Wednesday, September 25, 2013

Mengajar bahasa Melayu di universiti





Pelajar aktif dalam latihan menulis


Bahasa Melayu wajib diambil oleh pelajar-pelajar luar negara yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Biarpun mereka berasa susah peringkat awal, pergaulan seharian bersama-sama pelajar tempatan telah mempercepat penguasaan kosa kata dan perbendaharaan pelajar ini seperti makan, sikit-sikit, nasi ayam dan habis.

Pengalaman mengajar kelas bahasa kepada pelajar luar ini memberi pendedahan yang luas kepada saya betapa mudahnya bahasa ini. Kesungguhan pelajar untuk menguasai bahasa Melayu sangat terserlah apabila mereka bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam setiap aktiviti dan perbincangan khususnya pelajar dari Timur Tengah.

Pelajar ini kerap bercakap dalam kelas namun mereka dapat menguasai beberapa perkataan mudah yang membantu menjadikan hidup mereka lebih senang. Contohnya ketika meminta pesanan makanan atau minuman di kafe. Sekiranya mereka dapat memesan air suam, teh tarik atau nasi goreng ayam, sudah tentu mereka tidak akan mati kebuluran kerana tiga-tiga jenis menu ini ada di mana-mana. 

Tahun ini saya berkesempatan bersama 40 orang pelajar dari Yemen, Sudan, Mesir, Chad, Indonesia, Somalia, Korea Selatan dan Jerman. Suasana kelas agak hiruk-pikuk kerana resam pelajar Arab yang suka bercakap semasa kuliah. Berbanding pelajar Jerman atau Korea Selatan, kebanyakan pelajar Arab perlu meningkatkan disiplin menuntut ilmu seperti rakan mereka dari Korea atau Jerman tadi.

Peingkat awal memperkenal bahasa Melayu, mereka harus menguasai sebutan vokal a, i dan u serentak kerana  ketiga-tiga bunyi ini sangat kerap dalam pembentukan suku kata. Contohnya ejaan baca atau sapi. Ke mana sahaja mereka tetap berjumpa suku kata kerana konsep ini amat mudah untuk membentuk perkataan.

Bagi mempercepat pelajar mengingat dan mengulang perkataan baru bahasa Melayu, saya mewajibkan setiap pelajar mempunyai sebuah buku catatan yang mengandungi lima perkataan baru setiap hari. Mereka boleh menulis apa sahaja seperti selamat datang atau selamat tinggal dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Latihan ini menjadikan pelajar dapat menguasai dua bahasa sekali gus dengan mudah.

Kelas bahasa tidak perlu terlalu lama kerana yang penting ialah pelajar dapat memahami konsep dan mempraktikkan perkataan yang dipelajari. Melihat kepada kesungguhan pelajar-pelajar luar mempelajari bahasa Melayu, saya jangkakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.

 

No comments:

Post a Comment