Pelbagai cara boleh digunakan untuk menjadikan hidup kita lebih baik daripada sekarang. Bak kata pepatah ‘lain padang lain belalang, lain orang lainlah ragamnya’ begitu juga dengan kehidupan yang kita lalui.
Kita tidak wajar membandingkan keadaan hidup dan masa depan kita dengan orang lain secara keterlaluan hingga menimbulkan kekecewaan diri. Setiap orang memiliki perjalanan dan pengalaman hidup sendiri yang sangat berbeza meskipun hidup dalam satu keluarga. Ayah tidak dapat menentukan dengan tepat apakah anak-anaknya akan melalui kehidupan yang bahagia apabila meningkat dewasa biar pun dia merancang dengan baik. Hakikatnya, kita tidak tahu apakah kesudahan akhir hidup yang dilalui.
Pemikiran dapat mengawal kehidupan. Cara terbaik mengawal pemikiran ialah mengelakkan daripada berfikir negatif ke atas perkara-perkara yang tidak dapat dikawal oleh kita. Sebaliknya banyakkan berfikir dan lakukan apa yang ada di hadapan mata. Dalam erti kata lain, kurangkan angan-angan atau mimpi di siang hari.
Hubungan sosial sangat mempengaruhi aras penerimaan orang lain terhadap kita. Andainya terlalu serius, kita mungkin hilang kawan. Lebih baik kita tidak ambil hati sangat kalau ada rakan-rakan yang bergurau. Biasanya kalau kita boleh bertolak ansur, kita mudah mendapat kawan. Bagi mereka yang sukar hendak senyum, latihan senyuman boleh dilakukan setiap hari supaya amalan senyum ini menjadi rutin setiap kali berjumpa orang.
Tips yang terakhir ialah berkenaan dengan diri kita sendiri. Dalam hidup ini, tidak ada sesiapa pun yang boleh menggembirakan hati kita kecuali diri kita sendiri. Sifirnya mudah iaitu kita sendiri yang tahu sama ada kita suka, sedih atau bahagia. Jadi, bergembiralah dan lebihkan senyuman dan ketawa dalam hidup ini.
No comments:
Post a Comment