Friday, March 14, 2014

Dari segrerasi ke integrasi





1.0 Pengenalan

Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama tanpa kehadiran pihak penjajah Barat. Pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia khususnya yang hidup secara berkelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat.

Segregasi merujuk kepada pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara. Pemisahan itu berlaku dalam beberapa keadaan seperti kawasan tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan penerbitan akhbar mengikut bahasa ibunda masing-masing.

Malaysia lebih mengutamakan integrasi dalam usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini. Integrasi diertikan sebagai satu proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang dapat diterima oleh semua kelompok etnik. Identiti, budaya dan hak hidup sesuatu kumpulan etnik tidak dihapuskan, tetapi disuburkan. Dalam konteks Malaysia, integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan etnik yang terpisah-pisah dari segi budaya, agama, sosial dan kawasan penempatan.

Sejak merdeka lagi, kerajaan Malaysia telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.

Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula keadaan seperti sedia kala. Kekuatan-kekuatan dari segi aspek ekonomi, sosial dan politik boleh menjadi faktor penentu kepada pembentukan segregasi etnik moden.Kertas kerja ini memfokuskan tentang perubahan yang berlaku dari segrasi ke integrasi dalam kalangan etnik Malaysia.

1.1 Objektif Kajian



Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap pemahaman masyarakat terhadap konsep “Dari Pengasingan ke Penyatuan” di Malaysia terutamanya dalam kalangan pelajar. Selain itu kajian ini juga menghuraikan dasar-dasar kerajaan dalam konsep segregasi dan intergrasi dalam konteks hubungan etnik di Malaysia serta menganalisis penerimaan budaya di Malaysia serta impak integrasi dalam masyarakat dari segi penerimaan terhadap budaya yang berbeza.


2.0 Sorotan Literatur

Terdapat banyak kajian mengenai mengupas tentang isu “Dari Segregasi ke Integrasi.” Kajian ini dijalankan di beberapa tempat oleh beberapa pihak yang berbeza. Antaranya ialah Rosernberg dan Simmons (1972) seperti yang dipetik daripada Wylie et al. (1979) telah memberikan beberapa situasi untuk menjelaskan bahawa integrasi itu boleh merendahkan harga kendiri orang kulit hitam; iaitu orang kulit hitam akan mengalami lebih penghinaan sekiranya mereka bersekolah di sekolah campuran. Prestasi pelajaran orang kulit hitam lebih rendah berbanding orang kulit putih di sekolah campuran walaupun sebenarnya mereka cenderung untuk mencapai prestasi yang lebih baik di sekolah segregasi. Memasuki sekolah campuran, orang kulit hitam akan menghadapi situasi di mana nilai-nilai dan tingkah laku kaum mereka direndahkan sedangkan mereka telah menerima nilai dan tingkah laku tersebut sebagai sesuatu yang benar dan boleh dikagumi. Pengintegrasian akan menyedarkan kanak-kanak kulit hitam itu tentang status sosioekonomi keluraganya yang biasanya berada pada tahap yang rendah.

Kajian yang dijalankan oleh Bachman (1970) juga mendapati estim kendiri kanak-kanak kulit hitam di sekolah segregasi adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak kulit putih dan juga kanak-kanak kulit hitam yang bersekolah di sekolah campuran. Beberapa kajian lain yang dijalankan oleh penyelidik seperti Harootunian (1968), Crain dan Weisman (1972) serta Hughes dan Works (1974) turut membuktikan bahawa proses segregasi tidak akan merosakkan konsep kendiri seseorang individu sebaliknya integrasi yang boleh memberi kesan buruk kepada estim kendirinya. Namun demikian ingin ditegaskan di sini, kesan integrasi dan segregasi ke atas konsep kendiri ini mungkin juga dipengaruhi oleh pembolehubah-pembolehubah yang lain. Kajian-kajian yang dijalankan oleh para penyelidik sebelum ini kurang memberi perhatian kepada aspek tersebut.

Amir Hassan Dewi (2002) dalam Penteorian Sosiologi dan Pendidikan telah menyatakan segregasi atau pengelompokkan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi bermaksud pemisahan atau pengasingan kumpulan etnik dengan etnik yang lain dalam sesebuah negara sama ada disebabkan oleh kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi juga dimaksudkan sebagai hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di dalam sesebuah negara.

