Monday, May 27, 2013

Pathmanabhan huni sel BA





N. Pathmanabhan, 43 tahun merupakan perancang pembunuhan bersama tiga orang lagi Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33 dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini. Selepas lebih dua tahun turun naik mahkamah, keputusan berkenaan amat melegakan keluarga mangsa yang terlibat iaitu Datuk Sosilawati Lawiya, Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Karim dan Kamaruddin Shamsuddin.
 
Pathmanabhan dimasukkan ke dalam senarai pembunuh dan penjenayah yang kejam bersama-sama Bentong Kali, Botak Chin dan Mona Fendy. Penglibatan penjenayah-penjenayah ini melibatkan kematian atau kecederaan mangsa.
 
Seorang bekas peguam, beliau bertindak mewajarkan keadilan. Namun disebabkan tamak kepada harta yang tidak seberapa, empat orang menjadi mangsa ketamakannya sekali gus. Apakah beliau berfikir polis begitu sukar hendak mencari bukti dan mensabitkan kesalahan jenayah ke atasnya?
 
Pandangan Hakim Datuk Akhtar Tahir ketika membaca hujahnya, secara terus-terang menyifatkan siasatan polis dalam kes ini bertaraf dunia, suatu pengiktirafan di atas keupayaan dan kemahiran Polis Diraja Malaysia dalam melakukan siasatan dan menyelesaikan kes. Ini bukan kali pertama pujian diberikan kepada pasukan polis kerana ada kes-kes lain lagi yang dapat diselesaikan oleh mereka.
 
Pekerjaan seseorang tidak memberi jaminan bahawa dia tidak akan melakukan kesalahan jenayah. Dari pemandu lori hinggalah ahli politik dan peguam, jenayah tidak mengenal siapa. Ada pemandu lori yang dihukum gantung kerana mengedar dadah, ahli politik yang membunuh musuh politik dan akhirnya dipenjarakan seumur hidup dan akhirnya peguam yang tamak.

Dalam kejadian di Ladang Gadong, Banting itu dikatakan Pathmanabhan menyaksikan sendiri kematian mangsa-mangsa, suatu keadaan yang menunjukkan betapa kerasnya hati pembunuh ini. 
 
Malangnya dalam keterangan di mahkamah, beliau menyatakan tidak berjumpa dengan mangsa dan menganggap mangsa seorang yang baik iaitu langkah mengelakkan diri daripada dilibatkan dalam pembunuhan berkenaan. Namun kecemerlangan paukan pendakwa yang membentangkan kes secara menyeluruh dari pelbagai aspek telah meyakinkan hakim untuk menjatuhkan hukuman gantung.
 
Pathmanabhan mempunyai beberapa peluang lagi untuk memisahkan dirinya daripada tali gantung. Sebelum itu, sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, beliau telah menempah gelaran BA, istilah yang sangat ditakuti di penjara. Beliau akan ditempatkan di sebuah sel khas, diberi makanan istimewa seperti ikan atau ayam tanpa tulang dan dipisahkan daripada banduan-banduan lain.

Dari semasa ke semasa beliau akan diberi tazkirah dan kuliah berkenaan dengan kehidupan mengikut amalan kepercayaannya. Pergerakannya juga terhad dan pegawai penjara yang ditugaskan menjaganya sudah tentu sentiasa bersedia setiap masa.
 
Kehidupannya sebagai pembunuh di penjara benar-benar menyeksakan hidup. Setiap hari yang dilalui terasa lambat dan penuh penyesalan. Jika diberi peluang untuk menukar skrip hidupnya dengan orang lain, tentu dia akan berusaha melakukannya. 
 
Bagi keluarga mangsa, kematian sudah terbela dan pembunuhnya sedang berhadapan dengan maut secara beransur-ansur, mengambil masa dan ia adalah pasti. Biasanya selepas melalui rayuan dan perbicaraan pelbagai peringkat yang mengambil masa lima tahun, hukuman akan dilaksanakan.
 
Seminggu sebelum digantung, Pathmanabhan akan diberi masa beramah mesra dengan ahli keluarga terdekat. Selepas itu, di suatu subuh, dia akan dibawa keluar dari sel BA, kemungkinan besar dalam keadaan dipapah kerana sudah tidak berdaya hendak berjalan (seperti yang biasa dialami oleh pesalah BA yang lain). Kepalanya akan diserkup dengan kain, gelungan tali gantung disarung ke leher lalu lubang maut dibuka. 
 
Berakhirlah hidup Pathmanabhan, balasan di atas perbuatannya.

 

No comments:

Post a Comment