semua peringkat. Jika dulu kita pernah mendengar pelajar sekolah rendah yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama membunuh diri, kini ia menular dalam pelbagai keadaan.

Dalam kalangan orang dewasa, banyak faktor yang menyebabkan mereka cenderung membunuh diri. Antaranya seperti berhutang, tekanan jiwa, konflik peribadi atau tekanan kerja. Antara bentuk bunuh diri yang sering menjadi pilihan ialah gantung diri, lemas kerana asap kenderaan di dalam kereta, menggelar pergelangan tangan dan terjun bangunan. Ada juga kes melibatkan terjun laut, mengambil pil tidur berlebihan dan terlebih dos pelbagai jenis dadah.

Kematian bunuh diri yang melibatkan masyarakat Islam juga semakin kerap dilapor oleh media. Sudah tentulah keadaan ini membimbangkan kerana kejadian bunuh diri dalam Islam merupakan satu tegahan. Pelaku yang mengambil tindakan berkenaan sudah tentu menghadapi suatu keadaan yang menyukarkan sehingga tidak berupaya mencari penyelesaian yang berkesan.

Bagi mengatasi kejadian bunuh diri ini, peranan keluarga dan rakan-rakan amat penting. Keluarga dan rakan merupakan orang paling akrab dengan mangsa dan bertanggungjawab memberi panduan dan sokongan hidup. Perbincangan dan nasihat yang berterusan dapat membuka minda mangsa untuk memikirkan lebih banyak pilihan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Pada masa yang sama, komuniti wajar lebih prihatin terhadap jiran dan komuniti setempat supaya simptom kemurungan dan kekecewaan yang hadir dalam komuniti dalam dikesan lebih awal.

Badan dan institusi kebajikan juga perlu lebih proaktif mempromosi perkhidmatan mereka supaya masyarakat dapat menyalurkan informasi berkaitan mangsa.



Post a Comment