Thursday, September 12, 2013

Penggunaan kanta lengkap sebagai pengganti cermin mata



 


1.0 Pengenalan

Mata adalah antara organ terpenting pada tubuh badan manusia. Tanpa mata sukar bagi seseorang untuk melakukan urusan harian mereka. Penjagaan mata harus dititikberatkan terutamanya bagi mereka yang memilih untuk menggunakan kanta lekap sebagai pengganti kepada cermin mata. Kanta lekap merupakan alat pembetulan kosmetik atau kanta terapeutik yang diletakkan pada kornea mata manakala cermin mata pula merupakan lensa tipis untuk mempertajam penglihatan.


Kanta lekap lembut moden telah direka oleh seorang ahli kimia dari Republik Czech, Otto Wichterle dan pembantunya Drahoslav Lim yang juga pencipta gel pertama digunakan untuk pengeluaran mereka.

Dianggarkan 125 juta orang telah menggunakan kanta lekap di seluruh dunia termasuk 28 hingga 38 juta di Amerika Syarikat dan 13 juta di Jepun. Ramai yang memilih untuk memakai kanta lekap kerana lebih bebas bergerak dan turut dapat melakukan aktiviti lasak tanpa batasan. Ianya lebih ringan melekat di mata berbanding memakai cermin mata.

1.1 Objektif Kajian

1.Mengenal pasti penggunaan kanta lekap dalam kalangan pelajar.
2.Mengetahui faktor-faktor yang mendorong pemakaian kanta lekap dalam kalangan pelajar.
3.Menyelidik kesan pemakaian kanta lekap dalam kalangan pelajar.

2.0 Kajian Literatur

2.1 Sumber akhbar

Pengguna yang memakai kanta lekap hanya untuk kecantikan tanpa melakukan pemeriksaan mata terlebih dulu berisiko menjadi buta akibat jangkitan kuman pada kornea mata.

Berikutan itu, Majlis Optik Malaysia (MOM) menasihatkan pengguna supaya membuat pemeriksaan mata terlebih dulu jika mahu memakai kanta lekap termasuk kanta lekap berwarna tanpa kuasa.

Menurut majlis berkenaan, pemeriksaan penting bagi memastikan sama ada seseorang pengguna sesuai atau sebaliknya untuk menggunakan kanta lekap kerana pemakaiannya bukan sekadar untuk kecantikan saja.

Kanta lekap hanya sesuai untuk individu yang mempunyai masalah rabun serta masalah mata seperti keratokonus, koloboma iris dan sebagainya selain mereka yang aktif bersukan.

"Kanta lekap juga itu tidak harus dipakai individu yang menghidap masalah mata seperti konjunktivitis kronik, blefaritis, jangkitan kuman dan mata kering selain pesakit diabetes, HIV positif dan penyakit berjangkit lain di samping individu yang mempunyai tahap kebersihan diri yang rendah," kata majlis dalam satu kenyataan.

MOM berkata, sekiranya seseorang itu tidak mematuhi peraturan pemakaian kanta lekap, komplikasi paling berbahaya ialah berlakunya jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea dan boleh menyebabkan buta.

Pengguna kanta lekap harus segera menghentikan penggunaannya jika mata menjadi merah, berasa sakit serta penglihatan menjadi kabur dan perlu berjumpa doktor mata kerana rawatan segera diperlukan bagi mencegah buta, katanya.

2.2 Sumber buku

Penggunaan kanta sentuh adalah semakin popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Ada yang memakainya sebagai alternatif kepada pemakaian cermin mata kepada si rabun dan ada juga yang memakainya untuk tujuan kecantikan dengan memakai kanta sentuh berwarna. Walau apa pun sebab pemakaiannya, pengguna kanta sentuh harus lebih prihatin kepada penjagaan mata kerana kanta sentuh berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersihkan mahupun ditanggalkan pada waktu yang tertentu.

Mata memerlukan oksigen. Sebaiknya kurangkan pemakaian kanta sentuh pada waktu malam kerana jumlah oksigen berkurangan satu pertiga pada waktu malam berbanding waktu siang. Juga elakkan pemakaian kanta sentuh sewaktu tidur yang lama terutamanya pada waktu malam kerana jika tidak ditanggalkan, lapisan mata akan mengalami pembengkakan.

Bagaimana ulser mata boleh berlaku?

Pengguna kanta lekap terutamanya dari jenis yang lembut haruslah mengikut peraturan pembersihan, pengurusan dan penyahkuman kanta dan bekasnya dengan betul. Kanta sentuh jenis lembut mempunyai risiko lebih tinggi kerana ia mempunyai 38 hingga 70 peratus kandungan air yang mampu menjangkitkan bakteria jika ia tidak dijaga dengan baik. Pseudomonas adalah bakteria yang paling lazim menjangkiti mata. Kanta sentuh yang tidak bersih memberi peluang kepada bakteria ini untuk sampai kepermukaan kornea yang menyebabkan mata dijangkiti penyakit ulser.

