Tuan-tuan dan Puan-puan
1. Saya mengucapkan terima kasih kepada BERNAMA dan ASLI atas penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi ini dan menjemput saya untuk berucap.
2. Sejak beberapa bulan lepas, ekonomi Malaysia menjadi topik hangat. Semua orang bercakap mengenai subsidi, tol dan cukai. Ahli politik dan golongan cerdik pandai membuat pelbagai kenyataan mengapa harga semakin meningkat atau apa yang kita perlu lakukan.
3. Saya faham rakyat merasakan tekanan akibat peningkatan kos. Saya menyedari rakyat mendapati harga semakin naik, namun mereka tidak mengetahui puncanya. Saya sedar sebahagian rakyat menganggap kita terlalu banyak membuat pembaharuan, terlalu pantas.
4. Itu sebab saya mahu mengambil peluang ini untuk bercakap secara terus dengan rakyat. Hari ini, saya akan menjelaskan cabaran yang dihadapi negara, mengapa kerajaan perlu bertindak dan apa yang dilakukan untuk membantu. Saya akan menunjukkan cara kerajaan membangunkan Malaysia yang lebih kukuh dan makmur.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5. Sejak merdeka, pembangunan ekonomi menawarkan peluang pekerjaan dan prospek yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia. Kita lebih sihat, memperoleh pendidikan yang lebih baik dan lebih baik berbanding sebelumnya.
6. Ini semua dicapai hasil kerja keras - dan perancangan baik dan penyampaian berkesan oleh kerajaan. Berdasarkan sejarah negara, kerajaan telah memacu pertumbuhan negara menerusi pelan strategik bagi memastikan ekonomi berada pada kedudukan yang baik.
7. Pendekatan ini berjaya. Sejak tiga puluh tahun, kadar kemiskinan secara menyeluruh turun 97 peratus. Kita berjaya membasmi kemiskinan tegar. Jangka hayat telah meningkat sebanyak 7 tahun, purata persekolahan sudah meningkat sebanyak 5 tahun. Sejak 1992, pendapatan isi rumah meningkat tiga kali ganda. Kita sudah mencatat perbezaan sebenar -- terhadap prospek rakyat biasa dan kehidupan golongan paling miskin dalam masyarakat.
8. Namun kemajuan ada harganya. Berdekad lamanya perbelanjaan subsidi kerajaan telah meningkat. Pada 2010, kita membelanjakan 15% bajet ke atas subsidi dan insentif. Pada 2012, angkanya mencatatkan 21.4% - atau 44 bilion ringgit. Berikutan harga pasaran telah meningkat, kos subsidi juga turut meningkat dan kebanyakan subsidi ini merupakan subsidi menyeluruh - yang bermakna semua orang menerimanya, termasuk rakyat asing, golongan perniagaan dan jutawan. Ia tidak adil - sebagai contoh, subsidi petrol, lebih besar kereta, lebih banyak manfaat dinikmati.
9. Ini bermakna wang terbabit yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina hospital atau sekolah, digunakan untuk membayar bahan api lebih murah untuk pelancong dan ekspatriat. Kos itu semakin meningkat. Pada 2009, defisit bajet - perbezaan antara apa yang kita dapat dan kita belanjakan - sebanyak 6%. Kos subsidi adalah antara faktor yang meningkatkan defisit.
10. Defisit bajet itu sendiri tidak selalunya negatif. Malaysia berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, dan ia tidak menghalang kita untuk membangun. Banyak negara berjaya - seperti Jepun - mempunyai hutang yang tinggi.
11. Namun ada masanya apabila hutang dan defisit menimbulkan situasi bahaya. Seperti yang kita ketahui, krisis 1997, perubahan berlaku dengan pantas. Jika prestasi ekonomi global lemah, orang akan berfikir dua kali untuk melabur di negara yang mempunyai defisit yang terlalu besar. Jika pihak yang meminjamkan wang menganggap sesebuah negara tidak mampu membayar hutang, mereka mengenakan kadar faedah yang tinggi. Lebih buruk lagi jika sentimen tidak memihak kepada negara itu, ia boleh mencetuskan perang modal - dan dalam dunia yang saling berhubung kini, ia boleh berlaku dalam sekelip mata.
