Bina kepakaran dalam pengajaran dan pembelajaran |
Md
Ishak A. Rahman
Pada alaf ini, pendidikan di
sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas
dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model
melalui perkongsian bestari.
Demikian juga, guru sebagai
petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima
semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam
bidang mereka melalui perkongsian bestari.
Mereka boleh membentuk kumpulan
rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat
meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.
Setiap sekolah mudah mengakses
maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru
besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju
masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.
Pengetua atau guru besar harus
melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat
lain.
Perkongisn bestari dapat
difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya
di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.
Program perkongsian ilmu dapat
dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah.
Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.
Perkongsian bestari harus
dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.
Mikro melibatkan sekumpulan guru
di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang
merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.
Akhirnya, mereka bukan sahaja
mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan
pihak lain.
Sementara program makro
melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di
peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
Selain mengakses media massa,
mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian
bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman
orang lain.
Sekolah telah melaksanakan
program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah
suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di
sekolah.
Mereka membuat kajian serta
pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat
di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain
atau sekolah-sekolah lain.
Sekolah juga boleh membuat perkongsian
bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan
seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan
guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan
sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.
Sekolah juga boleh mengadakan
lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program
mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah
mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.
Sementara sekolah yang telah
terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah
bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah,
seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar
dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.
Sekolah kluster cemerlang ini
boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat
program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu
negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.
Guru yang kreatif boleh
merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang
sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran
sekolah.
Situasi sekolah di bandar
berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi
tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh
diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.
Melalui perkongsian bestari
dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan
kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru
yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan.
Pengalaman mereka amat
diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+)
dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan
menjelang 2014.
SMK Ledang, Johor
(Utusan Malaysia, 16 September 2013)
No comments:
Post a Comment