Tuesday, May 21, 2013

Perkasakan institusi masjid






Usaha Majlis Agama Negeri Sembilan (Mains) mengambil kelompok profesional lulusan Universiti Al Azhar bgi mengurus dan mentadbir institusi masjid di seluruh Negeri Sembilan sangat dialu-alukan. Objektif usaha ini adalah meningkatkan kecekapan dalam menjayakan agenda pembangunan institusi masjid supaya pelaksanaan ibadah dapat disempurnakan.

Pada masa yang sama, konsep pentadbiran in boleh menjadi contoh dan model kepada negeri-negeri lain untuk mengguna pakai kaedah yang sama. Ia juga dapat meningkatkan imej dan kualiti pentadbiran jabatan dan agensi yang berkaitan dengan Islam di negara ini.

Jika selama ini pentadbiran masjid banyak dilakukan secara sukarela, langkah ini dapat memberi suntikan baru untuk meningkatkan kesegaran mentadbir dan mengimarahkan masjid dan surau serta dapat mengubah paradigma masyarakat Islam terhadap peranan masjid yang lebih menyeluruh mencakupi masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dari Perlis hingga ke Sabah, amatlah mudah bagi seseorang muslim untuk menunaikan kewajipan solat lima waktu, solat jumaat atau qiamullail di masjid atau surau. Dalam jarak satu hingga dua kilometer pasti terdapat sebuah masjid atau surau dengan keadaan persekitaran yang bertambah baik.

Dewan solat juga menarik dan menambah kekhusyukan menghadap Allah swt. Ada antara masjid dan surau ini yang dipasang pendingin hawa di samping kipas dinding.

Dua puluh tahun lalu banyak kritikan ke atas keadaan bilik air masjid seperti pintu tandas terkopak, tandas berbau, lantai yang licin dan paip air yang tidak berfungsi. Walaupun keadaan ini dikaitkan dengan kurang peruntukan untuk kerja-kerja senggaraan, keadaan ini hanya menyerlahkan betapa aktiviti gotong-royong dalam komuniti setempat telah berakhir. Di bandar, operasi menjaga kebersihan bilik air dan persekitaran masjid dapat diurus dengan teratur hasil dari kutipan dan infaq yang berterusan oleh anak-anak qariah.

Peningkatan profesionalisme dan pentadbiran berkualiti ini seharusnya diiringi dengan peruntukan yang mencukupi, pemberian gred jawatan yang sesuai, strategi pengimarahan institusi masjid dan menguruskan program pembangunan komuniti supaya lebih menarik.

Amat jarang kita melihat masjid atau surau mengadakan aktiviti pembangunan komuniti yang mencakupi ruang lingkup lebih luas seperti pendidikan dan kesihatan. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menarik masyarakat Islam dan bukan Islam untuk bermesra dengan masjid. Tidaklah salah menjemput hospital untuk mengadakan aktiviti menderma darah.

Begitu juga tidak salah untuk bekerjasama dengan universiti bagi mengadakan bengkel motivasi pelajar untuk kebaikan anak-anak qariah yang bakal menghadapi peperiksaan. Kita yakin ramai tenaga akademik yang berminat dengan aktiviti kemasyarakatan ini.

Langkah memberi ruang kepada golongan profesional (yang memiliki ijazah sarjana muda) bagi menguruskan institusi masjid dilihat mampu menyegarkan masjid dan surau sebagai tempat pembangunan komuniti Islam. Ia juga boleh menjadi titik tolak kepada proses pendakwahan berterusan kepada bukan Islam dan mengurangkan sentimen buruk sangka kepada Islam.

 

No comments:

Post a Comment