12. Apabila ini berlaku, keputusannya boleh mengakibatkan kemusnahan. Dalam krisis kewangan baru-baru ini, penarafan kredit beberapa negara di Eropah diturunkan. Kos pinjaman meningkat dan hutang melambung di luar kawalan, menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang tertekan. Rakyatlah yang paling teruk menderita.
13. Mereka hilang pekerjaan - di beberapa negara Eropah, satu dalam tiga penduduk menganggur. Mereka hilang jaringan keselamatan dengan kerajaan terpaksa mengurangkan pembiayaan untuk kebajikan rakyat. Mereka hilang kebebasan kerana terpaksa melepaskan kawalan ekonomi kepada IMF.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama saya ialah untuk melindungi rakyat Malaysia. Saya tidak akan membenarkan kemajuan negara, kesejahteraan rakyat atau kedaulatan negara terancam. Sebab itulah kerajaan bertindak untuk mengawal kewangan negara.
15. Empat tahun lepas, kerajaan melakukan pembaharuan subsidi, mengurangkan bayaran untuk gula dan bahan api. Penjimatan itu bukan sahaja untuk mengurangkan defisit bajet - malah untuk membuka Klinik 1Malaysia dan menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada bersasar, kita menggunakan wang itu untuk kesihatan awam dan pendidikan.
16. Bagaimanapun, kos subsidi terus meningkat dan jelas bahawa kedudukan ekonomi Malaysia menjadi tidak mampan. Para pelabur, bank-bank dan agensi penarafan mula memberi fokus terhadap hutang, defisit Malaysia - selain ke atas perbelanjaan untuk subsidi.
17. Memang kita tertarik untuk mengatakan 'kita tidak perlu bimbang terhadap apa yang difikirkan oleh penganalisis asing - kita hanya perlu memberi tumpuan ke atas usaha untuk menyokong rakyat’. Tetapi isu kritikal ini tidak boleh diketepikan.
18. Seperti negara lain, kita perlukan pelaburan untuk berjaya. Pelaburan asing membantu perniagaan Malaysia berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi Malaysia. Ia membantu membina latar langit Kuala Lumpur, tebingan pantai Iskandar dan taman perindustrian Kuantan. Ia membantu membina landasan kereta api dan lebuh raya yang membolehkan kita bergerak ke seluruh negara. Pelaburan asing mewujudkan ratusan ribu pekerjaan dengan gaji tinggi, apabila firma antarabangsa membuka kilang, pejabat dan ibu pejabat di Malaysia. Pelaburan asing penting. Kita perlu memastikan kita terus menarik mereka.
19. Seperti negara lain, kita juga meminjam wang untuk membuat pembayaran seperti jalan baharu atau hospital. Kita membiayai perbelanjaan ini dengan menjual bon kerajaan; janji yang kita akan bayar kemudian.
20. Seperti negara lain, kita mesti bertindak untuk mengukuhkan kewangan. Ini disebabkan pelaburan dan pinjaman bergantung kepada satu perkara: keyakinan. Mereka yang melabur di Malaysia, atau membeli bon kita, sudah pasti mempunyai keyakinan bahawa Malaysia adalah negara yang mampu membayar hutangnya.
21. Ini menunjukkan bahawa kita boleh membuat keputusan yang sukar dan perlu untuk menurunkan hutang dan perbelanjaan, dan menambah pendapatan. Itulah sebabnya pada September tahun lepas, kerajaan mengumumkan langkah lanjut untuk menyusun semula program subsidi dan memperkenal GST - bukan serentak, tetapi program berperingkat-peringkat, bagi mengukuhkan kewangan negara.
22. GST pada 6% cukai ke atas barang dan perkhidmatan berbanding tanggapan sesetengah pihak, akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada dan bukan menambah kadarnya.
