Saturday, September 28, 2013

Berani menipu untuk kaya





Syarikat pelaburan haram berkaitan emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. sudah tidak dapat melepaskan diri lagi apabila dikaitkan dengan ratusan tuduhan yang diletakkan ke atas individu dan syarikat subsidiari yang berkaitan. Jumlah wang sebanyak RM 5.5 bilion merupakan jumlah yang besar dan  melibatkan proses perbicaraan yang panjang.

Dalam pertuduhan yang diperoleh oleh media, semua yang terlibat merupakan peniaga Cina yang begitu berani mencari wang dengan cara yang salah. Lebih mengecewakan apabila pelaburan berkenaan dikaitkan dengan berasaskan syariah, suatu tindakan semata-mata mengaburi pelanggan Islam. Akhirnya syarikat ini dikenali sebagai syarikat yang menipu dan tidak boleh dipercayai.

Syarikat ini pernah diserbu oleh Bank Negara Malaysia pada tahun lepas kerana terdapat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan bayaran pelaburan. Kerugiannya melebihi 10 kali aset. Sistem yang diguna ialah menjual emas pada kadar 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal belian. Kaedah ini menyebabkan aliran tunai operasi syarikat bergantung kepada wang pelaburan pelanggan-pelanggan baru.

Jumlah bisnes ini bukan seratus dua malah jutaan ringgit melibatkan hampir 35,000 pelanggan. Ada pelabur yang membuat pelaburan dengan wang dan ada juga melibatkan emas sendiri.

Kita akan dapat tahu apa dan bagaimana syarikat pelaburan haram ini beroperasi apabila mahkamah memulakan perbicaraan kelak. Aspek yang menarik ialah bagaimana pemain-pemain utama yang didakwa ini begitu berani melaksanakan perniagaan yang melanggar undang-undang dan mempermain syariah demi kesenangan hidup.

Sifat tamak dan berani menipu adalah dua rumusan utama yang menjadikan syarikat ini begitu teruja dengan wang yang diperoleh. Kita berharap mereka yang  tamak ini akan mendapat hukuman berat supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai.

 

No comments:

Post a Comment