Hosni Mubarak kehilangan kuasa selepas menjadi presiden Mesir 30 tahun lalu. Majalah TIME menyifatkan Mubarak sebagai pemimpin paling terjejas ketika ini. Lain-lain pemimpin politik dunia ialah Ali Abdullah Saleh (Yemen), Kim Jong Il (Korea Utara), Alexander Lukashenko (Belarus), Omar Hassan al-Bashir (Sudan), Mahmoud Ahmadinejad (Iran), Robert Mugabe (Zimbbwe), Emomali Rahmon (Tajikistan), keluarga Saud (Arab Saudi) dan Abdelaziz Bouteflika (Algeria).
Situasi di Mesir kekal dengan keadaan huru-hara di bandar-bandar utama seperti Iskandariah, Ismailia dan Port Said dengan ribuan pemuda Arab berkumpul. Tumpuan utama ialah Dataran Tahrir. Bantahan pada 25 Januari 2011 terus berkembang apabila kerajaan Mubarak hilang kawalan ke atas penunjuk perasaan. Perintah berkurung tidak dihiraukan dan tentera dilihat tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perintah berkurung itu. Dalam tempoh 12 hari bantahan diadakan, jumah korban jiwa dilaporkan mencecah lapan orang, bagaimanapun sumber tidak rasmi menyatakan jumlah kematian adalah lebih. Keadaan kini sukar diramal kerana cintakan kuasa dan jawatan menghalang Mubarak untuk melepaskan kedudukannya. Biar pun belum dapat dipastikan berapa lama demonstrasi akan terus berlaku, Amerika Syarikat mula mengambil langkah menekan Mubarak supaya segera melakukan proses transisi dan mengembalikan demokrasi di Mesir seberapa segera.
Dalam mesej yang disampaikan kepada Mubarak, presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyatakan dengan tegas bahawa negara itu tidak mahu lagi kepimpinan Mubarak dan mahukan barisan kepimpinan yang baru. Ucapan yang berselindung tetapi tegas oleh Obama memeningkan kepala Mubarak untuk menamatkan tempohnya sebagai ketua negara Mesir pada September ini. Obama menyifatkan perubahan kepimpinan mesti berlaku sekarang dalam keadaan aman dan bererti. ‘An orderly transition must be meaningful, it must be peaceful, and it must begin now.’ Ketika mesej ini disampaikan, Rumah Putih menghantar Frank Wisner, bekas duta Amerika Syarikat ke Mesir sebagai utusan Obama meminta Mubarak berundur. Pada masa yang sama, Perdana Menteri British dan Kesatuan Eropah turut mengulangi pendirian hendak melihat pemulihan kerajaan yang aman dan stabil di Mesir.
Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara yang sangat aktif mengambil bahagian dalam menentukan kesinambungan kepimpinan nasionalis di Mesir. Negara itu akan melakukan apa sahaja untuk mempastikan kepentingannya tidak terjejas dan ada kemungkinan menjejaskan Israel. Sejak rusuhan meletus, negara itu mula mencatur langkah bagi mengekalkan kehadiran mereka di bumi Mesir. Alasannya mudah iaitu mempastikan Israel berada dalam keadaan selamat dan tidak digugat oleh mana-mana negara. Kesediaan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Naib Presiden, Omar Suleiman adalah petujuk paling jelas kepada penglibatan langsung negara itu dalam menentukan haluan politik Mesir selepas Mubarak.