Amidah Hamim (2001) menyatakan tentang dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan seperti Dasar Wawasan Negara (DWN ialah mencapai perpaduan nasional, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan seimbang menerusi pembangunan alam sektor yang mapan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang. DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut; membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang juga tersemat dengan nilai positif, dan meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi. Selain itu, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro. Dasar ini juga penting untuk mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi serta membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran rakyat. Juga mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan.

Di samping itu, berdasarkan blog Sabree Hussin yang telah ditulis pada 11 Oktober 2009 menyatakan bahawa kepelbagaian etnik sama ada secara langsung atau tidak, memainkan peranan penting dalam hubungan etnik di Malaysia. Berdasarkan kepelbagaian inilah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan program bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Antara langkah penting yang diambil ialah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan juga telah bertindak secara aktif dengan menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara pada peringkat pusat dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri pada peringkat negeri. Penubuhan majlis ini bertujuan membincangkan isu-isu perpaduan kaum di Malaysia secara harmoni dan tidak menggugat kestabilan politik yang sedia ada. 

Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional. Tambahanya lagi, keharmonian hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam setiap lapisan masyrakat melalui rumah terbuka, penerimaan budaya antara etnik dan perkongsian kuasa politik. Sebagai contoh, hubungan etnik yang harmonis di Melaka dibuktikan lagi dengan jelas hingga kini melalui seni bina Masjid dan rumah ibadat lain. Masjid Kapitan Kling dan Masjid Tengkera misalnya, mempunyai gabungan seni bina Cina, Melayu, Arab dan India. Masjid-masjid yang dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah unik iaitu mempunyai menara berunsurkan pagoda dan ukiran campuran bermotif tempatan, Arab dan India serta Cina.

Berdasarkan sebuah blog yang telah ditulis oleh Tokich New Press daripada laman web wordpress.com menyatakan bahawa Malaysia telah berjaya melangkah keluar daripada kumpulan negara mundur kepada negara sedang membangun. Kini, Malaysia bergerak menuju ke arah status negara maju, seperti yang dicita-citakan dan dinyatakan dalam Wawasan 2020. Pergerakan daripada negara mundur kepada negara sedang membangun berlaku dalam tempoh 50 tahun (1957-2007). Antara program yang dapat mengeratkan hubungan etntik di Negara Malaysia adalah Program Citrawarna Malaysia, persembahan dari segi kebudayaan, tradisional dan kesenian dalam bentuk tarian dan muzik yang menarik dan penuh keunikan dianjurkan secara besar-besaran. Dalam program ini, lebih seribu peserta dari seluruh Malaysia akan menyertai persembahan untuk menjayakan program ini. Peserta-peserta yang datang dari berbilang kaum dan berlainan latar belakang, menunjukkan kesenian kebudayaan masing-masing dan mereka juga dapat mempelajari seni kebudayan kaum lain dan ini akan meningkatkan semangat perpaduan kaum-kaum di Malaysia. Selain itu, melalui program Citrawarna rakyat berbilang kaum yang hadir turut boleh berkomunikasi dan mengeratkan hubungan etnik. Citrawarna juga dikenali sebagai “Colours of Malaysia”, adalah persembahan yang berfokus dalam kebudayaan dan kesenian tradisional Malaysia. Contohnya, muzik dan tarian. Persembahan itu termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain agama di Malaysia dengan pelbagai jenis kebudayaan daripada kaum yang berlainan. Persembahan ini dijalankan dengan lancar dan menarik ramai penonton dan sekaligus dapat menunjukan etnik di Malaysia kepada pelancong luar negara.



3.0 Metodologi  Kajian

Sepanjang tempoh menjalankan kajian dan menyiapkan penyelidikan ini, beberapa kaedah penyelidikan yang dapat membantu kami. Salah satu daripadanya adalah mendapatkan maklumat serta rujukan daripada beberapa sumber seperti buku rujukan, akhbar dan internet. Kajian dan penyelidikan ini juga dilakukan dengan cara merujuk dan meneliti artikel-artikel yang terdahulu.

