Oleh Karim Raslan
Ekonomi India kini mendapat liputan meluas disebabkan penurunan nilai mata wang Rupee yang berterusan.
Hal ini menyebabkan defisit akaun semasa melambung tinggi dan hutang korporat meningkat, sementara kemerosotan pertumbuhan ekonomi di China dijangka mengheret seluruh negara-negara Asia Pasifik ke kancah krisis ekonomi yang berlarutan.
Pertumbuhan ekonomi India telah melamban ke paras 6.3% pada 2012 dan bagi tahun ini, India boleh dikatakan beruntung jika ia dapat melepasi pertumbuhan lebih 3%.
Bagi sebuah negara dengan nilai ekonomi sebesar USD4.684 trilion dan mempunyai senjata nuklearnya sendiri, kemelesetan ekonomi mereka dianggap serius dan merugikan.
India mungkin akan tertulis dalam sejarah baru sebagai pencetus krisis ekonomi 2013, sama seperti Korea Selatan dan Thailand yang telah mencatat sejarah sebagai pencetus krisis kewangan Asia 1998.
Jadi apakah sebenarnya yang menyebabkan kejatuhan ekonomi India? Walhal bukankah mereka sepatutnya menjadi lakaran sebuah kejayaan pembangunan hebat dalam sejarah? Jawapannya, ya dan pada masa sama tidak.
Menurut ahli ekonomi terkemuka, Jean Dreze dan pemenang Anugerah Nobel, Amartya Sen yang baru sahaja melancarkan sebuah buku awal tahun ini bertajuk An Uncertain Glory: India and its Contradictions, India telah membiarkan sektor awam negara jatuh, terutamanya sektor kesihatan dan pendidikan.
Hal ini memburukkan lagi situasi sosial yang tidak saksama antara penduduk di India. Malah, menjelang pilihan raya umum India yang bakal diadakan tahun depan, terdapat keraguan bahawa pentadbiran Parti Kongres yang diterajui Manmohan Singh akan gagal menangani isu birokrasi yang sangat tidak efisien.
Jadi, memandangkan situasi ekonomi kini semakin mendekati jurang bahaya, adalah lebih baik bagi pembaca di Asia Tenggara mengakui bahawa ekonomi India tidak akan pulih serta-merta, malah akan sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada kita semua.
Apatah lagi, apabila pasar ekonomi serantau diselubungi kebimbangan, kesan tersebut akan bertambah teruk dan kronik.Namun, kita tidak dapat menyangkal kecemerlangan ekonomi India dapat dilihat dengan kemewahan kalangan golongan menengah dan ke atas, sedangkan kehidupan masyarakat golongan bawahan kekal sengsara.
Sektor kesihatan - India hanya membelanjakan 1.2% daripada nilai GDP untuk sektor tersebut jauh di belakang ekonomi membangun yang lain seperti China dan Amerika Latin yang masing-masing membelanjakan 2.7% dan 3.8% daripada nilai GDP.
Dari perspektif Malaysia, kerajaan kita membelanjakan 4.8% daripada nilai GDP atau USD400 per kapita ke dalam sektor kesihatan, manakala Indonesia membelanjakan 2.7% daripada nilai GDP atau USD100 per kapita.
Rendahnya pelaburan dalam sektor kesihatan menyebabkan India merekodkan kadar indeks Kualiti Kehidupan yang rendah berbanding negara jiran mereka Bangladesh, yang memiliki GDP per kapita berjumlah USD747 yang jauh lebih rendah dari India, pada USD3,557.
Golongan paling dapat kesan teruk ialah wanita, penduduk suku asli dan masyarakat kasta bawahan.
Jadi, jika kita mahu berlandaskan pada perkiraan Sen dan Dreze, punca utama kejatuhan India adalah disebabkan kegagalan mentadbir urus negara. Misalnya, kerajaan lebih banyak membelanjakan wang dalam pemberian subsidi baja berbanding sektor kesihatan dan pendidikan.
Kita tidak boleh memandang rendah kesan buruk daripada kegagalan melabur kepada pembangunan sosial kerana ini bukan menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan kemelut ekonomi, malah hilangnya peluang-peluang kerana kegagalan melahirkan modal insan yang berkualiti.
Perkembangan drastik demografi India tidak bermakna apa-apa sekiranya golongan muda mereka yang berjumlah 430 juta tidak dididik secukupnya dan diberi peluang pekerjaan sewajarnya.
Namun, pandangan Sen dan Dreze belum diterima sepenuhnya. Pemikir pasaran bebas seperti Jagdish Bhagwati dari Universiti Columbia melihat isu India dari aspek intervensi kerajaan di mana, beliau menyarankan agar kerajaan tidak terlalu campur tangan dalam urusan ekonomi negara dan menggerakkan lebih banyak sektor swasta ke dalam ekonomi.
Wajarnya, dasar ekonomi India harus terletak di tengah antara kedua-dua ekstrem tersebut. Namun, buat masa kini, tidak banyak yang dijangka dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk miskin India.
Sen dan Dreze mengkritik pendekatan India yang amalkan pasaran terbuka dan demokrasi, atas hujah bahawa kedua-dua pendekatan tersebut gagal untuk menangani isu asas berkaitan ketidakseimbangan masyarakat.
Lihat pada China di mana pendekatan sistem autoritarian telah membawa kepada kepesatan ekonomi, bahkan juga meninggalkan kesan ketidakseimbangan sosial.
Jadi pendekatan mana yang harus diterapkan negara ekonomi membangun? Mungkin terdapat paradoks baru dalam sistem kapitalis moden: tiada negara yang boleh kekal pesat dan membangun dalam suatu jangka masa panjang!
(Sinar Harian, 3 September 2013)
No comments:
Post a Comment