Simptom-simptom jangkitan bakteria

Simptom-simptom kepada jangkitan bakteria adalah seperti mata merah, sakit yang teruk (tidak semua kes), air mata meleleh, titik putih pada kornea mata dan mata sensitif kepada cahaya. Jika simptom ini berlaku, segera berjumpa doktor dan elakkan merawat mata sendirian atau menggunakan ubat titik mata yang dijual di pasaran kerana dikuatiri tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan.

Bagi mengelakkan jangkitan bakteria anda perlu:

• Mengikut jadual pemakaian sebagaimana diarahkan oleh pakar optometri.
• Mencuci tangan sebelum memasukkan dan mengeluarkan kanta.
• Menggunakan cecair pembersih kanta yang tidak dikitar semula.
• Menggantikan dengan yang baru kanta yang rosak, kering atau bercalar.
• Menggantikan kanta sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali.
• Membilas dan membersihkan kanta sentuh pakai buang sebelum 

  memakainya.
• Letakkan kotak kanta dalam air yang sedang mendidih beberapa minit untuk 

  tujuan pensterilan atau menukar kotak kanta setiap bulan.
• Rendam kanta mata dengan cecair pembasmi kuman selain dari saline.  Cecair saline

  tidak membunuh bakteria dan kulat serta ia mampu menjadi pusat pembiakan bakteria
  kerana faktor kelembapannya.
• Kanta sentuh yang terendam dan tidak digunakan perlu ditukar larutan disinfeksinya

  sekurang-kurangnya dua hari sekali.

Anda juga dinasihatkan agar tidak:

• tidur tanpa menanggalkan kanta sentuh terlebih dahulu.
• mengamalkan konsep kitar semua terhadap cecair pembersih.
• menggunakan air paip untuk mencuci kanta.
• berenang tanpa menanggaklan kanta.
• membiarkan rasa gatal pada mata.
• membasuh muka sewaktu masih menggunakan kanta sentuh.

3.0 Penemuan dan Perbincangan Hasil Kajian

Analisis data ini mengandungi profil responden, pengetahuan responden terhadap penggunaan kanta lekap sebagai pengganti cermin mata serta kegunaan dan cara menjaga kanta lekap.


3.1 Umur

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik yang diperolehi, daripada 25 responden, sebanyak 20 orang atau 80 % adalah berumur kurang daripada 20 tahun. Sebanyak 3 orang atau 12% adalah berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun manakala sebanyak dua atau 8% berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Antara peratusan yang tertinggi adalah respondan yang berumur kurang dari 20 tahun manakala peratusan paling rendah respondan yang berumur 30 hingga 40 tahun.

3.2 Pekerjaan

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, kami mendapati kebanyakan responden adalah pelajar. Daripada 25 responden, sebanyak 22 orang atau 88% adalah pelajar UTeM. Sebanyak 3 responden atau 12% terdiri daripada staf.

3.3 Fakulti

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik yang diperolehi, daripada 25 responden, sebanyak 7 orang atau 28% adalah pelajar daripada FKP. Sebanyak 4 orang atau 16% adalah pelajar daripada FKM manakala 2 orang atau 8% daripada FKEKK dan 4 orang atau 16% daripada FKE. Sebanyak 5 orang atau 20% pula daripada FTMK dan lain dari fakulti di atas ini adalah sebanyak 3 orang atau 12%. Antara peratusan yang tertinggi adalah daripada FKP manakala peratusan yang terendah adalah daripada FKEKK.

3.4 Kaum

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, kami mendapati kebanyakan responden terdiri daripada kaum Melayu iaitu sebanyak 18 orang atau 72%. Sebanyak 6 orang atau 24% adalah kaum Cina manakala seorang atau 4% daripada kaum India. Antara peratusan yang tertinggi adalah daripada kaum Melayu manakala peratusan yang paling rendah adalah daripada kaum India.

3.5 Pengetahuan tentang kanta lengkap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, 22 orang atau 88% daripada 25 orang responden yang mengetahui apakah itu kanta lekap. Manakala, 2 orang atau 8% daripada 25 responden tidak mengetahui apa itu kanta lekap. Mempunyai seorang responden yang tidak pasti sama ada mengetahui kanta lekap atau tidak. Antara peratusan yang tinggi di sini kita dapat lihat bahawa ramai responden yang mengetahui apa itu kanta lekap berbanding peratusan yang rendah.

