Kabinet Malaysia 2013 (Utusan Malaysia) |
oleh Wan Hasnan Wan Hasan, Junhairi Alyasa, Suhana Md. Yusop
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan barisan Kabinet baharu yang disifatkan sebagai Kabinet berimbang yang mampu menjayakan agenda transformasi nasional serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Jelas beliau, Kabinet itu juga menggabungkan menteri-menteri yang berpengalaman, pemimpin muda dan golongan teknokrat yang mempunyai kepakaran khusus.
“Saya percaya mereka yang berpengalaman akan menyumbang daripada segi kesinambungan berdasarkan pengalaman mereka sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri, mereka yang merupakan teknokrat akan menyumbang kepakaran khusus untuk menyuntik idea-idea kreatif dan bernas untuk pertimbangan kerajaan.
“Mereka yang muda pula,
selain berkebolehan, mampu membawa cita rasa golongan muda kepada pertimbangan
kerajaan. Saya sifatkan Kabinet ini mampu meneruskan dan menjayakan agenda
transformasi nasional selain dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan
kerajaan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika
mengumumkan barisan Kabinet baharu yang terdiri daripada 30 orang menteri, 26
timbalan menteri dan 24 kementerian di Bangunan Perdana Putra di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr.
Ali Hamsa.
Kabinet itu menjadi perhatian
rakyat selepas Barisan Nasional menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.
Pengumuman senarai penuh
Kabinet dibuat setelah Najib mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Muadzam Shah pada sebelah paginya.
Kabinet baharu itu turut
menyaksikan pelantikan muka-muka baharu seperti Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Hassan Malek dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
Datuk Abdul Rahman Dahalan.
Turut dilantik ialah tokoh
korporat iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd., Datuk
Seri Abdul Wahid Omar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi
Transparency International, Datuk Paul Low juga memegang jawatan yang sama.
Kedua-dua mereka dilantik sebagai Senator.
Menurut Perdana Menteri,
walaupun bilangan menteri dikekalkan seramai 30 orang, bilangan timbalan
menteri telah dikurangkan daripada 37 orang kepada 26 orang.
Daripada jumlah itu, seramai
13 menteri berasal dari Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu tujuh menteri
adalah dari Sarawak, manakala enam dari Sabah.
Kesemua menteri dan timbalan
menteri yang dilantik dijadual mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia di
hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara
hari ini.
(Kosmo Online, 16 Mei 2013)
No comments:
Post a Comment