Thursday, May 09, 2013

Analisis PRU13: Ali Rustam kecewa di Bukit Katil





Kajian lanjut perlu bagi mengenal pasti punca kekalahan di Bukit Katil


Datuk Seri Mohd Ali Rustam menzahirkan rasa kecewa kerana kalah dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini ke atas pola pengundian masyarakat Cina yang disifatkan “tidak kenang budi, tidak mengambil kira jasa dan cuba membiarkan dirinya seperti sampah di tepi jalan”. Beliau juga menyalahkan sikap segelintir  orang Melayu yang telah mendapat banyak kemudahan asas dengan rumah yang besar dan banyak harta tetapi melupakan khidmatnya apabila menjadi kaya dan hidup senang. 
 
Rumusan beliau terhadap sikap pengundi Cina di Parlimen Bukit Katil ialah masyarakat itu sangat rasis dan mengamalkan poitik perkauman sehingga lupa kepada bantuan yang telah diberikannya.
 
Mohd Ali tewas kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 iaitu merupakan suatu jumlah yang besar jika dikira pengalaman, jasa dan hubungannya dengan pengundi di situ. Angka ini menunjukkan jawatan Ketua Menteri yang dipegang sejak 3 Disember 1999 sebenarnya tidak memberi kelebihan untuk menang.
 
Kekalahan Mohd Ali mengejutkan banyak pihak termasuk lawannya. Bagaimanapun peralihan sokongan orang-orang Cina kepada pakatan pembangkang wajar dikaji dan diberi perhatian kerana lebih 80 peratus pengundi bangsa itu menentang beliau. Apakah yang menyebabkan peralihan ini berlaku? 
 
Secara umum pengundi terdiri daripada tiga kelompok iaitu penyokong tegar, simpati dan atas pagar. Kemungkinan besar kelompok simpati dan atas pagar dari kaum Cina terpengaruh dengan sentimen “ubah” yang dibawa oleh DAP untuk meraih kemenangan kali ini. Slogan ini mempengaruhi minda sedar dan separa sedar pengundi selepas diasak dengan pelbagai maklumat. Asakan berterusan ini mampu mempengaruhi emosi pengundi untuk membuat kepastian pada 5 Mei 2013.
 
Selain kempen agresif yang berterusan ini, peranan jentera pakatan pembangkang amat kemas walaupun tidak banyak kain rentang yang diikat atau poster yang dicacak di sekitar Bukit Katil. Jika dibandingkan dengan kain rentang Barisan Nasional, poster pakatan pembangkang boleh dikira. Kesatuan usaha mereka berjaya menggerakkan perpaduan tiga parti untuk mencapai matlamat yang sama iaitu menumbangkan BN.
 
Pergantungan kepada media cetak dan media elektronik hanya mempengaruhi pengundi yang tua dan mengenepikan keupayaan pengundi muda. Rata-ratanya pengundi muda mendapat maklumat yang lebih cepat dan meluas daripada media sosial dan tidak bergantung kepada saluran media kerajaan dan arus perdana.
 
Perbalahan dalam UMNO untuk menjadi calon turut menyumbang kepada kekalahan Mohd Ali. Budaya tidak puas hati beralih kepada dendam jatuh-menjatuhkan sesama sendiri. Seterusnya ia merencatkan gerakan bersungguh-sungguh kem Mohd Ali untuk membawa beliau ke Putrajaya.
 
Akhir sekali, faktor sentimen “Asal Bukan UMNO” telah menjadi tema besar kepada pengundi muda untuk menolak Mohd Ali. Sentimen ini bergema di seluruh negara dan tempiasnya terkena kepada beliau.
 
Keinginan Mohd Ali untuk menjejakkan kaki ke parlimen tidak kesampaian dalam PRU-13 ini kerana pengundi Cina tidak memberi sokongan padu kepadanya. Walau bagaimanapun, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, Malaysia memberi kebebasan kepada setiap warganegara yang layak mengundi untuk menentukan pilihan sendiri. Dalam sistem ini, DAP menggunakan sepenuhnya kebebasan yang ada untuk meraih sokongan dan memberi peluang kepada Parti Keadilan Rakyat untuk mewakilkan suara mereka di parlimen.
Post a Comment