Tuesday, September 03, 2013

Harga minyak naik lagi






Kerajaan Barisan Nasional mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 sebanyak 20 sen mulai hari ini. Sebaik sahaja pengumuman ini disahkan, stesen minyak seluruh negara diserbu dengan kenderaan yang mahu mendapatkan harga murah bagi kali terakhir sebelum kenaikan itu berkuat kuasa tengah malam tadi. Refleksi spontan ini menunjukkan bahawa majoriti pengguna memilih RON95 untuk kenderaan mereka.
 
Seperti sudah dijangka, dua alasan yang digunakan oleh pemimpin Barisan Nasional adalah harga minyak di Malaysia adalah yang paling rendah di Asean dan kenaikan berkenaan memberi kesan paling minimum ke atas pengguna.

Dua alasan yang sering menjadi sandaran ini sudah tidak boleh dipakai kerana setiap kali kenaikan harga minyak, dendangan yang sama kedengaran. Tidakkah ini merendahkan kredibiliti intelektual kita untuk berfikir periha sebenar kenapa harga minyak dinaikkan dan subsidi dikurangkan? Kita ingin mendengar dan menganalisis punca subsidi dikurangkan supaya dapat menerima hakikat bahawa subsidi yang berlebihan menjadikan perbelanjaan negara terbeban dengan pembaziran produktiviti dan lemah daya saing.
 
Banyak kesan sampingan jangka panjang apabila subsidi minyak terus diberikan oleh kerajaan. Pertama, golongan kaya lebih untung kerana menggunakan tiga hingga lima kali ganda bagi setiap unit yang digunakan oleh orang miskin.

Kedua, subsidi minyak menyebabkan harga minyak global turut meningkat kerana permintaan yang tinggi khususnya negara yang berpenduduk ramai seperti China yang memberi subsidi 3.9 peratus. Subsidi melindungi pengguna daripada membayar harga borong minyak yang lebih tinggi namun pada masa yang sama meningkatkan permintaan minyak.

Ketiga, subsidi minyak mengurangkan daya saing negara kerana perbelanjaan untuk pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. 
 
Membicarakan pengurangan subsidi untuk ekonomi negara, Barisan Nasional wajar juga melihat bagaimana mereka menguruskan wang pembayar cukai dan hasil-mahsul negara ini. Pencapaian indeks rasuah Malaysia tidak pun menarik malah semakin merosot setiap tahun. Projek yang diumumkan jutaan ringgit setiap tahun hanya dikaitkan dengan ketirisan dan kelemahan pengurusan kewangan malah yang mendapat habuan juga dikatakan ada kaitan dengan amalan kronisme.

Melipatgandakan usaha perangi rasuah tentu dapat menjimatkan lebih banyak sumber wang negara. Operasi membanteras penyeludupan dan mengurangkan perbelajaan pentadbiran kerajaan juga dapat menjimatkan sumber negara.
 
Implikasi pengurangan subsidi hanya membebankan golongan miskin dan kelompok sederhana yang menerima gaji bulanan yang tidak seberapa. Lebih banyak wang mereka digunakan untuk membeli minyak sekali gus mengurangkan perbelanjaan untuk pendidikan, makanan dan keperluan lain. Nelayan berfikir panjang untuk turun ke laut kerana terpaksa memberi diesel pada harga RM2 seliter, suatu jumlah yang besar. Jika diberi subsidi diesel, harganya masih mahal dan boleh disalah guna.

Bagi golongan sederhana, hampir separuh pendapatan untuk kenderaan, bakinya untuk bayar sewa rumah, keperluan harian dan sedikit untuk simpanan. Bila masanya untuk hidup senang? Apatah lagi dengan harga rumah yang bertambah mahal, harga barang sudah tentu naik dan peniaga tentu tidak akan mengekalkan harga barang pada harga sedia ada. 
 
Arah tuju ekonomi negara bergantung kepada kerajaan yang kita pilih. Oleh kerana sebahagian besar rakyat memilih Barisan Nasional, mereka juga wajar menerima kenaikan harga minyak dengan fikiran terbuka dengan alasan mengukuhkan ekonomi negara walaupun rakyat mengalami sedikit penderitaan emosi kerana “mengapa membayar lebih?”.

 

No comments:

Post a Comment