Saturday, March 29, 2014

Ibu bapa dipenjara

 
 
 
 



Akhirnya mahkamah Sweden membuat keputusan memenjarakan pasangan ibu bapa dari Malaysia yang memukul anak-anak mereka. Mahkamah menggunakan istilah “mendera secara sistematik” bagi menggambarkan perbuatan tersebut ke atas Ammar, Aishah, Adam dan Arif. Selain dipenjara, kedua-duanya turut didenda.

Apakah ini balasan paling baik ke atas pendera anak-anak kerana bapa kepada anak-anak ini merupakan seorang pegawai kerajaan yang terlibat dalam mempromosi Malaysia? Sementara ibu mereka merupakan seorang guru yang sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

Penderaan anak-anak sudah biasa di Malaysia malah mangsa acap kali mendapat kecederaan atau meninggal dunia. Dalam kes terbaru di Perak baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia kerana deraan ibu dan teman lelakinya. Sebab-musabab penderaan tidak diketahui tetapi biasanya berkaitan sifat marah terhadap tingkah laku mangsa yang dalam proses membesar.

Faktor-faktor yang mendorong kepada penderaan anak-anak sendiri boleh dilihat dari pelbagai perspektif. Jika dilihat dalam kes pasangan tadi, latar belakang keluarga harus diberi keutamaan. Bapa adalah pegawai yang dilihat bekerja keras untuk mempromosi negara dan ibu mengambil cuti untuk menjaga anak-anak. Kehidupan di luar negara banyak cabaran khususnya menghadapi perbezaan budaya, agama dan nilai hidup. Biarpun nilai dan kaedah mendidik anak-anak diberi perhatian dalam agama Islam, kaedah tersebut tidak ada nilai dalam masyarakat yang bukan Islam, malah tidak dipandang pun. Contohnya memukul atau merotan kerana enggan bersolat, bukan Islam di Sweden tidak tahu pun kepentingan solat dalam kehidupan umat Islam. Jadi tidak perlu bagi mereka untuk mengikut atau menurut kaedah itu.

Dalam kes Sweden, negara itu sudah tentu tidak tahu menahu tentang nilai dan kaedah pengajaran anak-anak dalam Islam ataupun dalam masyarakat Timur yang berbeza sama sekali dengan nilai masyarakat itu. Pertimbangan mahkamah yang tidak melihat kepada aspek agama dan nilai-nilai budaya masyarakat Timur ini menunjukkan mereka jahil dengan amalan budaya masyarakat di luar Sweden.

Banyak iktibar kepada kita dalam kes ini. Antaranya ialah mengelak untuk menjadikan Sweden sebagai tempat tinggal jika tidak dapat menahan marah terhadap anak-anak kerana mungkin sesekali menjentik telinga anak-anak akan dianggap sebagai mendera dan mencabul integriti anak-anak. Lagi pun Sweden tidak akan peduli alasan amalan dan budaya hidup masyarakat lain.

Jika bekerja di negara itu dan mempunyai anak-anak, lebih baik membawa pengasuh sekali supaya kehidupan anak-anak dapat diurus dengan lebih baik. Hal ini kerana sifat “cepat naik tangan” kepada anak-anak dapat diminimumkan seterusnya mengelak daripada berterusan mendera.

Pilihan lain ialah menjadikan negara-negara yang lebih memahami agama Islam dan budaya hidup masyarakat Timur sebagai tempat bekerja. Cara ini menjadikan kita bebas mengamalkan cara mendidik anak yang menepati syariat Islam.

Kehidupan pasangan suami isteri Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Nor Shal akan berubah seratus peratus selepas ini. Hubungan dengan anak-anak mereka juga pasti ada kesannya. Ia bergantung kepada bagaimana keluarga ini menerima hukuman berkenaan dan tindak balas pasangan berkenaan terhadap anak-anak mereka. Dalam situasi ini, sokongan ahli keluarga yang lain amat penting untuk merapatkan kembali keluarga ini dan melihat masa hadapan yang lebih baik. Mungkin juga kedua-duanya wajar diberi kaunseling bagi meredakan trauma di samping memberi pendedahan tentang kaedah mendidik anak-anak yang selari dengan kaedah secara Islam. Sifat marah mereka juga patut dikurangkan supaya anak-anak tidak berdendam dan menyalahkan ibu bapa.

No comments:

Post a Comment