Sunday, April 28, 2013

Lindungi keselamatan penjawat awam


Tiga das tembakan telah menyebabkan seorang penjawat awam terbunuh serta-merta di Putrajaya. Kejadian ini amat memeranjatkan kerana pembunuhan seperti ini belum pernah berlaku di situ apatah lagi ketika mood pilihan raya sedang berlangsung.

Keselamatan penjawat awam wajar diberi perhatian

Modus operansi pembunuhan ini sama seperti yang dilakukan oleh pembunuh upahan iaitu pembonceng dan penunggang motosikal menghampiri sasasan dan melepaskan tembakan tepat ke arah mangsa. Kejadian di Melaka, Seremban dan Batu Caves mempunyai modus operandi yang melibatkan pembunuh upahan dan sehingga kini belum dapat dirungkai misteri pembunuh tersebut.

Media melaporkan pihak polis mengesyaki ia berkaitan dengan balas dendam sindiket pengedaran dadah yang tumpas di KLIA baru-baru ini melibatkan RM73 juta syabu yang hendak diimport ke Malaysia. Kejayaan pihak kastam menggagalkan pengedaran berkenaan mungkin menjadi penyebab kepada tindak balas tersebut.

Keselamatan melaksanakan tugas bagi pihak kerajaan merupakan tanggungjawab kerajaan. Ia melibatkan prosedur, kos, sistem penyampaian dan pengawasan. Contohnya, jika melibatkan keselamatan anggota, pihak kerajaan perlu membenarkan agensi melantik pengawal keselamatan sendiri yang memiliki kepakaran dalam memberi perlindungan kepada pegawai kanan. Dalam kes kastam, agensi itu wajar diberi keistimewaan menempatkan pengawal pengiring bersenjata untuk urusan rasmi. Malahan kenderaan yang dinaiki juga wajar diberi kebenaran memasang cermin paling gelap.

Anggota penguatkuasa  seringkali berhadapan dengan ancaman yang menghalang keberkesanan tugas mereka. Namun insiden yang berlaku di Putrajaya ini diharap menjadi iktibar kepada penambahbaikan dalam aspek keselamatan pegawai kanan agensi dan mengingatkan kita bahawa dalam setiap masa, ada pihak yang tidak senang dengan agensi penguatkuasa membanteras pelbagai kegiatan penyelewengan dan jenayah di negara kita.

 

No comments:

Post a Comment