Thursday, May 23, 2013

Bina impian






Tiga kejayaan besar kepada Malaysia pada minggu ini untuk kita banggakan. Pertama, seorang anak muda,  Kapten James Anthony Tan  telah berjaya mengelilingi dunia dengan penerbangan solo menggunakan kapal terbang satu enjin. Beliau merentasi 20 buah negara dan dilahirkan dengan masalah dyslexia. Kedua, perenang buta Faiq Adnan berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, dan ketiga adalah kejayaan anak-anak muda Felda menjejakkan kaki ke Gunung Everest. 

Ketiga-tiga kejayaan ini bukannya mudah kerana semuanya perlukan kesungguhan untuk berjaya. 

Di sebalik semua susah dan payah mengharungi cabaran ini adalah impian. Daya juang Faiq berenang di dalam laut didorong oleh nilai-nilai yang ada dalam dirinya. Nilai-nilai inilah yang mengubah seluruh hidupnya untuk  menjadi seorang yang luar biasa. 

Faiq boleh memilih untuk hidup seperti orang kurang upaya yang lain, meratapi nasib diri dan membiarkan hidupnya ditentukan oleh orang lain. Sebaliknya beliau memilih untuk keluar daripada ruang lingkup selesa kepada suatu keadaan yang mencabar dan memerlukannya memberi tumpuan kepada kecergasan diri, membentuk kestabilan emosi dan mengekalkan momentum impian yang telah lama terpendam dalam hidupnya. 

Dalam keluarganya, tidak ada seorang pun ahli keluarga yang pandai berenang. Kejayaan itu tentu memberi inspirasi kepada rakan-rakan sepertinya untuk melakukan aktiviti yang mencabar kemampuan diri. 

Impian hidup umpama api yang memberi cahaya kepada malam yang kelam, memberi sinar kepada hari yang muram dan memberi nafas kepada denyut nadi. Impian ini yang membentuk sokongan berterusan, tunjang kepada kecekalan hati untuk meneruskan latihan, mewujudkan persekitaran positif, mendapat galakan daripada rakan-rakan dan doa daripada ibu dan bapa. 

Memiliki sebuah impian seperti yang dimiliki oleh ketiga-tiga kejayaan ini amat menguntungkan. Dalam hidup kita, mempunyai sebuah impian adalah sangat perlu. Biarlah impian itu terus hidup dan menjadi pendorong untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

 

No comments:

Post a Comment