Friday, March 21, 2014

Kekurangan fizikal tak halang kecemerlangan intelektual







Terdapat peningkatan kecemerlangan dalam kalangan pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2013. Antaranya ialah pelajar yang dalam kategori kurang upaya sebaliknya mampu menyerlahkan potensi diri melebihi pelajar yang normal.

Hakikat kehidupan ini ialah kekurangan fizikal seperti buta, pekak atau bisu tidak menghalang seseorang untuk cemerlang dalam mencari ilmu. Ternyata, kekurangan fizikal bukanlah kekurangan intelektual kerana selagi ada kemahuan, Insya Allah di situ ada kejayaan.

Setiap tahun pelajar akan berlumba untuk masuk ke institusi pengajian tinggi pilihan mereka berdasarkan pencapaian akademik masing-masing. Pelajar kurang upaya ini juga tidak ketinggalan. Namun, pilihan yang ada pada mereka adalah terhad kerana tidak semua universiti menawarkan tempat yang sesuai dengan keadaan mereka.

Universiti yang menawarkan kursus selain daripada teknikal menawarkan peluang yang lebih baik manakala universiti teknikal yang perlukan pergerakan dan penggunaan alatan dilihat kurang mesra pelajar kurang upaya. Peluang dalam bidang teknikal tertutup serta-merta. Namun universiti seperti ini ada menawarkan kursus teknologi maklumat dan keusahawanan yang masih boleh memberi peluang kepada mereka.

Kita tentu berasa pelik bagaimana pelajar yang buta mampu memperoleh keputusan yang cemerlang di sebalik segala kesusahan hidup yang dilalui. Walaupun buta, hati mereka terang-benderang dan deria pendengaran yang sangat sensitif. Kita harus menjadikan mereka sebagai model kepada pelajar-pelajar yang malas belajar atau enggan belajar selepas diberi peluang.

Kita perlu segera menjadikan mereka sebagai model dalam mengejar pendidikan cemerlang kerana hanya melalui pendidikan yang baik kita dapat mengubah masyarakat, mengubah hidup, mengubah tabiat dan budaya hidup seterusnya berupaya menjadikan masyarakat dan negara sebagai rujukan kepada negara-negara lain. Kuncinya adalah pendidikan.

 

No comments:

Post a Comment