Malaysia berupaya menjadi hab pendidikan antarabangsa |
Malaysia memasang hajat besar untuk menjadi negara hab pendidikan antarabangsa di Asia Tenggara. Bagi merealisasikan matlamat ini, sebanyak 200,000 pelajar antarabangsa akan dicari supaya mereka dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi di seluruh negara pada 2020.
Hajat besar ini perlukan usaha yang agresif dan berterusan bagi menambah lebih 90,000 pelajar antarabangsa ketika ini. Malaysia berada pada kedudukan ke-11 dari segi penyediaan perkhidmatan pendidikan dan pengajian tinggi bertaraf antarabangsa. Tentulah banyakk lagi perkara yang perlu dipenuhi untuk melonjakkan kedudukan ini ke tahap lapan terbaik.
Kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta menjadi dasar kerajaan khususnya memperkenalkan Malaysia sebagai tempat terbaik untuk belajar. Keghairahan pelajar-pelajar ini bermula apabila Amerika Syarikat mula mengenakan pelbagai sekatan ke atas pelajar dari Timur Tengah khususnya beragama Islam akibat peristiwa 11 September 2001.
Kehadiran mereka ke sini secara berkumpulan telah mewujudkan senario baru suasana pembelajaran. Pelajar berbangsa Arab sama ada lelaki atau perempuan membawa sekali budaya dan kehidupannya di sini. Lalu muncul restoran Arab yang menyediakan menu sesuai dengan keperluan pelajar-pelajar Arab.
Namun ramai masyarakat Islam tempatan turut berminat untuk merasai nasi Arab biar pun harganya agak mahal. Di kawasan sekitar university pasti terdapat satu atau dua restoran Arab yang menyediakan makanan yang berbeza sama sekali dengan masakan Melayu, Cina atau India.
Pertambahan pelajar dalam jumlah yang banyak tentu akan menambah bilangan restoran Arab kerana daripada 200,000 orang itu, sebahagian besarnya tentulah dari negara-negara Arab. Pelajar dari Asia mungkin datang dari negara-negara membangun seperti Kemboja, Vietnam dan China kerana pelajar-pelajar dari negara yang hampir sama dengan Malaysia lebih cenderung memilih Australia, UK mahupun Amerika Syarikat.
Bagaimana kita boleh menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dengan pantas?
Tidak lain dan tidak bukan, kualiti pendidikan tinggi perlu dikekal dam dimantapkan. Maksud kualiti di sini ialah tahap ilmu dalam pelbagai disiplin perlu ditingkatkan selari dengan perkembangan global. Bidang yang cepat berubah seperti teknologi maklumat perlukan kemahiran penguasaan ilmu yang pantas. Begitu juga bdang teknikal yang turut perlukan pakar dan tenaga pengajar yang terlatih.
Kualiti prasarana penting dalam membina persepsi positif sesebuah institusi pengajian tinggi. Oleh kerana kebanyakan universiti dan kolej universiti mempunyai bangunan sendiri, pelajar akan berasa lebih yakin untuk belajar. Konsep rumah kedai sudah tidak relevan pada hari ini kerana banyak masalah yang akan dihadapi khususnya pengurusan kelas, asrama, keselamatan pelajar dan suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Pelajar akan rasa terganggu apabila kehidupan akademik mereka di kelilingi orang awam yang tidak merasai kepentingan belajar.
Promosi pendidikan tinggi perlu dilakukan bersama dengan keadaan politik yang stabil. Malaysia yang aman memudahkan pelajar antarabangsa membuat keputusan memilih negara ini sebagai destinasi percutian pendidikan mereka. Justeru ahli politik turut berperanan membina imej yang positif ketika mereka berpolitik kerana media luar sering mencari kesilapan untuk memapakan imej negatif negara.
Tumpuan promosi boleh dilakukan di negara-negara jiran di rantau Asean dengan menawarkan bantuan melanjutkan pelajaran, kemudahan tempat tinggal dan visa pelajar-bekerja supaya mereka dapat menjana pendapatan untuk menampung kos pengajian. Dana untuk bantuan ini boleh diperuntukkan dalam jumlah tertentu supaya sasaran pada tahun 2020 dapat dicapai.
Usaha-usaha Malaysia menarik lebih ramai pelajar ke universiti tempatan perlukan sokongan semua pihak termasuk universiti sendiri. Mereka wajar menjadikan setiap bidang pengajian di universiti masing-masing sebagai menarik dan mampu menambat hati bakal pelajar antarabangsa. Kunjungan ke negara-negara membangun seharusnya dimasukkan tawaran belajar sebagai sebahagian daripada agenda lawatan supaya pemimpin-pemimpin negara itu sedar bahawa Malaysia menawarkan pengajian tinggi berkualiti.
No comments:
Post a Comment