Tuesday, September 03, 2013

Gengsterisme jejas maruah keluarga

 




Setiap dua hingga tiga bulan saya akan mengunjungi pusat servis kereta untuk menukar minyak enjin. Hari ini saya kembali lagi untuk temu janji servis dan menukar beberapa peralatan penting bahagian dingin hawa yang bermasalah.

Sementara menunggu kereta siap, saya memilih sebuah meja yang agak hujung kerana menunggu kereta siap mengambill masa sehingga lima jam. Memang menjadi rutin saya membawa buku dan helaian kertas untuk menulis artikel.

Saya mula menulis dan sebaik masuk helaian kedua, datang seorang lelaki bangsa Cina bertanya, “Boleh duduk di sini?” Saya senyum dan mempersilanya untuk duduk di sebelah. Mood saya untuk menulis tidak lagi ada.

Jika saya membiarkan masa berlalu tentu suasana akan sunyi sepi dan saya tidak ada bahan untuk menulis. Lalu saya mula bertanyakan khabar dan mula meneroka fikiran dan pengalaman lelaki warga emas ini.

Beliau fasih berbahasa Melayu, berumur 76 tahun, tinggal di Bukit Katil dan mempunyai tujuh orang anak, seorang lelaki dan enam perempuan. Dua anak perempuannya tinggal di Melaka selebihnya di Kuala Lumpur dan ada yang bekerja sebagai guru dan kakitangan awam. Anak lelaki tunggalnya tinggal di Seremban dan bekerja sebagai juruterbang.

Kami bertukar-tukar cerita. Bermula dari kereta hinggalah makan, seterusnya melancong dan akhirnya kegiatan gengsterisme dalam masyarakat. Fakta menarik ialah lelaki ini mempunyai pengalaman berkaitan gengsterisme. Seorang adik lelakinya pernah terlibat dalam gengsterisme dan dibicarakan di Taiping.

Penglibatan adiknya ini berkaitan pembunuhan dan melalui proses perbicaraan yang panjang. Perbicaraan pertama menyebabkan adiknya itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah. Namun dalam perbicaraan peringkat rayuan, dia dibebaskan kerana hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguamnya (jika sebut nama semua orang kenal peguam ini) sangat meyakinkan. Untuk mengupah peguam ini, mereka sekeluarga berusaha mencari wang dan meminjam dari sanak-saudara.

Adiknya masih hidup tetapi tidak lagi melibatkan diri dalam kegiatan gengsterisme kerana faktor umur dan perubahan zaman.

Semasa bercerita tentang kisah silam hidupnya, lelaki ini merenung jauh dan matanya berair. Beberapa kali beliau mengesat hidung, mungkin sebak mengenangkan keadaan hidup ketika zaman dulu.

Ternyata gengsterisme memberi kesan kepada masyarakat lebih-lebih lagi keluarga yang terlibat. Ia bukan sahaja menjejaskan diri malah maruah keluarga turut diheret bersama.

Tidak sangka pula yang saya sangat mudah menarik simpati lelaki Cina ini untuk menceritakan kisah sedih keluarganya berkaitan penglibatan adik sendiri dalam gengsterisme. Sebenarnya tidak mudah untuk seseorang mendedahkan keburukan diri atau keluarga melainkan dia benar-benar percaya dan ingin berkongsi dengan kita.

Perbualan hampir satu jam ini mengesahkan bahawa aktiviti jenayah melalui gengesterisme berlaku dalam masyarakat pelbagai bangsa. Justeru peranan kita sebagai ahli masyarakat amat dituntut bersama-sama membanteras kegiatan ini supaya keamanan dan kemakmuran dapat dinikmati bersama.

No comments:

Post a Comment