Monday, May 20, 2013

Analisis PRU13: Cabaran besar ke arah negara maju






Debaran Pilihan Raya Umum ke-13 telah berlalu. Barisan Nasional kembali berkuasa dengan 133 kerusi parlimen, DAP mendapat 38 manakala Parti Keadilan Rakyat memperoleh 30 dan Pas 21. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, BN memperoleh 275 kerusi, diikuti DAP 95, Pas 86 dan PKR 49.

Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan kekal pada pembangkang manakala Kedah dapat ditawan BN. Penguasaan Perak menjadi hak mutlak BN selepas menang dengan majoriti mudah.

Secara keseluruhan, DAP paling berpuas hati apabila dapat menambah bilangan kerusi parlimen dan DUN serta mendapat 90 peratus sokongan pengundi Cina dan masyarakat bandar. Pas juga dapat mengekalkan Kelantan dan mengukuhkan kedudukan di Terengganu namun kekalahan di Kedah mengundang banyak ulasan berkaitan prestasi parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa 84.84 peratus daripada 13,268,002 pengundi telah menunaikan hak mereka bagi menentukan 222 kerusi parlimen. Di kawasan DUN, sejumlah 85.82 peratus atau 12,885,434 orang mengundi untuk memilih 505 kerusi.

Analisis kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN menunjukkan lapan buah negeri telah mencatatkan kemenangan lebih daripada 50 peratus. Senarai negeri yang menyumbang kepada kerusi parlimen ditunjukkan dalam Jadual 1.

 
Jadual 1

 


Secara keseluruhan, BN menang 60 peratus daripada 222 kerusi parlimen dan 40 peratus dimenangi oleh pembangkang.

Analisis berdasarkan parti-parti komponen dalam BN memperlihat parti di Sabah dan Sarawak telah menyumbang kepada kemenangan BN kali ini. Senarai negeri yang menyumbang kepada kerusi parlimen ditunjukkan dalam Jadual 2.
 

Jadual 2




Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan PRU kali ini adalah sengit dan menyatakan “tsunami Cina” sebagai punca BN gagal di kawasan pengundi majoriti Cina dan campuran. Pengundi Cina menolak BN dan memberi undi kepada mana-mana calon dari parti DAP, PKR dan Pas. Fenomena ini berlaku di seluruh negara.

Johor adalah contoh di mana semua calon MCA yang berdepan dengan DAP tewas di semua kerusi DUN. Di Gelang Patah, bekas Menteri Besar, Datuk Ghani Othman pula tewas dengan majoriti lebih besar di di tangan Lim Kit Siang dari DAP. Di Selangor, saluran pengundi Parlimen Tanjong Karang bagi kawasan majoriti etnik Cina memihak kepada pembangkang.

Keputusan yang lebih ketara ialah di Parlimen Bukit Katil yang ditandingi Datuk Seri Mohd Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka. Beliau tewas dengan majoriti 5,447 undi kepda calon PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Hanya 1.5 peratus pengundi Cina yang memilih Mohd Ali walaupun jasa dan pengalamannya membangunkan Melaka amat besar. Dalam kes ini, pengundi melihat kepada blok politik yang diwakili bukannya calon.

Selain MCA, calon dari Gerakan turut mengalami nasib yang sama apabila tewas di beberapa kawasan khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Penganalisis politik melihat lima sebab yang menjadikan PRU kali ini menyumbang kepada “tsunami Cina”. Pertama, etnik Cina terpengaruh dengan slogan DAP iaitu “ubah”. Slogan ini dinyatakan dalam pelbagai bentuk seperti poster, kain rentang, disampaikan dalam ceramah sert disebarkan melalui media sosial dan pesanan ringkas. DAP sendiri mempunyai kumpulan penyebar slogan ini di media sosial yang dikenali sebagai Red Bean Army yang berperanan menyampaikan propaganda kepada etnik Cina, membuat ulasan yang ke atas laman facebook, youtube dan blog tokoh-tokoh kepimpinan BN dan kerajaan menggunakan bahasa yang kasar dan melampau. Kumpulan propaganda ini telah dibentuk selepas PRU-12 lalu dan beroperasi dari Pulau Pinang dan Selangor. Pengaruh dari slogan ini juga menyebabkan etnik Cina di luar negara berusaha untuk kembali mengundi dengan harapan dapat menumbangkan BN.

Kedua, sentimen perkauman melampau yang dimainkan oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memberi impak ke atas pemikiran etnik Cina Malaysia. Semua 38 kerusi parlimen yang dimenangi oleh DAP adalah kawasan majoriti Cina. Sifat perkauman Lim Kit Siang didedahkan oleh Tun Dr Mahathir dalam satu ceramah sehingga beliau melaungkan “Lim Kit Siang adalah rasis” sebanyak tiga kali.