Mesir boleh maju dan berjaya selepas era Mubarak. Legasi buruk Mubarak ialah melebarkan kadar kemiskinan, menggalakkan rasuah dan pengumpulan kekayaan secara berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan dan parti pemerintah. Layanan terhadap parti politik pembangkang juga tidakmenunjukkan rekod yang baik. Tokoh-tokoh politik pembangkang ditangkap dan dipenjarakan manakala parti pembangkang yang baru ditekan habis-habisan. Kumpulan pembangkang terbesar, Ikhwanul Muslimin telah dihalang daripada membabitkan diri dalam politik Mesir menyebabkan pergerakan itu menggabungkan diri dengan parti-parti lain yang menyediakan platform untuk mereka bergerak. Pada 2007, Amnesty International menyiarkan laporan yang mengkritik kerajaan Mesir kerana menahan secara tidak sah dan menyeksa tahanan. Mubarak dikenali kerana kemampuannya mengekang gerakan Islam di Mesir dan mendapat pujian Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Kejatuhan Mubarak dikaitkan dengan faktor ekonomi dan sosial. Aspek ekonomi ialah kegiatan ekonomi yang tidak berkembang dan rasuah yang berleluasa. Kedua-dua elemen ini menjadi magnet kepada pemuda-pemuda Arab untuk turun beramai-ramai ke Dataran Tahrir dan meledakkan kemarahan mereka. Aspek sosial amat berkait rapat dengan ekonomi di mana rakyat sudah bosan dengan kenaikan harga barang dan taraf hidup yang tidak banyak berubah. Kemiskinan juga Keadaan ini menekan mereka untuk membuat tuntutan supaya kehidupan ketika ini dibaiki. Selain kedua-dua aspek ini, Mubarak sebenarnya telah ditekan oleh George W. Bush pada tahun 2005 untuk membuat transformasi politik dan menjadikan proses pemilihan presiden lebih telus dan demokrasi.
Rusuhan dan bantahan jalanan yang dilakukan oleh pemuda-pemuda Mesir merupakan rumusan ke atas kegagalan Mubarak membuat perubahan ke atas rakyat negara itu selepas 30 tahun menjadi pemimpin. Pemuda-pemuda ini rata-ratanya terdedah kepada politik dunia menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat untuk mencetuskan kebangkitan aru di dunia Arab.
Biar pun Revolusi Jasmin di Tunisia memberi rangsangan kepada perubahan di Mesir, situasi yang berlaku ketika ini membuatkan beberapa buah negara Arab mula mengambil tindakan popular untuk menarik simpati rakyat. Jordan dan Algeria mulai resah kerana kebangkitan rakyat di Mesir bakal menggugat kedudukan pemerintah yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk menentukan corak pemerintahan sendiri. Di Jordan, Raja Abdullah telah memecat kabinet dan melantik bekas perdana menteri untuk memulakan reformasi politik.
Laungan ‘Pergi, pergi, pergi!’ akan terus bergema dan merentasi bumi Mesir untuk disambut oleh rakyat Jordan, Algeria dan negara-negara Arab lain kerana Mesir menjadi inspirasi kepada mereka untuk melakukan perubahan. Pengaruh media Mesir adalah meluas di dunia Arab. Klip video dan ulasan daripada tokoh-tokoh reformasi seperti Mohamed ElBaradei akan mula mendapat tempat di hati rakyat Arab dan selepas ini lebih ramai ‘ElBaradei’ akan muncul di tengah-tengah gerakan massa Timur Tengah.
Biar apa pun yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab lain, soal Palestin tidak boleh diketepikan kerana isu Timur Tengah adalah isu Palestin. Pengaruh Iran yang semakin melebar di Lubnan perlukan sebuah negara Arab yang dapat mengimbangi kuasa Iran. Amerika Syarikat perlukan sekutu yang dapat mengikut telunjuknya seperti yang dilakukan ke atas Iraq dan Afghanistan. Isu Palestin tidak akan selesai dengan undurnya Mubarak sebaliknya kesatuan umat Islam adalah resepi kepada kejayaan pembebasan Palestin.
Hosni Mubarak menjadi sejarah. Nasib rakyat Mesir tidak boleh ditentukan oleh Amerika Syarikat, Israel atau Kesatuan Eropah. Rakyat Mesir sendiri yag mesti menentukan hala tuju negara mereka selepas ini. Mesir yang maju, progresif dan memimpin dunia Arab sedang muncul. Kemunculan ‘Mesir baru’ akan memberi makna kepada kestabian politik dan kemakmuran ekonomi di Timur Tengah.
boleh saudara selitkan pendirian malaysia pula terhadap isu di algeria dan syria
ReplyDeletevannather said...
ReplyDeleteboleh saudara selitkan pendirian malaysia pula terhadap isu di algeria dan syria