23. Banyak barang dan perkhidmatan akan dimasukkan dalam GST, namun banyak yang akan dikecualikan - termasuk makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak dan perkhidmatan penting seperti bekalan air di rumah dan pengangkutan awam. Daripada 193 negara di dunia, 160 melaksanakan GST. Kita memerlukan cukai baharu yang lebih adil ini memandangkan hanya 1 dalam 10 rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan. Jika ekonomi kita hendak terus berkembang kukuh, kita perlu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, malah juga untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, membolehkan kita untuk melabur untuk masa depan. GST akan membolehkan kita meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada membayar untuk subsidi, kita boleh menggunakan lebih banyak wang untuk pelaburan yang produktif - ke atas infrastruktur, sekolah dan penjagaan kesihatan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
24. Saya tidak memandang ringan ketika mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi - atau untuk memperkenal GST. Saya berfikir panjang dan mendalam tentang risiko dan kesan yang mungkin timbul kepada rakyat. Namun saya memutuskan bahawa kerajaan perlu bertindak: untuk menjamin keselamatan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara.
25. Malaysia sedang melakukan perjalanan. Destinasinya jelas: status negara berpendapatan tinggi. Sama seperti mana-mana perjalanan, mungkin ada beberapa halangan di sepanjang jalan. Kita mungkin perlu menyesuaikan laluan bagi mengelak halangan. Namun destinasi kita tidak berubah.
26. Apabila kabinet meluluskan pembaharuan subsidi, kami melakukannya hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi. Kita melakukannya dengan mata tertumpu kepada destinasi akhir.
27. Mentadbir adalah tindakan untuk membuat keputusan yang betul untuk esok dan bukan hanya untuk hari ini. Kegagalan untuk bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai ahli politik, memang mudah untuk menabur janji manis, menawarkan apa sahaja yang dikehendaki rakyat dan menangani akibatnya kemudian. Namun kepimpinan adalah untuk membuat apa yang betul dan bukan apa yang mudah. Jika kita silap membuat keputusan sekarang, pembangunan akan terjejas. Saya bersedia meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek saya. Saya yakin pembaharuan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya.
28. Dalam tahun-tahun sukar, kerajaan mengekalkan ekonomi kita dalam keadaan selamat dan kukuh. Apabila saya mengambil alih jawatan, dunia sedang menghadapi krisis kewangan yang sukar. Banyak negara di ambang bencana. Namun ekonomi negara terus berkembang. Sejak 2009, KDNK kita berkembang pada kadar purata 5.7% setiap tahun dan pendapatan isi rumah 24% lebih tinggi.
29. Pembaharuan subsidi terkini disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan. Defisit bajet kita turun: ia kini pada 3.9%, lebih rendah daripada sasaran kita sendiri. Kita dalam perjalanan ke arah bajet seimbang pada 2020. Walau apa pun yang diperkatakan oleh penganalisis politik, ekonomi Malaysia terus berkembang.
30. KDNK meningkat 5.1% pada suku yang lepas - lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Jualan runcit, pembinaan, perdagangan dan eksport semakin meningkat. Tahun lepas menyaksikan dagangan mencatat rekod, tertinggi dalam sejarah - begitu juga dalam pelaburan asing, yang mengembangkan perniagaan Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia.
31. Pertumbuhan dan pelaburan ini menambah bilangan pekerjaan dan peluang baharu. Selain angka yang tinggi, kehidupan isi rumah Malaysia juga bertambah baik, gaji purata terus meningkat: gaji tahun lepas meningkat secara purata sebanyak 6%, lebih tinggi daripada inflasi pada 2.1%.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
32. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan kini semakin baik. Namun saya tahu bahawa ia tidak begitu. Saya memahami bahawa pertumbuhan KDNK dan aliran ekonomi nampak tidak relevan ketika isi rumah cuba untuk meneruskan kehidupan. Jadi biar saya jelaskan apa yang sedang kita lakukan untuk membantu.
33. Pertama, kerajaan akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup. Tahun ini, kerajaan akan membelanjakan lebih 40 bilion ringgit untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan dan sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang.
