Sesetengah orang beriya-iya hendak mengubah sikap buruk atau sikap negatif dan hendak merasai perubahan berkenaan dalam sekelip mata atau dalam masa yang singkat. Contohnya, dari malas kepada rajin, takut kepada berani, pasif kepada aktif dan sebagainya.
Perubahan secara mengejut ini mungkin berkesan dalam jangka masa singkat. Kita perlu memberi beberapa pertimbangan supaya perubahan berkenaan dapat memberi impak dalam jangka masa panjang. Terdapat tiga pertimbangan penting untuk difikirkan.
Pertama, usia. Perubahan ketika usia muda dan remaja adalah lebih mudah kerana orang muda mahu belajar. Namun tidak begitu bagi orang yang lanjut usia (lansia). Mereka lebih banyak berfikir supaya setiap perubahan adalah untuk kebaikan diri dan keluarga. Biarpun usia telah meningkat, sepatutnya ia tidak menjadi halangan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.
Kedua, kepercayaan diri. Maksudnya ialah pegangan hidup berteraskan agama. Kita perlu pastikan betul-betul tentang perubahan yang hendak dilakukan supaya tidak bertentangan dengan kepercayaan agama yang menjadi pegangan hidup.
Ketiga, persekitaran. Setiap perubahan mesti mengambil kira perkembangan sekitar supaya wujud sokongan dan dorongan ke atas usaha-usaha perubahan berkenaan. Gagal membuat penilaian ini, barangkali perubahan yang hendak dilaksanakan akan tergendala.
No comments:
Post a Comment