Wednesday, May 29, 2013

Etnik Cina dan polisi awam di Malaysia selepas PRU-13





Kebimbangan masyarakat Cina Malaysia terhadap masa depan politik, ekonomi, pendidikan dan budaya mula dirasai selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Getaran bimbang ini dapat dilihat ke atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin persatuan Cina yang mewakili pelbagai sektor yang menjaga kepentingan etnik itu di Malaysia.

Impak yang paling ketara dalam tempoh lima tahun ini ialah tidak ada pemimpin Cina yang menganggotai kabinet kerajaan Malaysia yang baru dibentuk. Apa hendak jadi etnik Cina kali ini? Tanpa adanya wakil yang boleh bersuara mewakili etnik itu, usaha-usaha memaju dan membentuk paradigma mereka akan terjejas, suara Cina tidak diberi perhatian, masalah dihadapi akan lambat diselesaikan kerana perlu melalui banyak saluran dan keperluan hidup menjadi lengah.

Etnik Cina hanya boleh bersuara di Dewan Rakyat melalui wakil-wakil parti politik yang berada di pihak kerajaan dan pembangkang. Wakil Cina boleh bersuara lantang tetapi belum tentu menjadi input dalam pembentukan polisi awam di negara ini.

Dari segi ekonomi, inisiatif pemboikotan yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan yang menggesa pengguna menjauhkan diri daripada produk keluaran etnik Cina menggusarkan beberapa tokoh persatuan Cina itu sendiri. Kempen yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kecenderungan dan pola membeli pengguna khususnya umat Islam yang merasai kewajaran membeli barangan keluaran peniaga Islam yang tentunya halal dan suci.

Pada masa yang sama membeli produk keluaran umat Islam dapat meningkatkan kekuatan ekonomi masyarakat Islam seluruhnya. Ia juga membantu menambah pendapatan zakat perniagaan yang dapat disumbangkan kepada pembangunan pendidikan dan keadilan sosial masyarakat.

Di Malaysia, kegiatan ekonomi dikuasai sebanyak 70 peratus oleh etnik Cina, suatu keadaan yang menyukarkan masyarakat Melayu untuk bersaing. Bidang peruncitan yang dikuasai sepenuhnya oleh Cina memberi cabaran paling sengit untuk peniaga Melayu maju.

Namun pembudayaan ke atas corak membeli yang diperkenalkan oleh kerajaan telah mendidik pengguna untuk memilih barangan berkualiti. Di sinilah peniaga Melayu yang benar-benar maju dan berusaha keras mampu bersaing kerana pembelian tidak berdasarkan kepada persepsi etnik sebaliknya kepada persepsi nilai.

Pembukaan dan penggalakan bidang francais turut mengenengahkan lebih ramai usahawan Melayu untuk menceburi bidang bisnes yang bertaraf antarabangsa.

Selepas PRU-13, siapa yang akan memberi perhatian khusus kepada pendidikan Cina Malaysia? Sebaik kabinet dibentuk, pertubuhan-pertubuhan "zhong" sudah gelabah kerana perhatian sudah tipis dan kuasa yang menentukan hala tuju pendidikan negara ke arah negara perpaduan terletak di tangan Melayu, bumiputera dan India.

Tatkala wakil India Malaysia akan menggunakan peluang sebagai timbalan menteri pendidikan untuk memperkasa pendidikan entik India, soal kebajikan guru dan pelajar sekolah vernakular Cina bakal dikesampingkan. Keadaannya tentu jauh berbeza dengan sebelum pilihan raya lalu iaitu ada sekolah Cina yang diberi pelepasan cukai. Suara-suara yang meminta sekolah vernakular Cina dihapuskan mulai muncul dan semakin lantang.

Pendidikan menjadi benteng terakhir Cina Malaysia untuk mengekalkan indentiti sebagai "Cina seberang laut". Dijangkakan keistimewaan yang diberikan kepada pendidikan Cina tidak berpanjangan dan merosot sedikit demi sedikit dan suara "zhong" akan terus diketepikan.

Nilai-nilai etnik Cina Malaysia telah berubah selari dengan proses integrasi dan asosiasi etnik itu dalam masyarakat pelbagai etnik. Ekosistem masyarakat Malaysia yang didominasi oleh etnik Melayu disesuaikan dengan baik oleh etnik Cina khususnya dalam sikap bertolak ansur dan tidak malu untuk memilih pemimpin bukan dari bangsa sendiri.

Dalam PRU-13 yang lalu, calon-calon Melayu dari Pas dan PKR begitu ghairah dipilih oleh pengundi Cina dengan alasan dapat menumbangkan Barisan Nasional. Mereka bertindak menolak calon Cina sendiri yang bertanding dibawah bendera BN.

Justeru dapat dilihat di sini, etnik Cina sudah menyesuaikan diri dengan nilai-nilai baru yang tidak kisah dengan pemimpin yang bukan daripada etnik sendiri. Ia sebagai persediaan etnik itu untuk menjadi kelompok minoriti dalam tempoh 46 tahun lagi yang dijangka berkurangan kepada 16 peratus sahaja.

Bilangan yang kecil dan merosot ini tidak memungkinkan etnik Cina untuk berkuasa dalam politik, ekonomi atau pendidikan. Mahu atau tidak mahu mereka terpaksa berpaut kepada Melayu untuk mendapat simpati dalam pelbagai aspek kerana demografi Melayu dan bumiputera akan terus meningkat kepada 75 peratus dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Politik perkauman masih menjadi teras kepada pembangunan Malaysia untuk beberapa siri pilihan raya umum. Anggota parti yang memisahkan diri daripada politik seperti ini mendapati diri mereka sukar untuk mendapat sokongan ramai kerana parti politik yang ditubuhkan asas dasar pelbagai etnik akhirnya didominasi oleh satu etnik sahaja. Malah parti politik sedia ada seolah-olah menjadi legasi anak-beranak dari generasi ke generasi yang boleh dilihat dalam semua parti politik utama di Malaysia.

 

No comments:

Post a Comment