Selain itu, analisis menggunakan kaedah pemerhatian dan pemantauan kepada aspek perubahan yang berlaku dari pengasingan ke penyatuan, cabaran dalam memupuk integrasi di Malaysia. Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) adalah salah satu cara untuk mencapai integrasi. Aspek-askpek ini telah dikaji supaya dapat mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdapat pelbagai kaum. Pemantauan adalah penting bagi mengukuhkan lagi bahan yang telah diperolehi dan mendapatkan bahan yang lebih banyak.


4.0 Hasil Kajian

Rajah 1: Pengetahuan pelajar UTeM mengenai konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi”

Rajah 1 menunjukkan sejauh mana tahap pengetahuan pelajar UTeM mengenai konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi”. 53% pelajar UTeM pernah mendengar dan mengetahui tentang konsep ini sama ada secara sengaja atau tidak sengaja daripada pelbagai sumber. Selebihnya, 47% tidak pernah mengetahui.


Rajah 2: Kefahaman pelajar UTeM akan konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi”

Rajah 2 memaparkan sejauh mana tahap kefahaman pelajar UTeM mengenai konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi”. 43% pelajar UTeM faham akan konsep ini, 50% tidak memahami dan selebihnya, 7% tidak pasti. Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai lagi pelajar UTeM tidak mengambil peduli akan hal-hal melibatkan negara.


Rajah 3: Pendapat pelajar UTeM akan konsep ini bagi mencapai Wawasan 2020



Rajah 3 menunjukkan pendapat pelajar UTeM akan konsep ini bagi mencapai Wawasan 2020. Majoriti pelajar UTeM yakin bahawa konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” dapat penting untuk mencapai Wawasan 2020. Terdapat 26.7% pelajar lelaki dan 23.3% pelajar perempuan yakin akan kepentingan konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” bagi mencapai Wawasan 2020. Seramai 3.3% terdiri daripada pelajar lelaki dan 16.7% pelajar perempuan mengatakan bahawa konsep ini tidak penting sama sekali, dan lagi 20% pelajar lelaki serta 10% pelajar perempuan tidak pasti sama ada konsep ini penting atau pun tidak bagi merealisasikan Wawasan 2020.


Rajah 4: Kesedaran pelajar UTeM akan kepentingan konsep ini demi membentuk negara yang aman dan stabil

Rajah 4 menunjukkan akan kesedaran pelajar UTeM akan kepentingan konsep ini demi membentuk negara yang aman dan stabil. Terdapat 23.3% pelajar lelaki dan 26.7% pelajar perempuan sedar manakala 6.7% daripada pelajar lelaki dan 6.7% pelajar perempuan tidak sedar akan kepentingan konsep tersebut demi membentuk negara yang aman dan stabil. Bakinya, seramai 20% pelajar lelaki serta 16.7% pelajar perempuan pula tidak pasti.



Rajah 5: Konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” membantu pelajar untuk lebih bersikap terbuka dalam hubungan sosial, interaksi dan kemasyarakatan di Malaysia

Rajah 5 memaparkan akan bilangan pelajar UTeM yang setuju, tidak setuju dan tidak pasti sama ada konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” dapat membantu pelajar untuk lebih bersikap terbuka dalam hubungan sosial, interaksi dan kemasyarakatan di Malaysia. Seramai 23.3% pelajar lelaki dan 33.3% pelajar perempuan bersetuju, 3.3% daripada pelajar lelaki dan 13.3% tidak setuju, dan 23.3% pelajar lelaki dan 3.3% tidak pasti sama ada konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” dapat membantu pelajar untuk lebih bersikap terbuka dalam hubungan sosial, interaksi dan kemasyarakatan di Malaysia atau tidak.


Rajah 6: Adakah konsep ini membantu rakyat Malaysia dalam menerima cara hidup dan
budaya yang berbeza dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia

Rajah 6 menunjukkan pendapat pelajar UTeM, adakah konsep ini membantu rakyat Malaysia dalam menerima cara hidup dan budaya yang berbeza dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Majoriti pelajar UTeM mengatakan Ya, iaitu seramai 23.3% pelajar lelaki dan 46.7% pelajar perempuan. Lagi 6.7% terdiri daripada pelajar lelaki dan 0% pelajar perempuan, dan 20% pelajar lelaki serta 3.3% pelajar perempuan mengatakan tidak pasti sama ada konsep ini membantu rakyat Malaysia dalam menerima cara hidup dan budaya yang berbeza dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.