Ketiga, kedudukan demografi etnik Cina di Malaysia sehingga 2010 adalah 24.6 peratus berbanding bumiputera 67.4 peratus dan India 7.3 peratus. Melayu merupakan kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus. Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan warganegara di Sarawak, manakala Kadazan/Dusun merekodkan sebanyak 24.5 peratus di Sabah.

Jumlah etnik ini semakin berkurangan sejak dari bancian 2000 iaitu 26.0 peratus dan bancian 1991 ialah 28.1 peratus. Kaum bumiputera terus bertambah dari 60.6 peratus (1991) kepada 65.1 peratus (2000). Dalam tempoh sepuluh hingga tiga puluh tahun yang akan datang, kuasa politik etnik Cina di Malaysia akan terus lemah. Justeru, kesempatan yang ada dalam PRU-13 digunakan sepenuhnya untuk menumbangkan BN.

Keempat, Pas mulai mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina semata-mata hendak menumbangkan BN. Kempen agresif berkaitan hudud dan negara Islam yang dilakukan oleh MCA di akhbar Star milik parti itu gagal menghalang pengundi Cina daripada memberi undi mereka kepada Pas dan DAP. Slogan “Pas for all” yang dibentuk selepas PRU-12 telah mengendurkan ketakutan berkenaan lebih-lebih lagi konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas telah ditindihkan dengan konsep negara berkebajikan.

Ketakutan pengundi Cina terhadap Pas juga semakin terhakis apabila parti itu meletakkan dua orang calon dari kalangan Cina dan India. Tindakan ini dilihat membuktikan bahawa Pas sedia menerima bukan Islam untuk bersama-sama dengan mereka dalam usaha menumbangkan BN.

Kelima, parti poitik kaum Cina, MCA dan Gerakan tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kempen untuk membalas serangan DAP, sebaliknya hanya mengharapkan kempen di media cetak dan media elektronik yang dianggap tradisional dan ketinggalan zaman. Kedua-dua parti dilihat lebih bergantung kepada kepimpinan Najib Tun Razak yang aktif bergerak ke seluruh negara. Walaupun di Selangor terdapat bilangan etnik Cina yang keluar beramai-ramai ke majlis makan malam anjuran BN, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti itu.

Rumusan paling mudah ialah etnik Cina tidak menerima perkhidmatan dan agenda pembangunan yang diberikan oleh BN selama 50 tahun lalu dan mengharapkan DAP dan pembangkang dapat membawa harapan baru untuk masyarakat itu.

Walaupun “tsunami Cina” dikatakan sebagai punca kepada kemerosotan undi terhadap BN dan kenaikan mendadak undi ke atas pembangkang, corak politik pengundi Cina sentiasa berubah-ubah. Jika diambil Pulau Pinang sebagai contoh, pada 1990, sebahagian besar pengundi Cina menolak BN menyebabkan calon-calon dari MCA kalah. Pada 1995 dan 1999, mereka menerima kembali MCA dan Gerakan. Namun pada 2008 mereka menolak kedua-dua parti itu dan memberikan harapan kepada DAP bersama PKR dan Pas.

Isu peralihan undi oleh etnik Cina telah dinyatakan dalam kajian yang dijalankan oleh Centre for Pubic Policy Studies, ASLI. Dapatan kajian menyatakan masyarakat Cina amat prihatin dengan isu jenayah dan rasuah, pendidikan, kenaikan kos hidup, isu keadilan dan kesaksamaan, agama, tahap penglibatan dalam sektor awam yang rendah dan kurang amalan meritokrasi. Walaupun sebahagian besar pengundi Cina melihat enam perkara ini sebagai mengecewakan, masih terdapat pengundi Cina yang berumur 50 tahun ke atas dan komuniti perniagaan masih yakin dengan kepimpinan Najib yang dilihat membawa keamanan, kestailan dan kemakmuran negara.

Selain daripada pengundi Cina, sokongan ke atas pembangkang turut disumbangkan oleh pengundi bandar yang terdiri daripada pelbagai kelas sosial. Mereka juga berpendapatan tinggi dan menikmati keselesaan hidup namun terkesan dengan kos hidup yang sangat tinggi ketika ini. Isu-isu utama pengundi bandar ialah tidak puas hati dengan salah guna kuasa, pelanggaran hak asasi manusia, peningkatan jenayah dan juga rasuah. Tahap kesedaran politik yang lebih baik, interaksi yang meluas melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas di samping “anti-establishment” menyumbang kepada penolakan ke atas calon-calon BN di bandar.

PRU-13 telah melakar sejarah kepada Malaysia. Institusi kerajaan, perlembagaan dan masyarakat masih utuh di sebalik perbezaan ideologi dan pandangan. Kedah dapat dirampas oleh BN manakala Pas semakin mendekati untuk mentadbir Terengganu. Keseluruhan keputusan PRU-13 ini ditunjukkan dalam Jadual 3.

