Tuesday, March 18, 2014

Pengaruh dasar sosial ke atas pembangunan komuniti




 


Pada tahun 1989, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melantik pakar ekonomi dari Pakistan, Mahmub ul Haq untuk mengetuai proses penyediaan laporan tahunan mengenai pembangunan manusia di negara-negara anggotanya. Beliau dibantu oleh Amartya Sen, penerima hadiah Nobel Laureate dalam bidang ekonomi dari India. 

Setahun selepas itu, laporan yang diusahakan telah siap dan dibentangkan bersama dengan Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index). Inti pati pembangunan manusia yang disediakan itu merupakan pendefinisian semula ke atas konsep pembangunan yang hanya melihat dari aspek pertumbuhan ekonomi. 

Terjemahan semula pembangunan ini merupakan satu kritikan ke atas pendokong teori-teori pembangunan sebelum ini yang cenderung melihat perkaitan ekonomi dalam pembangunan. Hampir semua teori ini meletakkan polisi ke atas ekonomi (pasaran bebas) sebagai fokus. 

Contohnya, Teori Modenisasi dan Teori Neoliberal meletakkan keutamaan kepada mengembangkan pasaran bebas. Kritikan demi kritikan yang menyanggah kehebatan teori-teori tersebut sentiasa menjadi isu dan perdebatan kerana masyarakat dunia dipecahkan kepada dua kelompok iaitu pihak yang menang dan pihak yang kalah, negara yang kuat menjadi pemilik dan negara yang lemah menjadi hamba, golongan majoriti menguasai kemakmuran dan golongan minoriti terus tersisih dan menjadi mangsa (Abdul Rahman, 2003).

Idea pembangunan manusia yang diutarakan oleh Mahbub (1995) menyatakan pembangunan mesti berasaskan empat prinsip utama iaitu kesaksamaan, kelestarian, produktiviti dan pengupayaan. 

Melalui paradigma yang baru ini, fokus telah diberikan ke atas subjek utama iaitu manusia sebagai aktor dan matlamat dalam pembangunan. Pengupayaan manusia ini merupakan produk daripada proses interaksi antara agensi pelaksana di peringkat mikro dengan struktur di peringkat makro (Abdul Rahman, 2003). 

Pengupayaan atau pemerkasaan boleh berlaku melalui peningkatan keupayaan dan kecekapan pada individu yang boleh dilakukan melalui pewujudan pelbagai agensi dan institusi pelaksana di peringkat makro yang terurus dan terancang dalam menyediakan pelaburan yang mencukupi khususnya pendidikan, kesihatan dan kemudahan infrastruktur ke arah kehidupan yang lebih baik.

Abdul Rahman (2002) menyatakan struktur di peringkat makro ini ialah kerangka pemboleh (enabling framework) untuk mengoptimumkan keupayaan manusia supaya dapat diperkasakan. Kerangka ini terdiri daripada, (1) kerangka politik yang merangkumi kerajaan dan institusi governan serta institusi tadbir urus yang lain; (2) kerangka perkongsian antara kerajaan dengan kuasa pasaran supaya usaha dan kecekapan pasaran digemblengkan dengan pertanggungjawaban sosial; (3) kerangka organisasi masyarakat sivil yang berfungsi untuk menyusun orang ramai bagi meningkatkan peranan komuniti; (4) kerangka institusi keluarga yang mantap dan berupaya berperanan meningkatkan keupayaan anggotanya; dan (5) kerangka sinergi antara kesemua institusi di atas ke arah membina keupayaan manusia. 

Struktur yang dimaksudkan itu boleh berperanan sebagai agensi dan kerangka iaitu bertindak sebagai pelaksana yang berinteraksi dengan warganya seperti perancang dan pelaksana projek pembangunan sosial.



No comments:

Post a Comment