Monday, September 09, 2013

Transformasi Pekanbaru








Pekanbaru, Riau merupakan bandar yang sedang pesat membangun. Lapangan terbang utama ialah Sultan Syarif Kasim II International Airport di Bandara (Bandar Udara) yang menjadikan kehadiran saya ke Pekanbaru kali ini berasa lebih selesa berbanding lapangan terbang lama. Namun, sebaik sahaja turun dari pesawat, semua penumpang perlu beratur untuk menaiki bas transit ke terminal. Bahagian jejambat masih belum siap.

Lapangan terbang ini memberi suasana nyaman dan selesa lebih-lebih lagi urusan masuk di kaunter imigresen dan kastam amat lancar.

Di kawasan ketibaan, kereta tidak putus-putus berhenti untuk menurunkan penumpang manakala pemandu teksi sentiasa ringan mulut untuk mendapatkan penumpang. Pekerja berbaju biru sentiasa berlegar sambil menolak troli supaya ruang menunggu lebih kemas dan teratur.

Terdapat juga ruang untuk perokok di bahagian luar balai ketibaan namun ada juga prokok yang tidak peduli dan merokok di kawasan berhawa dingin menyebabkan orang ramai “sesak paru-paru”. Dicadangkan pihak berkuasa lapangan terbang membanyakkan notis larangan merokok di kawasan seperti ini supaya ruang menunggu lebih bersih dan selesa.

Saya disambut oleh seorang teman, pelajar kepada rakan saya di Universitas Lancang Kuning (Unilak) yang bertugas sebagai peguam dan pensyarah sambilan dalam bidang undang-undang jenayah. Beliau juga berhasrat menjadi calon bagi pilihan raya akan datang mewakili Riau.

Saya berasa bangga apabila dijemput dengan Proton Exora yang mulai dapat dilihat di sini. Biarpun terpaksa bersaing dengan Toyota Avanza, kehadiran Proton mewarnai jalan raya yang lurus tetapi berselirat dengan simpang.

Saya bertanya Johnny apa yang istimewa dengan Exora ini? Beliau memaklumkan Exora memiliki ruang yang luas dan sesuai untuk keluarga. Namun kuasa memecut pada permulaan perjalanan agak perlahan. Jika dijual, harganya pula akan merosot kerana masih baru dan tidak banyak pusat servis.

Selain Exora, Proton Saga model baru juga ada di sini dan saya lihat ia popular dijadikan sebagai teksi yang bersaing dengan Toyota Vios, Mitsubushi Lancer dan Chevrolet Optra.

Dari lapangan terbang, saya menuju ke Universitas Lancang Kuning. Memasuki kampus universiti umpama masuk ke kawasan ladang kelapa sawit kerana di kiri dan kanan ditanam dengan kelapa sawit. Pemandangan ini amat menenangkan dan menghilangkan tekanan “kesesakan” di jalan raya.

Saya mengambil kesempatan menunai solat qasar dan jamak di surau universiti. Oleh kerana tidak begitu arif dengan rawatan air di sini, saya dapat merasakan bau air seperti air dari telaga namun tidak pula cuba untuk minum.

Di luar surau, terdapat papan tanda larangan memijak rumput. Menariknya ialah susunan bahasa yang digunakan iaitu “Terimakasih untuk tidak menginjak rumput” yang dipacak di tengah laman.



Seterusnya saya ke kantin sementara untuk menghilangkan dahaga. Saya memilih minuman botol kerana lebih yakin dengan kebersihan dan rawatan air berbanding air masak kerana tidak mahu sakit perut sepanjang berada di Pekanbaru yang boleh mengganggu tugasan saya kelak. Keadaan kantin amat biasa dan cukuplah untuk mengisi perut kosong.

Saya menempah bilik di Hotel Hawaii iaitu hotel baru di tengah kota Pekanbaru. Ruang biliknya agak kecil dan sesuai untuk bermalam. Harga bilik bermula dari R288,000 atau RM95 semalam. Bilik airnya kemas dan teratur. Hotel ini menyediakan kemudahan wi-fi yang boleh diadapati di semua aras. Untuk mengecas telefon bimbit, saya membawa “universal adapter” yang disesuaikan dengan spek soket punca kuasa di Indonesia. Saya tentu menghadapi masalah kalau tidak membawa adapter ini. Namun saya masih ada pilihan dengan menyambung alat pengecas di televisyen menggunakan USB.



Masalah besar dalam bilik ini ialah tidak ada tanda arah kiblat. Semua laci dan ruang bilik telah diselak namun saya tidak nampak sebarang simbol yang dikaitkan dengan kiblat. Enggan menunggu lama, saya turun ke kaunter hotel dan mendapat bantuan kakitangan hotel menunjukkan arah kiblat. Saya juga memesan sehelai sejadah.

Pengajaran di sini ialah saya perlu menyediakan sebuah kompas untuk menentukan arah kiblat.

Tidak jauh dari hotel, kira-kira sepuluh minit berjalan kaki, terdapat sebuah masjid di Pasar Mambo iaitu Masjid Nurul Iman. Insya Allah sesiapa yang masuk ke masjid ini akan bertambah-tambah imannya kerana banyak aktiviti meningkatkan iman di sini. Paling menarik ialah azan di masjid ini sangat sedap. Azannya mendayu-dayu dan beralun. Sepanjang laluan ke masjid ini, di kiri dan kanan ada beberapa buah rumah yang tersusun rapat. Dari luar kita boleh nampak katil untuk tidur dengan dapurnya sekali. Anak-anak kecil mengimarahkan masjid dengan mengaji sesama sendiri.