34. Tahun ini, pembayaran BR1M mencecah 7 juta rakyat Malaysia, termasuk buat pertama kalinya mereka yang berpendapatan antara 3,000 ringgit dan 4,000 ringgit sebulan. BR1M adil dan progresif - ia diberikan atas dasar keperluan sahaja dan ia memenuhi matlamatnya: sejak pembayaran terakhir, pendapatan bulanan kira 17,000 rakyat telah meningkat dan mereka telah keluar daripada golongan berpendapatan rendah.
35. Sepanjang lima tahun akan datang, kami akan meningkatkan BR1M kepada 1,200 ringgit setahun, untuk membantu menampung kos hidup yang meningkat. Kerajaan menawarkan bantuan kewangan sehingga 30,000 ringgit untuk membina rumah kos rendah baharu yang dibina menerusi skim MyHome, untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendiami rumah moden yang lebih selamat. Kerajaan membuka kedai-kedai 1Malaysia untuk membantu kos barangan asas dan Klinik 1Malaysia untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berpatutan. Kerajaan telah memperkenalkan gaji minimum untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan menjamin standard asas hidup.
36. Kerajaan juga membantu isi rumah berpendapatan sederhana, menerusi pengurangan cukai 1%, dan pengecualian cukai 2,000 bagi mereka yang berpendapatan sehingga 8,000 ringgit sebulan. Kami sedang berunding dengan majikan untuk memastikan mereka memain peranan. Pekerja Malaysia membawa pulang sekitar satu pertiga daripada KDNK sebagai gaji; dalam ekonomi maju, angkanya hampir kepada separuh. Rakyat dan kerajaan melabur untuk masa depan Malaysia - syarikat mesti turut serta dan membuat sumbangan dengan memastikan jurang gaji antara anggota lembaga pengarah eksekutif dan di pekerja kilang tidak berbangkit.
37. Berikutan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran tinggi, kita telah memulakan siri projek intensif untuk membantu graduan memulakan kerjaya mereka. Dalam jangka hayat mereka, siswazah akan memperoleh gaji lebih tinggi berbanding bukan siswazah, namun agak sukar untuk memadankan kemahiran dengan keperluan. Oleh itu kerajaan melaksanakan program seperti Skim Latihan 1Malaysia dan KATA 1Malaysia untuk meningkatkan kemahiran graduan dan mempersiapkan mereka untuk mula bekerja.
38. Kerajaan juga memberikan tumpuan ke arah menjadikan kerajaan lebih cekap. Ketua Setiausaha Negara bertindak atas Laporan Ketua Audit Negara 2012: mengurangkan kos bekalan elektrik kerajaan sebanyak lima peratus, mengurangkan kos pengangkutan dan memotong bajet keraian untuk menteri. Kecekapan kita secara keseluruhannya semakin meningkat menerusi program transformasi kerajaan.
39. Kerajaan juga meningkatkan usaha dalam memerangi rasuah. Rasuah sudah lama wujud dan memeranginya menjadi keutamaan saya. Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara dalam usaha ini, kita mesti bekerja bersama-sama merentas jurang politik untuk menjadikan rasuah tidak diterima masyarakat. Dalam kerajaan, sebagai contoh, perolehan kini kebanyakannya melalui tender terbuka dengan beberapa rundingan terus. Rasuah perlu ditangani di semua peringkat - bukan sahaja 'ikan besar', malah rasuah peringkat rendah yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat.
40. Ada yang mengatakan jika kita dapat menghapuskan rasuah- semalaman- kita tidak memerlukan pembaharuan subsidi atau GST. Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh memetik jari dan rasuah lenyap dalam sehari, sebulan atau setahun. Oleh itu kita mesti menangani rasuah, menyusun semula subsidi dan memperkenal GST untuk menjadikan bajet simbang.