 
Jadual 3

 


Selepas mengambil kira prestasi parti-parti politik yang bertanding, pemenangnya adalah UMNO dan DAP. Kemenangan UMNO adalah kerana dapat menambah kerusi di parlimen, menubuhkan kerajaan yang pro-bumiputera, mendominasi kabinet 2013 dan menyediakan agenda pembangunan kepada masyarakat Melayu, bumiputera dan memberi asas kepada kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak. Bagi DAP, ia berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai alternatif kepada etnik Cina.

Parti yang benar-benar tewas ialah MCA dan Gerakan. MCA hilang banyak kerusi parlimen dan enggan menyertai kabinet manakala Gerakan hampir pasti berkubur jika tidak ada perancangan lengkap untuk melakukan transformasi politik dalam tempoh lima tahun akan datang. Parti ini semakin menghampiri nasib yang sedang dialami oleh komponen BN iaitu PPP yang ditolak di semua peringkat.

Pasca PRU-13 mencatatkan beberapa perkembangan yang berbeza daripada sebelumnya. Pertama, dasar-dasar kerajaan khususnya agenda pembangunan akan pro-bumiputera dan Islam kerana bilangan kabinet didominasi oleh kelompok tersebut. Penyertaan pemimpin Sabah dan Sarawak akan memacu pembangunan kedua-dua negeri itu bagi mengimbangi kemajuan Semenanjung Malaysia.

Kedua, pembangunan fizikal, intelektual dan spiritual masyarakat Melayu akan diperkasa kerana politik “balas budi” kerajaan terhadap kaum itu yang terus menyokong BN. Dijangkakan institusi pendidikan seperti sekolah kebangsaan, sekolah agama dan institut kemahiran akan diberi tumpuan untuk melahirkan golongan Melayu yang memahami agama dan cemerlang dalam pelajaran. Isu sosial yang melingkari masyarakat Melayu akan menjadi agenda dalam meningkatkan rasa “izzah” atau kemuliaan diri dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Ketiga, ekonomi negara akan terus berkembang selaras dengan iltizam kerajaan BN untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020. Dasar dan perancangan yang dilaksanakan kelak menumpu ke arah pencapaian matlamat tersebut. Kelompok penjawat awam akan menerima habuan terbesar melalui kenaikan gaji dan elaun kerana mereka juga dilihat sebagai penyokong kerajaan BN.

Keempat, kedudukan pembangkan yang kuat di parlimen memberi kebaikan kepada semua rakyat Malaysia khususnya mengenai kualiti hidup. Kerajaan BN tentu menyedari bahawa keadaan semakin sukar untuk mereka menekan rakyat dengan kenaikan harga barang atau perkhidmatan. Kerajaan BN juga dijangka akan membaiki kualiti penyampaian, perkhidmatan dan penggunaan belanjawan yang lebih berhemat. Di akhirnya, kerajaan BN terpaksa menjadi sebuah kerajaan yang sangat prihatin dan responsif kepada kehendak rakyat Malaysia.

Kelima, etnik Cina akan merasai kesan sebenar di atas tindakan mereka menolak BN. Tanpa ada wakil Cina dalam kabinet, suara kelompok etnik itu tidak lagi didengari dengansempurna. Walaupun menteri dikatakan bertanggungjawab kepada semua orang, konsep “yang sokong dihargai, yang menentang dibenci” mungkin menjadi ketetapan yang tidak diperlihatkan dalam membuat dasar dan rancangan kepada negara.

Keenam, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Melayu, Cina dan India jelas dapat dikenal pasti kecenderungan mereka. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) umpamanya menjelaskan pendirian mereka untuk menyokong pembangkan dalam PRU-13. Kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden pertubuhan itu, Mohd Farid Sheikh Ahmad tentang pendirian mereka amat jelas iaitu IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata”. Manakala bagi NGO berasaskan nasionalis dan kepentingan kaum seperti Perkasa, Dong Zong dan Hindraf masing-masing mempunyai pendirian yang memenuhi aspirasi kaum mereka.

Perjalanan lima tahun akan datang amat mencabar bagi kerajaan BN kerana mereka mengekalkan kuasa. Dalam pada masa yang sama, pembangkang mula mengenengahkan pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai aspirasi Malaysia yang dipunyai oleh pelbagai kaum. Banyak persoalan yang boleh diutarakan untuk kedua-dua pihak merangka strategi politik masing-masing untuk memenangi  kelompok pengundi akan datang seperti kesepaduan rakyat Malaysia, konsep baru sistem politik dan keberkesanan agensi pelaksana piihan raya.
Post a Comment