Kebangkitan rakyat menjadikan Tunisia terkenal di seluruh dunia secara tiba-tiba. ‘Revolusi Jasmin’ yang diambil sempena nama bunga rasmi negara itu telah menghalau keluar presiden Zine El Abidine Ben Ali yang memerintah dengan gaya autokratik selama 23 tahun. Penduduk Tunisia dianggarkan 10.4 juta, mendapat kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1956. Sejak merdeka, Tunisia memiliki dua orang presiden sahaja iaitu Habib Bourguiba dan Zine El Abidine.
Keupayaan Zine El Abidine mendapat kuasa presiden bukannya secara pilihan raya sebaliknya melalui peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah sebaik sahaja Bourguiba diisytiharkan tidak layak untuk untuk meneruskan tugasnya sebagai presiden. Tarikh 7 November setiap tahun dijadikan cuti umum bagi meraikan perlantikan Zine Al Abidine sebagai presiden negara itu. Beliau selalu mendapat undi majoriti dalam setiap pilihan raya sehinggalah dihalau keluar pada Januari 2011.
Banyak perkara di Tunisia yang jarang diketahui oleh dunia luar. Contohnya larangan poligami yang menjadikan negara itu satu-satunya negara Arab yang berbuat demikian. Manakala wanita diberi peluang untuk menduduki 20 peratus kerusi parlimen. Bagaimanapun seperti negara-negara Arab yang lain, rekod pelaksanaan demokrasi adalah sangat buruk. Dalam Indeks Demokrasi 2008, Tunisia diklasifikasikan dalam kelompok rejim autoritarian menduduki tempat 141 daripada 167 buah negara. Dalam tahun yang sama, kebebasan akhbar negara itu ialah pada kedudukan 143 daripada 173 buah negara.
Apabila terlalu lama berkuasa, Zine El Abidine dilihat cuba mengekalkan kuasa seberapa lama yang boleh dengan mengenakan sekatan ke atas penentang-penentang politiknya. Sebarang insiden yang melibatkan kecaman ke atas presiden tidak akan disiarkan di media. Demonstrasi awam ke atas amalan rasuah dan nepotisme di Gafsa pada 2008 tidak disiarkan dan wartawan Fahem Boukadous yang membuat liputan kes berkenaan dipenjarakan pada Julai 2010.
Kerajaan Tunisia melaksanakan tapisan maklumat di Internet termasuk YouTube. Wartawan Tanpa Sempadan, sebuah organisasi antarabangsa memasukkan Tunisia di dalam senarai musuh Internet bersama-sama Korea Utara, Arab Saudi dan Turkmenistan.
Masalah rasuah dan nepotisme yang berlegar-legar di sekeliling presiden Zine Al Abidine dikaitkan ahli keluarga Trabelsi yang mengawal sektor perniagaan di Tunisia. Isterinya dilapor menggunakan pesawat kerajaan untuk membeli-belah di Milan, Paris dan Geneva. Menantu lelaki, Sakher al-Materi dikatakan sedang berusaha untuk mengambil alih kuasa di Tunisia. Peranan kaum kerabat Zine Al Abidine sangat ketara sehingga menimbulkan kegelisahan dan keresahan rakyat.
Bagi menutup kelemahan pentadbiran, beliau mengadakan pilihan raya umum untuk memilih presiden pada Oktober 2009. Beliau menang dengan majoriti besar, 89.62 peratus mengalahkan calon pembangkang, Mohamed Bouchiha (5.01%), Ahmed Linoubli (3.80%) dan Ahmad Ibrahim (1.57%). Calon dari parti Ettajdid, Ahmad Ibrahim, tidak dibenarkan menggantung sebarang poster dan mengadakan mesyuarat serta penerbitan mingguan Ettarik al-Jadid dirampas oleh kerajaan.