41. Hong Kong sebagai contoh. Pada tahun 1970-an, ia dibelenggu rasuah; hari ini ia adalah antara bandar raya di dunia yang tahap rasuahnya paling rendah. Namun kejayaan ini mengambil tempoh berdekad lamanya. Ya, kita mesti menangani rasuah, ya... kita mesti menyusun semula kewangan. Kecuali kita sama-sama bertindak, ekonomi akan lemah dan pelabur dan peminjam akan berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia.
42. Kerajaan juga terus menangani kenaikan harga. Langkah yang kita ambil sudah membuahkan hasil. Kami memberi tumpuan ke atas paparan untuk memastikan tidak berlaku kenaikan harga. Jika mendapati harga meningkat lebih tinggi daripada sepatutnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk campur tangan dan melindungi pengguna Malaysia. Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan terus melindungi proses persaingan untuk manfaat perniagaan, pengguna dan ekonomi.
43. Kerajaan juga menyediakan tenaga kerja untuk memacu industri baharu. Program transformasi kerajaan bukan sekadar angka; ia membabitkan usaha untuk mewujudkan pekerjaan baharu dan menyiapkan rakyat Malaysia untuk merebut peluang baharu yang muncul. Enam tahun lepas, ramai yang bekerja di ladang. 30 tahun lepas, di kilang. Hari ini ramai yang bekerja di pejabat. Kita mesti bersedia untuk anjakan berikutnya. Pekerjaan untuk masa depan- pekerjaan untuk anak-anak kita - pelaburan dan kemahiran baharu.
44. Contohi kisah Kabilah Hussein, petani rumput laut di Sabah. Beberapa tahun lepas, beliau berhempas-pulas mencari wang untuk kelangsungan hidup. Namun selepas mengiklankan perniagaannya dalam talian, beliau kini memberi pekerjaan kepada hampir separuh penduduk kampung dan menjual produk ke seluruh dunia. Saya mahu lebih ramai Kabilah yang mampu meraih manfaat peluang baharu. Ialah sebenarnya yang diharapkan menerusi program transformasi ekonomi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
45. Saya tahu rakyat bimbang tentang kenaikan harga. Kerajaan selalu berkata bahawa harga akan meningkat apabila pembaharuan subsidi berkuat kuasa. Sebabnya perlu diketahui.
46. Jika hutang dan defisit kita terus meningkat dan dibiarkan, ekonomi Malaysia akan menghadapi risiko, menjejaskan kehidupan dan pendapatan berjuta-juta orang. Kerajaan bertindak kerana jika tidak, ia merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
47. Sejak merdeka, kita telah mencapai kejayaan besar. Namun kita tidak boleh selesa dan mengambil mudah kejayaan. Ekonomi boleh berubah semalaman; kita mesti bersedia. Kita mesti berjimat hari ini, supaya kita lebih kuat esok. Kita perlu berbuat demikian berdasarkan terma kita sendiri. Seperti pepatah: 'sediakan payung sebelum hujan'.
48. Pembaharuan subsidi adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang berhati-hati dalam memastikan ekonomi yang lebih adil, kukuh dan lebih stabil. Ini bermakna rakyat akan terus melabur dalam perniagaan Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini. Ini bermakna pembangunan luar biasa Malaysia akan diteruskan, dengan lebih banyak peluang untuk anak-anak kita serta taraf hidup yang lebih baik untuk semua. Perancangan itu berjalan lancar.
49. Kerajaan memahami kebimbangan rakyat dan kerajaan akan membuat penyesuaian dasar apabila perlu. Sama seperti memandu di lebuh raya, jika ada trafik di hadapan, anda menukar gear dan berubah laluan; namun destinasi kita tetap sama.
50. Destinasi kita tidak berubah. Kita semakin hampir merealisasikan status negara maju. Jika kita ada komitmen, bersama-sama, untuk membangunkan ekonomi yang kukuh untuk Malaysia, ganjarannya hebat. Dengan beralih kepada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita membantu negara untuk kekal pada kedudukan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Dengan memastikan kewangan terkawal, kita melabur untuk masa depan - keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
51. Terima Kasih.
(Utusan Malaysia, 7 Mac 2014)
No comments:
Post a Comment