Sunday, December 06, 2015

Nilai Barat sudah muflis







Kumpulan bekas penjawat awam atau G25 dilapor membuat cadangan hukuman ke atas perbuatan khalwat dimansuhkan kerana melanggar hak kebebasan seseorang seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Alasannya ialah perbuatan khalwat yang dilakukan di rumah persendirian adalah hak dan privasi individu di samping berfikir perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelaku dengan Allah swt.

Jurucakap G25, Datuk Noor Faridah Ariffin dipetik sebagai berkata pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan jenayah.

Isu ini menarik perhatian masyarakat yang memberi pandangan mereka di media sosial. Antaranya ialah pandangan tentang “jangan dekati zina” merupakan sebahagian daripada saranan di dalam al-quran, justeru khalwat adalah perbuatan yang perlu ditegah. Ada juga yang menyifatkan pandangan kumpulan itu menunjukkan mereka tidak tahu hukum-hukum Islam.

Sebelum itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) turut tidak bersetuju dengan tindakan G25 yang mempertikai Mahkamah Syariah dan peranan Majlis Fatwa. Justeru mereka menyifatkan G25 “perlu dimengajikan semula”.

Hala tuju kumpulan ini menyasarkan isu-isu berkaitan agama Islam seperti sistem perundangan Malaysia, hak institusi agama, pentafsiran hukum fiqh dan teks tanpa sempadan serta menghidupkan budaya debat dalam urusan agama. Bagaimanapun kita tidak pasti apakah dasar perjuangan mereka.

Ahli-ahli G25 terdiri daripada bekas penjawat awam. Antaranya bekas naib canselor, bekas duta dan bekas dekan.

Tahap pengetahuan antara bekas dan orang muda amat jauh bezanya. Anak-anak muda di semua peringkat lebih banyak terdedah kepada ilmu dan amalan agama sebaliknya pandangan “bekas” masih berkisar terhadap kefahaman mereka pada masa lepas. Disuruh mengaji tidak mahu, diminta pendapat melulu-lulu.

Kefahaman anak muda terhadap Islam sangat baik pada hari ini. Ceramah agama mendapat sambutan, ustaz dan lebai sudah mendapat ruang di media dan buku berkaitan Islam berada di medan hadapan rak pameran kedai-kedai buku malah menjadi “best seller”.

Apakah G25  yang terdiri daripada bekas-bekas ini menyedari perubahan yang berlaku?

Kecenderungan masyarakat Islam untuk mengenali agama mereka bertambah rancak. Selepas kenal, tentulah mereka hendak mempraktikkan amalannya supaya wujud keindahan Islam dalam rumah tangga mereka.

Saya melihat perjuangan G25 mengulangi apa yang telah dikatakan oleh Syed Qutb dalam buku Petunjuk Sepanjang Jalan iaitu mengenai nilai-nilai Barat yang telah muflis. Nilai-nilai yang cuba dibawa oleh G25 tidak jauh beza dengan pandangan Syed Qutb dan lama-kelamaan masyarakat akan meninggalkan nilai-nilai bankrap ini kerana Barat sudah pun tidak menawarkan apa-apa nilai kepada manusia.



Post a Comment