3.6 Pengetahuan tentang penggunaan air paip untuk membersihkan kanta lengkap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, seorang responden atau 4% daripada 25 orang responden yang mengatakan kanta lekap boleh dibersihkan dengan menggunakan air paip. Sebanyak 21 orang atau 84% yang mengatakan kanta lekap tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan air paip manakala 3 orang atau 12% daripada 25 responden tidak pasti adakah kanta lekap boleh dibersihkan dengan menggunakan air paip atau tidak. Antara peratusan yang tertinggi ialah responden mengatakan kanta lekap tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan air paip manakala peratusan yang terendah ialah responden mengatakan kanta lekap boleh dibersihkan dengan menggunakan air paip.

3.7 Tempoh pemakaian kanta lengkap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, kami mendapati kebanyakan responden memakai kanta lekap kurang daripada setahun. Daripada 25 responden, sebanyak 10 orang atau 40% adalah responden yang memakai kanta lekap kurang dari setahun. Sebanyak 6 orang atau 24% yang memakai kanta lekap antara 1 hingga 5 tahun manakala sebanyak 3 orang atau 12% yang memakai kanta lekap antara 5 hingga 10 tahun dan 6 orang atau 24% yang tidak pasti berapa lama mereka sudah memakai kanta lekap. Antara peratusan tertinggi yang ditunjukkan kita dapat lihat ramai responden memakai kanta lekap kurang dari setahun dan peratusan terendah ialah responden memakai kanta lekap antara 5 hingga 10 tahun.

3.8 Jenis kanta lekap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik yang diperolehi, daripada 25 responden, sebanyak 9 orang atau 36% menggunakan kanta sentuh lembut manakala sebanyak 7 orang atau 28% menggunakan pemakaian harian. Sebanyak 6 orang atau 24% yang menggunakan kanta lekap pakai buang (disposable) dan sebanyak 3 orang atau 12% yang tidak pasti menggunakan kanta lekap jenis apa. Antara peratusan yang tertinggi adalah responden menggunakan kanta sentuh lembut dan peratusan yang terendah adalah responden tidak pasti menggunakan jenis kanta lekap apa.

3.9 Mencuci kanta lekap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, kami mendapati kebanyakan responden mencuci kanta lekap mereka. Sebanyak 23 orang atau 92% daripada 25 responden yang mencuci kanta lekap mereka. Manakala seorang atau 4% yang tidak mencuci kanta lekap dan seorang atau 4% lagi yang tidak pasti kanta lekap dicuci atau tidak. Antara peratusan yang tertinggi ialah responden mencuci kanta lekap.

3.10 Kekerapan mencuci kanta lekap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik yang diperolehi, daripada 25 responden sebanyak 13 orang atau 52% yang mencuci kanta lekap setiap kali menggunakan kanta lekap. Sebanyak 8 orang atau 32% yang mencuci kanta lekap setiap kali menyimpan kanta lekap dan sebanyak 4 orang atau 16% yang mencuci kanta lekap kadang kala. Antara peratusan yang tertinggi ialah responden mencuci kanta lekap setiap kali menggunakan kanta lekap dan peratusan yang terendah ialah responden mencuci kanta lekap kadang kala.

3.11 Tujuan pemakaian kanta lekap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik yang diperolehi, daripada 25 responden, sebanyak 9 orang atau 36% yang menggunakan kanta lekap untuk tujuan kosmetik manakala sebanyak 8 orang atau 32% yang menggunakan kanta lekap untuk tujuan terapeutik. Sebanyak 7 orang atau 28% yang menggunakan kanta lekap untuk tujuan sukan dan sebanyak seorang atau 4% yang menggunakan kanta lekap untuk tujuan lain. Antara peratusan tertinggi ialah responden menggunakan kanta lekap untuk tujuan kosmetik dan peratus terendah ialah responden menggunakan kanta lekap untuk tujuan lain.

3.12 Pendapat bahawa bahawa kanta lekap lebih ringkas dan mudah berbanding cermin
        mata

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, 13 orang atau 52% daripada 25 responden mempunyai pandangan dan mengatakan ya bahawa pemakaian kanta lekap lebih ringkas dan mudah berbanding cermin mata. Sebanyak 9 orang atau 36% yang mengatakan tidak tentang pemakaian kanta lekap lebih ringkas dan mudah berbanding cermin mata manakala 3 orang atau 12% tidak pasti adakah pemakaian kanta lekap lebih ringkas dan mudah berbanding cermin mata. Antara peratusan yang tertinggi ramai responden mengatakan ya bahawa pemakaian kanta lekap lebih ringkas dan mudah berbanding cermin mata dan peratusan terendah pula responda tidak pasti tentang kenyataan yang diberi.