Suasana malam di Pekanbaru masih lagi sibuk walaupun pukul 11.30 malam. Tempat makan dari tepi jalan hingga kelas atasan menjadi pilihan pada malam minggu. Saya berkesempatan makan di Pujasera 88 iaitu kawasan makan yang berbentuk medan selera yang menyediakan pelbagai jenis masakan. Ada masakan Minang, Thai dan Cina, satey, makanan laut dan ala carte. Oleh kerana saya sudah makan sebelum itu, saya hanya pesan jus pilihan iaitu apokat yang harganya R10,000 segelas. Di Malaysia, jus apokat ini ada dijual di Bangi dengan harga RM6.50 satu.

Di Pujasera 88 ini (dan gerai makanan yang lain) sentiasa didatangi jurujual sama ada menjual rokok, buku ataupun kereta. Biasanya jurujual wanita dengan pakaian yang menarik perhatian lelaki. Mereka datang berkelompok dan berpecah kepada kumpulan kecil serta diawasi seorang penyelia. Strategi begini amat berkesan untuk menggalakkan jualan. Jurujual ini hanya kerja sampingan kerana antara mereka merupakan pelajar universiti dan pekerja sektor swasta. Pukul 12 tengah malam sebenarnya hampir sama seperti 1 pagi di Malaysia. Walau bagaimanapun di sini tengah malamnya masih ramai yang makan dan minum.



Saya mengelak daripada makan atau minum di gerai tepi jalan memandangkan keadaan persekitaran yang kurang teratur dan cara penyediaan makanan yang kurang menarik. Sebaik-baiknya saya akan cari kawasan tertutup, dingin hawa dan bebas dari asap rokok. Walaupun berbelanja lebih sedikit, di situ ada jaminan kebersihan dan kehalalannya. 

Riau semakin membangun kerana kekayaan sumber buminya telah diperolehi kembali. Pendapatan hasil minyak yang dahulunya diambil oleh Jakarta kini dikembalikan untuk pembangunan infrastruktur dan sosial masyarakat. Justeru tidak menghairankan kini, di Pekanbaru sahaja saya dapat melihat kereta-kereta model baru di atas jalan raya. Kereta keluaran Toyota, Honda, Mitsubishi, Suzuki dan Mazda bersaing dengan Proton dan Chevrolet untuk memenuhi permintaan penduduk tempatan.

Hampir 60 peratus penduduk Riau ada kaitan dengan orang Minang yang rajin berniaga. Melayu Riau lebih gemar bekerja dengan kerajaan manakala Cina berminat dengan perniagaan. Etnik lain seperti Batak juga ada di sini namun masyarakat Jawa mempengaruhi bahasa harian masyarakat. Surat khabar menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya.

Semasa saya berbual-bual dengan rakan-rakan di sini, loghat Minang masih jelas bercampur dengan Melayu. Contohnya, “Kamu nak pegi mano? Buek apo? Tigo”.

Nama-nama mereka juga melambangkan kemelayuan seperti Yusuf, Zainal, Hassan dan Ahmad.

Dari segi berpakaian, golongan wanita muda dan remaja lebih cenderung mengenakan tudung dengan baju kurung dan berseluar panjang. Pemandangan ini hampir sama di merata tempat. Wanita yang berbaju kurung seperti di Malaysia saya tidak nampak di sini, mungkin ada.

Orang lelakinya macam biasa tetapi gemar mengenakan baju batik lengan pendek.

Sistem jalan raya di Pekanbaru agak unik kerana jalannya satu hala dan tempat membuat pusingan U agak rapat. Kereta atau motosikal bebas memilih tempat untuk membuat pusingan namun persefahaman sesama pengguna menjadikan perjalanan lancar. Keadaan permukaan jalan raya tidak banyak yang berlubang cuma sesetangah kawasan agak beralun kerana tahap kekedapan tanah yang tidak sekata.

Pengangkutan awam yang ada di sini ialah bas, teksi, teksi motosikal dan van (diubah suai sebagai pengangkutan darat). Kenderaan paling banyak ialah motosikal dan ia boleh dilihat di mana-mana. Tempat parkir juga banyak dan terdapat petugas yang bekerja memastikan kenderaan diletakkan dengan baik. Petugas ini wajib memakai ves berwarna jingga supaya jenis pekerjaan mereka dihargai. Walaupun pekerjaan ini sentiasa di bawah terik panas matahari, ia menjadi pilihan kepada mereka yang tidak berpelajaran tinggi kerana lebih baik bekerja daripada mencuri atau melepak buang masa.

Seni bina di Pekanbaru menggunakan seni Melayu. Justeru reka bentuk bumbung, atap dan bangunan di sini bercirikan Melayu. Orang Malaysia yang hendak mendalami seni bina Melayu wajar datang ke Riau untuk melihat seni bina seperti ini. Kebanyakan pejabat kerajaan pasti mengenakan sentuhan Melayu biarpun lebih banyak bangunan dengan rupa bentuk moden yang muncul.

Kunjungan singkat ini tidak banyak membawa saya ke tempat-tempat menarik berkaitan legasi Melayu khususnya di Siak. Saya berhasrat untuk datang sekali lagi bagi tempoh yang lebih panjang kerana Riau menyimpan banyak khazanah Melayu yang mesti diketahui. Di samping itu saya juga boleh mempelajari strategi yang digunakan oleh pemerintah Riau untuk membangunkan modal insan di sini kerana di seluruh Riau terdapat puluhan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Dalam tempoh sepuluh hingga 20 tahun yang akan datang, Riau akan menjadi sebuah wilayah yang paling cepat membangun kerana pemimpinnya memiliki kesedaran bahawa pendidikan akan mengubah kehidupan masyarakat.

Semoga Riau terus maju dan makmur.   

 

No comments:

Post a Comment