Sunday, December 27, 2015

Aziz Desa popularkan Cermin Diri








“Malaysia Hari Ini, hai...hai...hai” sangat sinonim dengan Aziz Desa, pengacara TV3 yang terkenal kira-kira 20 tahun lalu. Beliau meninggal dunia baru-baru akibat kompilasi kencing manis dan buah pinggang.

Ketika era kemuncak pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Aziz Desa sering kali menjadi moderator rancangan “Cermind Diri” yang kerap disiarkan secara langsung pada setiap pagi Ahad. Cermin Diri merupakan siri rancangan motivasi keluarga yang menampilkan Mohd Fadzillah sebagai motivator yang membantu ramai orang menyelesaikan masalah hidup mereka.

Saya masih ingat sekitar tahun 1995, rancangan Cermin Diri disiarkan secara langsung dari Kolej kediaman Ketujuh, Universiti Pertanian Malaysia. Dua hari sebelum ke udara, krew yang bertugas datang lebih awal untuk membuat persiapan pentas di samping menyiapkan pentas persembahan.

Banyak persiapan yang perlu dilakukan seperti pendawaian, sambungan kabel, hiasan pentas, jentera elektrik dan susunan kerusi audien.

Pada pagi hari rancangan tersebut, kelibat Aziz Desa mula kelihatan. Beliau nampak segak dan bergaya apabila mengenakan kot, tali leher dan sedikit “touch-up” di mukanya. Cermin Diri diadakan di Kolej Kediaman Ketujuh kerana di sini berlangsungnya progam cuti sekolah iaitu Supercamp dan Superkids anjuran syarikat Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Excel Training & Consultancy Sdn Bhd. TV3 perlu mengikut jadual pakar motivasi itu supaya rancangan mereka dapat disiarkan seperti yang dijadualkan.

Saya juga terlibat dalam kedua-dua program itu sebagai fasilitator yang bertugas mendidik pelajar di samping memudahkan perjalanan program sehingga ke akhirnya.

Melihat Aziz Desa secara dekat merupakan peluang besar kerana sukar bagi orang awam untuk melihat selebriti media ketika itu. Kepetahan bercakap dan kupasan idea yang meluas menjadikan persembahan Cermin Diri lebih ceria dan semakin diminati.

Keupayaan Aziz Desa bercakap di khalayak menjadikan anak-anak muda mula melihat bidang penyiaran sebagai kerjaya pilihan. Sumbangan Aziz Desa ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang penyiaran yang boleh dijadikan sebagai “bidang kerja yang boleh cari makan”.

Tahun-tahun hujung 1990-an adalah tahun yang mencabar kerana berlakunya krisis ekonomi yang mana ramai siswazah tidak dapat pekerjaan. Inspirasi yang diberikan oleh Aziz Desa sedikit sebanyak menyumbang kepada minat siswazah untuk menceburi bidang penyiaran walaupun bukan bidang pengajian mereka di universiti.

Walaupun kerjaya Aziz Desa berakhir dalam bidang politik dan pengurusan acara, penampilannya dalam rancangan Malaysia Hari Ini dan Cermin Diri masih segar dalam ingatan saya.
Semoga Allah swt menempatkan roh beliau dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Al fatihah.


Post a Comment