3.13 Kesan penggunaan kanta lengkap

Berdasarkan maklumat daripada soal selidik, 9 orang atau 36% mengatakan penggunaan kanta lekap memberi kesan positif manakala 12 orang atau 48% daripada 25 responden mengatakan penggunaan kanta lekap memberi kesan negatif dan 4 orang atau 16% tidak pasti sama ada penggunaan kanta lekap memberi kesan positif atau negatif. Antara peratusan yang tertinggi ialah responden mengatakan penggunaan kanta lekap memberi kesan negatif dan peratusan yang terendah responden tidak pasti sama ada penggunaan kanta lekap member kesan positif atau negatif.

4.0 Kesimpulan dan Cadangan

Kesimpulannya, pemeriksaan mata secara menyeluruh sepatutnya dilakukan mengetahui kesesuaian seseorang untuk menggunakan kanta lekap. Ini kerana kanta lekap akan memberi kesan secara langsung terhadap metabolisme dan fisiologi kornea mata. Jika anda ingin memahami fungsi kanta lekap, anda perlu menjalani pemeriksaan mata yang teliti dan mendapatkan preskripsi pakar mata sebelum menggunakan kanta lekap. Ini bagi mengelakkan berlakunya komplikasi yang tidak diingini pada mata kelak.

Ramai yang menganggap bahawa kanta lekap berfungsi dengan cara yang sama dengan cermin mata. Kerana itu, pengguna tidak berfikir untuk mendapatkan khidmat nasihat yang betul sebelum membuat keputusan untuk memakai kanta lekap. Keadaan ini bertambah teruk dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah kedai optikal yang tidak membuat pemeriksaan teliti terlebih dahulu kepada bakal pengguna. Antara kriteria penting untuk memakai kanta lekap adalah mempunyai kandungan air mata yang cukup, integriti kornea yang baik, tiada alahan (alergi) dan tiada penyakit pada bahagian dalaman mata. Kesemua kriteria ini hanya boleh dipastikan sekiranya pemeriksaan mata dengan menggunakan peralatan bersesuaian oleh pakar mata dijalankan sebelum pengguna menggunakan kanta lekap. Di Malaysia, trend membeli kanta lekap di kedai optikal tanpa preskripsi daripada pakar mata semakin ketara.

Kebanyakan pengguna, terutamanya yang memakai kanta lekap berwarna untuk tujuan kosmetik, tidak mengambil peduli risiko yang bakal dihadapi. Mereka tidak membuat pemeriksaan mata dengan teliti atau mendapatkan khidmat nasihat tentang penjagaan kanta lekap dengan sempurna. Pembelian kanta lekap bagaikan membeli lampin pakai buang sahaja. Trend ini boleh membahayakan pengguna memandangkan setengah komplikasi akan menyebabkan kerosakan kekal terhadap tisu kornea. Pengurangan kadar resapan oksigen dalam jangka waktu yang panjang akan menyebabkan berlakunya edema pada kornea. Kekerapan berlaku edema pada kornea dan dalam tempoh waktu yang panjang mungkin akan menyebabkan sel-sel kornea pecah dan mengakibatkan terjadinya ulser.

Terdapat beberapa cadangan pula yang ingin saya kemukan dalam penggunaan dan cara memakai kanta lekap dengan betul. Antaranya ialah mencuci tangan sebersih-bersihnya dan keringkannya terlebih dahulu sebelum menyentuh kanta lekap. Selain itu, gantikan kanta lekap sebaik mata mulai berasa tidak selesa kerana ia merupakan satu petanda kanta sudah berada dalam keadaan yang tidak baik untuk membantu penglihatan. Seterusnya, jangan sembarangan memakai larutan pembersih kerana produk pembersih yang tidak tepat dapat membahayakan mata. Semasa proses membersihkan kanta lekap, pastikan kanta di telapak tangan anda dan usap secara perlahan-lahan. Gosok dengan berhati hati. Simpan kanta lekap di tempat penyimpanan khusus yang sedia mengandungi agen pembasmi kuman. Jangan biarkan mulut botol pembersih tersentuh sebarang permukaan lain atau dibiarkan terbuka untuk menghindari pencemaran. Pembelian kanta lekap daripada penjual dan jenama yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia amatlah tidak digalakkan. Hal ini kerana kualiti kanta lekap yang dijual boleh membahayakan kesihatan mata.


Rujukan

Michael D. Billig, Harry G. Randdal. The Eye Book: A Complete Guide to Eye Disorders and Health.

Milton M. Hom, Adrian S. Bruce. Manual of Contact Lens Prescribing and Fitting.

Robert B. Mandell. Contact Lens Practice.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kanta_lekap

http://www.wanista.com/2013/06/info-kesihatan-info-tentang-kanta-lekap-yang-perlu-anda-ketahui/

http://arisyahjahirah.blogspot.com/2013/04/hampir-hilang-penglihatan-kerana-kanta.html

No comments:

Post a Comment