Monday, March 24, 2014

Raja Berperlembagaan Malaysia: Raja-Raja Melayu & Yang Di-Pertua Negeri Abad 21





 
Sidang Pengarang: Abu Saim Daud dan Noorlia A. Rahman
Tahun: 2012
Penerbit: Kaedah Kota Management (M) Sdn. Bhd.
Muka Surat: 512

Sebuah buku yang akan membantu meningkatkan pengetahuan sejarah institusi monarki di negara ini dan boleh menjadi rujukan penting bagi setiap lapisan rakyat.

Itulah kesimpulan yang boleh dibuat terhadap buku bertajuk Raja Berperlembagaan Malaysia: Raja-Raja Melayu & Yang Di-Pertua Negeri Abad 21 yang kini menjadi antara rujukan autoritatif paling terbaharu mengenai institusi berkenaan.

Hakikat tersebut diakui Pengarah Pener­bitan buku tersebut, Roslan Mohammed yang memberitahu, pihaknya berasa cukup gembira apabila berjaya menerbitkan naskhah berkenaan setelah mengerah tenaga selama dua setengah tahun.

"Kita bersungguh-sungguh untuk menerbitkan buku ini kerana mendapati sejak merdeka, tiada satu buku pun yang menggabungkan semua fakta dan maklumat penting berkaitan keunikan institusi beraja yang di­amalkan di Malaysia.

"Selain sembilan raja-raja Melayu, turut dimuatkan adalah maklumat mengenai empat yang di-pertua negeri di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka.

"Segala maklumat berkenaan telah disemak dan disahkan oleh pihak istana dan wakil yang di-pertua negeri sebelum dicetak," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, penerbitan buku berkenaan juga telah mendapat kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri menerusi Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran.

Beliau berharap buku tersebut dapat sedikit sebanyak mendidik anak bangsa tentang institusi beraja di negara ini dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.

"Kita tengok hari ini, ada pihak yang tidak lagi menghormati raja-raja Melayu kerana mereka tidak sedar peranan sultan yang berada di atas politik kepartian.

"Institusi ini telah menjadi pemangkin kepada penyatuan rakyat majmuk dan pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang berjaya.

"Ia juga mempunyai peranan penting dalam menjana keseimbangan politik selain mengekalkan kestabilan sesebuah negara," katanya.

Menurut beliau, maklumat secara bergambar dalam buku berkenaan merangkumi biografi raja-raja Melayu dan yang di-pertua negeri.

"Ia juga mengandungi maklumat darjah kebesaran, bintang dan pingat raja-raja melayu serta maklumat adat dan alat kebesaran.

"Turut dimuatkan adalah pembangunan dan ekonomi setiap negeri, peristiwa dan sejarah penting, istana negeri, masjid negeri dan asal-usul nama sesebuah negeri," kata­nya.

Antara maklumat menarik yang terdapat dalam buku berkenaan adalah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah telah dipu­terikan di Pakistan.

Turut dimuatkan adalah keris Taming Sari milik Laksamana Melaka, Hang Tuah kini menjadi salah satu alat kebesaran diraja Perak setelah ia dikurniakan kepada Sultan pertama negeri itu, Raja Mudzaffar Shah I.

Persamaan yang terdapat pada gelang yang dipakai sultan ketika istiadat rasmi kebesaran negeri di Perak dan Terengganu adalah mempunyai ukiran kepala naga.

Istana Maziah, Terengganu yang siap pada 1903 pula dibina menggunakan campuran kapur, tanah liat, pasir, garam, putih telur dan manisan.

Tambah Roslan, buku berkenaan juga mempunyai ringkasan Perlembagaan Malaysia, latar belakang sistem raja berperlembagaan di negara ini, Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara Jalan Duta dan adat istiadat serta protokol diraja.

"Bab terakhir memaparkan kebudayaan dan kesenian raja-raja Melayu termasuk mengenai kumpulan pancaragam diraja yang dikenali sebagai nobat.

"Nobat wujud hasil asimilasi budaya yang kebanyakannya mempunyai unsur-unsur yang berasal dari Parsi.

"Hanya empat negeri yang mempunyai kumpulan nobat iaitu Perak, Kedah, Selangor dan Terengganu yang akan membuat persembahan ketika upacara pertabalan, perkahwinan dan kemangkatan diraja," ujarnya.

Turut dimuatkan dalam bab berkenaan adalah maklumat mengenai seni persembahan gamelan, mak yong, tarian asyik, tarian terinai dan wayang kulit yang asalnya adalah hiburan khusus kepada pihak istana.

(Utusan Malaysia, 20 Mac 2014)


No comments:

Post a Comment