Ketika bulan puasa tahun 2000, saya berada di Limbang, Sarawak kerana teringin menyambut hari raya puasa di tempat orang. Seminggu sebelum raya, televisyen dan surat khabar berlumba-lumba menyiarkan iklan masing-masing yang menggambarkan keghairahan mereka bersama-sama meraikan hari raya puasa. Semua akhbar mempunyai sentimen yang sama iaitu berusaha bersungguh-sungguh untuk mempamerkan iklan dan mesej mereka adalah yang paling baik. Bagaimanapun itu semua bukanlah tujuan yang saya beri perhatian kerana ada perkara lain yang lebih penting.
Sejak berada di luar lingkaran dan sempadan keluarga, kekuatan hati yang kental, tidak mudah kalah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan zaman remaja saya. Jika usia muda dan remaja rakan-rakan yang lain mungkin sedang bercinta dan bersenang-senang dengan pekerjaan yang selesa, saya pula merintis cabaran dan gelombang membina kekentalan hati dan jiwa untuk melihat dan mengenal dunia cabaran yang tidak tahu di mana hujung pangkalnya. Dalam keadaan musafir begini, saya lebih banyak mengenal erti satu-satu nilai. Jadi, setiap iklan raya yang disiarkan menjadi keutamaan saya untuk dipelajari.
Salah satu iklan yang menarik dan masih saya ingat sehingga kini adalah sebuah mesej penuh satu muka surat yang disiarkan oleh sebuah bank luar negara yang mempunyai banyak cawangan di negara kita. Bank ini juga baru melancarkan perbankan Islam dan dalam ‘mood’ mempromosi perniagaan mereka ini.
Iklan yang dipilih sangat ringkas, cuma ada tulisan dalam bentuk cerita. Kisahnya begini.
‘Ada seorang lelaki yang selalu melalui sebuah rumah yang dihuni oleh seorang wanita. Setiap kali lelaki ini menapak melintasi rumah itu, wanita ini akan menyapu sampah sambi menyumpah seranah. Namun lelaki ini tersenyum dan berlalu pergi. Ia berlaku beberapa ketika sehingga suatu hari lelaki itu terasa aneh kerana wanita yang benci kepadanya tidak muncul sebaik sahaja dia melalui rumah berkenaan. Dia memberi salam dan dari dalam rumah terdengar suara wanita memintanya masuk ke dalam. Rupa-rupanya wanita ini jatuh sakit dan tidak dapat berjalan dan menguruskan dirinya sendiri. Lelaki ini, dengan rasa tanggungjawab menyediakan keperluan dan memasak makanan untuk wanita yang sangat membencinya.’
Saya terasa pernah membaca dan mendengar kisah ini. Setelah diamati, lelaki yang dimaksudkan dalam iklan ini tidak lain dan tidak bukan adalah junjungan mulia Rasulullah saw. Iklan ini tidak menyiarkan nama baginda saw tetapi mesejnya adalah jelas iaitu nilai membuat baik kepada orang yang benci kepada kita. Dalam kisah ini, Rasulullah saw membantu wanita yang tidak suka kepada baginda saw dan akhlak yang mulia ini telah mengubah keseluruhan persepsi wanita ini.
Setiap tahun, sama ada di surau, masjid atau kuliah-kuliah agama berkenaan dengan sambutan maulidur rasul, kadangkala isu dan cerita yang sama disampaikan. Inovasi dan kreativiti untuk mengupas seerah Rasulullah saw agak kurang. Ia tidak menarik golongan muda untuk bersama-sama menyambut dan meraikan baginda saw.
Pendekatan perlu diubah kerana masyarakat hari ini agak kritikal dan perlukan contoh melalui huraian yang lebih praktikal. Hidup hari ini yang banyak dipengaruhi oleh kecintaan kepada dunia memudarkan nilai-nilai mulia yang sepatutnya menjadi darah daging khususnya umat Islam. Menghuraikan secara lanjut satu-satu nilai yang ada pada diri Rasulullah saw adalah lebih menarik kerana kita dapat melihat bagaimana nilai-nilai itu dipancarkan dari diri baginda saw dan dalam keadaan yang bagaimana Allah swt mendidik rasul-Nya. Dalam cerita tadi, wanita ini adalah seorang sangat bencikan Rasulullah saw dan dakwah Islamiah. Namun di akhir kesudahan, ia adalah ‘happy ending’ dan kemenangan untuk peribadi Rasulullah saw. Jika kisah-kisah nilai ini disampaikan kepada anak-anak muda secara praktikal mereka akan menerapkan nilai ini dalam hidup. Elemen kesabaran, menghormati orang tua dan lemah, mengambil berat dan tidak mudah mengalah dalam mencapai matlamat boleh didedahkan kepada mereka. Bukan sahaja remaja atau kanak-kanak, malah orang dewasa turut tersentak jika ulasan tetang nilai diberi keutamaan dalam ceramah dan syarahan maulidur rasul.
Bagi setiap perubahan, kita lebih suka melihat contohh yang telah berlaku kerana dapat menjangkakan perubahan berkenaan ada kemungkin yang besar untuk berjaya. Orang takut berubah kerana mereka tidak nampak apakah perubahan itu akan memberi kebaikan kepada hidup. Kaedah didikan Allah swt kepada para rasul dan nabi dengan memberi pengalaman sebenar amat berkesan kerana kita nampak dari awal dan akhir di mana hasilnya. Proses dakwah dan tarbiah akan lebih berkesan jika da’i nampak hasilnya di akhir usaha-usaha mereka.
Justeru, pendidikan berfokus nilai banyak memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berubah seperti yang ditunjukkan Rasulullah saw.
No comments:
Post a Comment