Tuesday, March 04, 2014

Paradigma jutawan




 



Menjadi jutawan di Malaysia perlu menunggu sehingga berumur lebih 50 tahun. Mengikuti senarai Forbes, orang terkaya di negara ini berumur 62 tahun hingga 90 tahun. Keadaannya lebih kurang sama dengan negara-negra Asia yang lain.

Azam melibatkan diri dan menjadi jutawan di Malaysia tidak sama dengan usahawan di Amerika Syarikat. Di negara itu, seseorang boleh menjadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. Paradigma pemikiran usahawan muda Amerika Syarikat ialah menceburkan diri dalam bisnes yang berisiko tinggi kerana wang berada di luar zon selesa dan mereka mesti menjadi pencetus.

Bidang yang sangat cepat berkembang dan memberi wang yang banyak ialah teknologi maklumat atau IT. Bidang ini umpama mesin cetak wang jika dapat digabungkan dengan pengiklanan kerana pengiklanan adalah "bisnes makan tak habis".

IT adalah ilmu baru yang menarik minat golongan muda dan peniaga. Golongan muda kerana mereka suka yang baru manakala bagi peniaga mereka dapat menjual produk di seluruh dunia.

Golongan 50 tahun ke atas tidak lagi berminat dengan IT sebaliknya berminat menjadi pemegang saham kerana kehidupan yang telah stabil. Menjadi pelabur lebih mudah kerana operasi syarikat dilakukan oleh orang muda yang lebih dinamik. 

China juga melahirkan jutawan dalam usia muda. Sekiranya satu produk berharga RM100 seunit dan mendapat sambutan, dalam tempoh setahun usahawan boleh menjadi jutawan kerana pasaran domestiknya yang besar.

Mengumpul kekayaan adalah falsafah jutawan hari ini. Mereka mengembangkan satu per satu perniagaan sedia ada supaya mencipta lebih banyak harta. Ada orang kaya berhati mulia dan menjadikan dirinya sebagai "bank" kepada orang susah. Ada juga yang tidak peduli nasib orang susah.

Namun , antara ciri orang kaya dan jutawan yang akan diingati ialah bersifat pemurah dan bersama-sama menyelesaikan masalah hidup masyarakat. Mereka kembalikan kekayaan kepada masyarakat supaya dapat dirasai bersama. Jutawan beginilah yang kita harap dapat dilahirkan sama ada muda ataupun lanjut usia.



 

No comments:

Post a Comment