Rajah 7: Adakah dasar-dasar kerajaan membantu untuk mencapai konsep  “Dari Segregasi Ke Integrasi”?

Rajah 7 menunjukkan akan peratus pendapat pelajar UTeM mengenai dasar-dasar kerajaan yang telah digubal bagi memastikan konsep “Dari Segregasi Ke Integrasi” dapat dilaksanakan. 80% pelajar UTeM bersetuju bahawa dasar-dasar tersebut dapat membantu manakala 20% pelajar mengatakan tidak.


Rajah 8 : Pandangan pelajar UTeM tentang Gagasan 1Malaysia mempunyai unsur integrasi

Rajah 8 pula menunjukkan akan peratus persetujuan pelajar UTeM tentang Gagasan 1Malaysia yang mempunyai unsur integrasi. 90% pelajar UTeM bersetuju bahawa dasar-dasar tersebut dapat membantu manakala 10% pelajar mengatakan tidak.


5.0 Kesimpulan

Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum mahupun etnik, perlu mengetahui dan memainkan peranan mereka dalam memastikan konflik perkauman supaya peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang semula. Peristiwa tersebut menunjukkan betapa pentingnya untuk kita berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, agama, budaya dan bangsa. Perpaduan kaum ini amatlah penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Keutuhan sesebuah negara terletak kepada perpaduan rakyatnya. Apabila rakyatnya saling memahami mahupun saling menghormati satu sama lain, nescaya negara akan sentiasa stabil dan kemajuan dapat dinikmati. Kehidupan masyarakat yang bersegregasi sememangnya menyebabkan perpaduan sangat sukar untuk dikecapi. Ini kerana, apabila persefahaman antara kaum yang kurang, yang sentiasa hidup di kelompok sendiri, masyarakat tidak akan mengambil berat akan satu sama lain. Persefahaman yang kurang boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk yang boleh mengancam keselamatan dalam negara, ketidakstabilan ekonomi, dan mungkin juga boleh mencetus perang saudara. Sentimen perkauman juga haruslah dielakkan. 

Di samping itu, isu-isu sensitif adalah wajar untuk tidak dipermainkan dalam arena politik mahupun di “perbualan kedai kopi”. Hal ini kerana dikhuatiri perkara tersebut mampu menggugat kestabilan negara kita yang sekian lama kita pelihara. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, demikianlah perumpamaan Melayu yang patut kita ambil iktibar dan pedoman, untuk mengelakkan masyarakat mula berpecah-belah dan sesebuah negara itu hancur. Apabila sesebuah negara itu hancur, maka kuasa-kuasa asing akan mula mengambil kesempatan ke atas negara kita.

Sehubungan dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini hendaklah diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Kerjasama daripada semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan hubungan etnik di negara Malaysia.


Rujukan

Amidah Hamim. (2001). Rancangan Malaysia Ke-8 (Teras Utama Pertumbuhan Mapan). Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia.

Amir Hasan Dawi. (2002). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjong Malim, Perak: Quantum Books.

Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik. Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://Hubungan-Etnik.Blogspot.Com/2009_10_01_Archive.Html
htp://jontirikoloiyo.blogspot.com/2008/10/segregasi-etnik-dan-cabaran-integrasi.html
http://testingrema.blogspot.com/2011/11/pengenalan-konsep-interaksi-menurut.html http://www.youblisher.com/p/369280-MODUL/ http://zanas.wordpress.com/tirai-kemerdekaan-negara/pembentukan-masyarakat-majmuk-di-malaysia/ 

Mohamad Zahir Zainudin, Yu Jia Hao, Norleha Isroni, Syazwani Ghazali, Nur Arina Atirah Anuar, Ani Farzana Mohad Kamil, Nursaidah Nafisah Abd Aziz, Nur Afiqah Dhabitah Basiran

 

No comments:

Post a Comment