Apabila takdir menyatakan Zine El Abidine tidak dapat bertahan walaupun untuk sehari di atas puncak presiden, kematian Mohamed Bouazizi menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat. Pemuda berusia 26 tahun ini adalah penjana pendapatan kepada keluarganya. Dia menjalankan perniagaan menjual sayur kecil-kecilan tetapi tanpa lesen selama tujuh tahun di Sidi Bouzid, 300 kilometer ke selatan Tunis. Pada 17 Disember 2010, seorang polis wanita merampas barang perniagaannya dan beliau mahu membayar denda 10 dinar (RM21) iaitu jumlah pendapatan hariannya. Sebaliknya, tindakan polis wanita ini di luar dugaan Bouazizi. Dia ditampar, muka diludah dan arwah ayahnya dicaci. Tidak tahan dengan pelakuan tersebut, dia mengadu di majlis bandaran tetapi tidak dilayan. Sejam selepas itu, tanpa pengetahuan keluarga, Bouazizi kembali ke pejabat berkenaan dan menyimbah badannya dengan minyak untuk membakar diri. Kejadian ini tersebar dengan pantas dan orang awam mula membuat bantahan. Presiden Zine El Abidine cuba meredakan kemarahan perusuh dengan melawat Bouazizi di hospital namun pemuda itu meninggal dunia pada 4 Januari 2011.
Orang ramai berkumpul kerana tidak bersetuju dengan cara layanan ke atas Bouazizi. Polis diarahkan menyurai penunjuk perasaan dengan menggunakan gas pemedih mata di Sidi Bouzid kerana kelompok pembantah semakin ramai. Dalam tempoh sebulan, selepas pemuda penjual sayur itu mati, Lahseen Naji mati terkena renjatan elektrik, Ramzi Al-Abboudi kecewa dan meninggal dunia kerana tertekan dengan bebanan hutang program mikro kredit milik negara, Mohamed Ammari mati kerana ditembak di dada oleh polis dan Chawki Belhoussine El Hadri terkorban pada 30 Disember kerana ditembak ketika membuat bantahan.
Perarakan di jalan raya sampai ke kemuncaknya apabila 1000 orang berkumpul di Tunis kerana mahu kerajaan menyediakan pekerjaan kepada mereka. Kelompok ini disertai pula oleh kesatuan sekerja, peguam dan pelbagai lapisan masyarakat. Kelantangan suara rakyat Tunisia selama sebulan diperketatkan dengan perintah darurat pada 14 Januari 2011. Dalam keadaan tertekan, presiden Zine El Abidine berjanji akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh enam bulan. Sejak Disember 2010, rakyat keluar berhimpun di jalan raya kerana tidak sanggup lagi untuk menghadapi keadaan pengangguran, inflasi makanan, rasuah, halangan kebebasan bersuara dan keadaan hidup yang buruk. Mereka mencari kediaman mewah keluarga Ben Ali dan membakarnya.
Dalam keadaan kelam-kabut, perdana menteri Mohammed Ghannouchi mengisytiharkan dirinya sebagai berkuasa di Tunisia kerana Zine El Abidine telah lari meninggalkan negara itu ke Arab Saudi membawa bersama 1.5 tan emas milik negara. Selepas kerajaan sementara ditubuhkan, empat orang menteri dari kabinet lama presiden meletakkan jawatan dan pemimpin dari parti pemerintah RCD meninggalkan parti berkenaan. Semuanya berlaku kerana tekanan yang sangat kuat dari kelompok kesatuan kerja yang membuat bantahan besar-besaran.
Siasatan awam yang dibentuk memulakan tindakan ke atas presiden dengan membekukan akaun bank di Switzerland dan membebaskan 1800 banduan politik. Selepas sebulan mengalami situasi tidak menentu, 20 Januari 2011 adalah hari bersejarah kepada rakyat Tunisia kerana kehidupan mereka tidak lagi dibayangi kezaliman Zine Al Abidine, sang pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya sendiri.
No comments:
Post a Comment