MH370 menjadi tumpuan ketika ini. Kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines masih belum terjawab di tengah gerakan mencari dan menyelamat yang sedang dilakukan. Pasukan dari Malaysia bersama Vietnam dan China meneruskan usaha mengesan kedudukan pesawat sambil dibantu penyelamat dari Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, Australia dan Filipina.
Nasib penumpang dan anak kapal tidak diketahui. Pakar penerbangan udara mencadangkan lima teori kemungkinan yang berlaku ke atas pesawat berkenaan seperti dirampas, meletup di udara, terhempas di lautan, masalah teknikal dan menjunam ke dalam laut. Bagaimanapun hal sebenar masih belum diketahui.
Ketika ucapan takziah dan doa datang seluruh dunia, pesawat MH370 menunjukkan keprihatinan negara-negara sahabat menghulurkan bantuan. Ketika krisis seperti kita dapat melihat kesungguhan negara-negara ini khususnya China yang bersungguh-sungguh menjalankan operasi kerana hampir dua pertiga penumpang adalah rakyat negara itu.
Banyak yang kita boleh pelajari apabila kejadian ini berlaku. Pertama ialah penyelarasan operasi. Semua aset yang berkaitan dengan operasi menyelamat digunakan melibatkan udara dan laut. Komnikasi pantas untuk mengurangkan tempoh menanti sangat diutamakan ketika ini justeru operasi cari dan menyelamat mesti diberi keutamaan. Semua maklumat berkaitan MH730 mesti disalurkan ke bilik gerakan yang bertindak memantau kemajuan operasi.
Kedua, sidang media. Hanya seorang yang berautoriti perlu memberi penjelasan, justeru semua saluran komunikasi harus diarahkan kepada individu berkenaan supaya orang ramai mendapat maklumat yang setara. Kelewatan mengadakan sidang media hanya mengundang spekulasi dan penyelewengan maklumat. Individu ini juga mesti pintar menggunakan diplomasi dan bijak menyusun bahasanya supaya nampak ketegasan, logik dan meyakinkan. Wartawan dan orang ramai yang dahagakan berita sentiasa mengharapkan adanya perkembangan daripada mendengar "tidak ada apa-apa yang baru setakat ini". Walaupun maklumat "ada tompokan minyak" atau "nelayan nampak pesawat terbang rendah" ia harus dikongsi supaya masyarakat sentiasa dapat mengemas kini infomasi sedia ada adalam fikiran mereka.
Ketiga, peranan media. Saluran media tempatan khususnya sangat penting dalam menyalurkan keprihatinan pemimpin dan masyarakat terhadap krisis ini. Rakaman takziah wajar diberi perhatian kerana detik-detik duka perlu dikongsi bersama sebagai tanda kesatuan negara. Biarpun seorang kanak-kanak yang menaip "kami berdoa untuk MH370" pun boleh dijadikan bahan berita yang menunjukkan kesedihan bukan sahaja berada dalam kalangan orang dewasa, malahan kanak-kanak turut memahami situasi tersebut. Majlis solat hajat yang diadakan di seluruh negara wajar sekali diberi liputan kerana beginilah caranya masyarakat Islam berhadapan dengan ujian hidup mereka.
Keempat, keprihatinan pemimpin. Menzahirkan simpati amat penting kepada pemimpin. Beliau harus membuka mulut atau maklumat berkaitan diri dengan krisis perlu sentiasa ada kaitan setiap hari. Hari ini lebih mudah kerana pemimpin dapat berhubung dengan masyarakat melalui media sosial. Kenyataan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa menggambarkan keperihatinan pemimpin dalam isu ini.
Kelima, peranan kaunselor. Waktu krisis perlukan kaunselor yang mampu memberi memberi ketenangan kepada keluarga mangsa. Keprihatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan kaunselor amat dihargai. Akhir-akhir ini peranan kaunselor sudah mula digerakkan dalam suasana bencana seperti banjir baru-baru ini. Justeru memberi kaunseling kepada keluarga mangsa merupakan sebahagian langkah penting untuk mengaktifkan kaunselor dan bukan sekadar berperanan di sekolah.
MH370 telah menyatukan hati rakyat Malaysia dan negara-negara sahabat untuk meneruskan gerakan usaha mencari dan menyelamat. Kita mendoakan semua usaha ini akan membuahkan kejayaannya.
No comments:
Post a Comment