Saturday, May 11, 2013

Analisis PRU13: Haron Din gagal lagi di Arau






Datuk Haron Din di Sekolah Kebangsaan Jelempok


Calon Pas di Parlimen Arau dalam pilihan raya lalu, Datuk Haron Din gagal dalam usahanya menjadi wakil rakyat selepas kalah 1,371 undi kepada Datuk Seri Shahidan Kasim dari Barisan Nasional. Beliau mendapat 18, 005 undi berbanding Shahidan 19,376 undi. 
 
Parlimen Arau mempunyai 43,876 pengundi yang merangkumi Dewan Undangan Negeri Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang. Dari segi komposisi pengundi mengikut kaum, Melayu membentuk 87.34 peratus, Cina 8.15 peratus, India 1.65 peratus dan lain-lain sebanyak 2.74 yang terdiri daripada masyarakat Siam. Peratusan yang keluar mengundi ialah 87.6 peratus atau 38,312 orang. 

Jentera Pas tidak dapat menandingi kempen berterusan Barisan Nasional yang mendirikan banyak bilik gerakan sama ada di rumah individu atau di kawasan awam. Disebabkan kawasan luar bandar dan masyarakat Arau berpendapatan kecil, kebergantungan kepada Barisan Nasional masih ketara. Di sinilah kelemahan Haron Din yang dilihat lebih banyak masanya berada di luar Arau berbanding Shahidan Kassim yang menggunakan pendekatan personal untuk mendampingi masyarakat. 

Ketokohan Haron Din tidak banyak membantu masyarakat mengenali beliau secara peribadi kerana perumahan penduduk di Arau adalah berselerakan, justeru beliau memerlukan jentera parti yang ramai untuk sampai kepada pengundi-pengundi ini. Ada sesetegah kawasan, rumah pengundi berada di tengah-tengah sawah dan kemudahan jalan raya yang kurang baik memalaskan jentera parti untuk mendekati mereka. Berbanding Barisan Nasional, mereka bergerak juga bertemu pengundi seperti itu sambil bertanya khabar dan membawa buah tangan untuk mengikat hati pengundi kepada parti itu. 

Keputusan pemilihan 2013 menunjukkan pengundi di Simpang Empat dan Sanglang cenderung memilih beliau berbanding di kawasan DUN lain.  

Memenangi Arau merupakan cabaran besar kepada Pas kerana kemajuan negeri itu banyak disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apatah lagi semenjak pembukaan Lebuhraya Kuala Perlis-Changlon, penduduk Arau dapat meningkatkan akses kepada kegiatan ekonomi dengan lebih ketara. Kawasan sawah yang dulunya mengambil masa 20 minit untuk ke pekan Arau kini hanya perlu menunggang motosikal di antara lima hingga sepuluh minit untuk ke pasaraya C-Mart atau kedai-kedai lain. Tentulah pembangunan ini disumbangkan ketika Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar dan juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Ismail Kassim, wakil rakyat Arau dalam pilihan raya 2008. 

Oleh kerana pengundi Melayu sangat tinggi di Arau, pendekatan juga berbeza. Memenangi hati mereka bermakna calon perlu datang dan bertanya khabar. Jentera parti Pas tidak kelihatan di sesetengah kawasan berbanding Barisan Nasional yang begerak ke seluruh kawasan di samping berterusan menembusi kubu kuat Pas. Ia dapat dilihat daripada pemasangan poster dan kain rentang berlambang dacing. Barisan Nasional turut menggunakan kaedah memujuk apabila berhadapan dengan pengundi yang tidak dapat membuat keputusan.

Satu perkara yang diperhatikan ialah pengundi di Arau mempunyai pertalian persaudaraan yang akrab. Mereka saling mempengaruhi dan sentiasa memberi peringatan berkaitan calon yang bakal dipilih. Adu domba dan emosional tidak kedengaran di Arau kerana masyarakat masih menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam. Begitu juga denga pengundi muda yang rata-ratanya tamat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan dan kurang terdedah kepada media sosial yang bersifat provokasi dan emosi menyumbang kepada kekalahan Haron Din. 

Untuk menang di Arau, Pas perlu menggunakan pendekatan memenangi hati pengundi melalui gerak kerja perdampingan berterusan. Bakal calon juga perlu lebih kerap turun padang dalam aktiviti kemasyarakatan, membantu ahli masyarakat yang terpinggir dan merasai susah payah orang kampung dalam mengisi pembangunan negeri. 

Pentadiran kerajaan Barisan Nasional yang mesra rakyat menghalang Pas untuk memenangi lebih kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya lalu.

 

No comments:

Post a Comment