Wednesday, March 26, 2014

Mengenang MH370: Ucapan Takziah dan Al-Fatihah





 



oleh Dr. Norliah Kudus

Innalilillahi wainna ilairajiun. Al-Fatihah. Pertamanya penulis mengambil kesempatan mewakili seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia mengucapkan sekalung Takziah dan Al-Fatihah buat semua anak-anak kapal dan penumpang pesawat MH370. Ucapan takziah ini juga khas ditujukan kepada ahli keluarga dan rakan taulan kepada penumpang yang terlibat dalam tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka semua.

Seperti yang semua maklum, saat penantian berakhir pada malam 24 Mac, jam 10 malam apabila pengumuman dan ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merumuskan bahawa pesawat tersebut terhempas dan berakhir di kawasan yang terpencil di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth Australia. Malah sidang akhbar khas ini juga telah menamatkan pelbagai spekulasi dan teka teki mengenai ke mana hilangnya pesawat ini sejak 17 hari yang lalu.

Penulis juga turut dihujani berita dengan menerima pelbagai mesej Whatsapp dalam telefon terutamanya dari rakan taulan yang ingin berkongsi rasa kesedihan terhadap pengumuman tersebut. Malah seluruh dunia dikejutkan dengan berita penemuan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang berakhir di Lautan Hindi semalam telah terjawab. Justeru penulis ingin mengajak semua warga pembaca setia akhbar Melaka Hari Ini (MHI) dan seluruh rakyat Malasyaia mendoakan semua ahli keluarga tabah dan reda dalam menghadapi situasi yang amat sukar pada masa ini. 

Pasrah dan Reda 

Terkadang Allah SWT hilangkan sesuatu yang kita sayang, kerana Allah sedang menggantikan sesuatu yang lebih indah buat kita semua. Kongsikan doa rakan-rakan dalam untuk MH370 sebagai tanda simpati kita kepada keluarga mangsa. Malah satu dunia turut bersimpati kepada keluarga, rakan-rakan dan krew MAS yang terlibat dengan tragedi ini sedih ini. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga semua tabah dan reda melalui ujian Allah SWT.

Penulis bersetuju bahawa setiap kita sebagai manusia tidak suka kepada kehilangan. Kerana itu kita manusia akan berasa takut apabila kehilangan berlaku meskipun walau seketika. Malah kunci kereta yang hilang kerana tersilap letak hingga memungkinkan kita terlewat ke pejabat pun boleh menimbulkan kebimbangan. Begitu juga kalau anak kecil kita yang hilang di gedung membeli belah contohnya, meskipun kerana mungkin anak kecil kita ini hanya bersembunyi di sebalik rak-rak pakaian atau makanan pun sudah cukup mencemaskan kita sebagai ibu bapa atau penjaga mereka.

Malah apabila kehilangan itu berlaku seketika dan yang hilang itu kembali, alangkah leganya hati kita. Begitu juga alangkah bersyukurnya kita kerana situasi tersebut akan memberi kita lebih peluang untuk menjaga apa yang muncul kembali itu agar tidak hilang lagi di masa akan datang. Justeru itu, ianya juga memberi kesedaran bahawa rupa-rupanya selama ini kita amat menyayangi sesuatu atau apa yang telah kita hilang itu.  

Semoga contoh ringkas ini memberikan kesan yang signifikan dalam kehidupan kita bahawa orang yang tersayang itu akan memberikan makna ketika ia hidup dan memberikan memori indah apabila mereka telah tiada. Justeru hargailah mereka semasa hayat mereka dan hormati dan ingatilah apabila mereka telah tiada di sisi kita. Yang kekal hanyalah Allah, Tuhan Maha Pencipta.

Terima Kasih Semua Pihak 

Terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia dan semua pihak berkuasa negara ini dan dari negara jiran dan masyarakat antarabangsa yang turut sama-sama memberikan pertolongan dan bertungkus lumus dalam membantu misi menyelamat serta operasi pencarian pesawat MH370 sejak 8 Mac yang lalu.

Kita percaya bahawa misi mencari bukanlah semudah yang disangka memandangkan ianya berlaku di kawasan lautan yang luas terbentang. Kerajaan dan semua pihak keselamatan negara telah bekerja keras untuk membantu memastikan pesawat MH370 ini dijumpai.

Justeru itu, marilah kita sama-sama menghormati keluarga dan pasukan penyelamat dari pelbagai negara yang telah bertungkus lumus siang dan malam mencari mangsa. Hentikan semua spekulasi yang tidak ada fakta kerana hal ini akan menambahkan lagi rasa sedih dan gulana yang bukan sahaja kepada keluarga tetapi semua manusia yang bersimpati kepada mangsa.

Sebagai masyarakat timur, ia bukanlah satu senario 'asing' pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni termasuklah pengucapan terima kasih kerana ia menjadi kebanggaan warisan masyarakat terdahulu. Ucapan terima kasih ini telah dituturkan oleh semua bangsa dari dahulu sehinggalah sekarang.

Bagi orang Cina, ia disebut 'xie xie', manakala bangsa Arab, 'syukran jazilan', ungkapan bahasa Inggeris, 'thank you' dan ucapan bangsa France pula menyebutnya 'merci'. Biar apa pun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada kita. Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si penerima.

Dalam Islam juga, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah 'syukur', yakni diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat, rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah. Malah dalam mengenang peristiwa MH370 ini juga, kita semua hendaklah sentiasa bersyukur dan berterima kasih di atas segala sesuatu yang telah terjadi kerana di situ terdapat banyak pengajarannya yang bermakna buat semua bangsa, agama dan Negara.

Doa dan Harapan 

Dalam pada itu, marilah sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat buat mereka yang telah pergi. Itulah sahaja kiriman kasih yang boleh kita layangkan untuk mereka yang telah pergi. Mudah-mudahan apa yang telah hilang itu akan kembali dan muncul di depan mata. Penulis bersetuju bahawa dalam hidup kita ini ada waktu kita bersuka ria dan ada waktu kita akan sedih, ada waktu kita akan bersendirian, ada waktu kita akan berduka dan ada waktu kita menitiskan air mata dan ada waktu kita perlu reda dengan apa yang terjadi pada diri kita dan ahli keluarga kita.

Akhir bicara, Allah Yang Maha Berkuasa lebih menyayangi mereka dan semuanya yang ada dalam pesawat MH370. Daripada Dia kita datang, daripada Dia kita kembali. Yang pergi tetap pergi dan kita yang hidup pastinya sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Diharapkan semua ahli keluarga kekal tenang, reda dan kuat pada saat-saat kesukaran ini. Hilang di Mata Bukan Di Hati. Allah pastinya mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Takziah buat semua keluarga dan Al-Fatihah buat semua penumpang beragama Islam. Buat semua mangsa MH370, semoga bersemadi damaimu di sana.


Penulis ialah Pensyarah Kanan & Perunding Motivasi,  Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan,  Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
 
Post a Comment