Wednesday, May 08, 2013

Masyarakat Islam Malaysia mahukan hudud




Masyarakat Islam di Malaysia lebih cenderung kepada pelaksanaan
undang-undang syariah khususnya dalam hal kekeluargaan



Sebuah institusi penyelidikan Amerika Syarikat, Pew Research Center melaporkan dapatan kajian berkaitan kecenderungan masyarakat Islam di Malaysia,  Indonesia dan Thailand yang mahu melaksanakan undang-undang syariah. Sebanyak 86 peratus responden di Malaysia mahukan undang-undang itu dilaksanakan, jauh di hadapan berbanding Indonesia dan Thailand dengan masing-masing mencatat 72 peratus dan 77 peratus.

Di Indonesia, lebih 70 peratus menyokong langkah itu di samping hampir 50 peratus bersetuju dengan hudud, 48 peratus bersetuju dengan merejam penzina dan 45 peratus menyokong pelaksanaan potong tangan bagi pencuri.

Kajian yang dilakukan antara 2008 hingga 2012 di 39 buah negara merangkumi Afrika, Asia dan Eropah melibatkan 38,000 responden, menggunakan pendekatan bersemuka dan respondennya adalah masyarakat Islam. Laporan dapatan itu dikaitkan dengan komitmen agama yang akrab dengan pandangan terhadap undang-undang syariah. Solat lima waktu sehari dikatakan menjadi pengukuh bahawa syariah adalah undang-undang Allah untuk manusia.

Bagi Indonesia, dapatan kajian ini memperlihat konflik dalam kalangan kepimpinan Islam dan saintis sains sosial yang melihat kebanyakan masyarakat Islam di negara itu cenderung kepada fahaman sekular dan tidak menyokong pembentukan sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang syariah. Mereka beranggapan Pancasila lebih mendominasi kerana menggalakkan kesederhanaan dalam amalan hidup.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masyarakat Islam seluruh dunia memilih undang-undang syariah. Faktor utama ialah penyelesaian terhadap konflik keluarga atau lebih tepat adalah berkaitan pembahagian harta pusaka.

Biarpun terdapat sokongan yang tinggi terhadap undang-undang syariah, khususnya di Afrika dan Asia Selatan, majoriti responden lebih suka kepada amalan demokrasi. Dalam meneliti kecenderungan ini terhadap demokrasi, responden di Malaysia mencatat 67 peratus diikuti Thailand 64 peratus dan Indonesia 61 peratus.


No comments:

Post a Comment