Selepas berdolak-dalih selama 18 hari, Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengundurkan diri. Slogan ‘Pergi, pergi, pergi!’ menjadi kenyataan. Slogan keramat ini berdesing di sekeliling telinga Mubarak setiap malam, namun belum dapat meredakan kerisauan hati pemimpin ini. Mula-mulanya beliau enggan mengundurkan diri walaupun desakan demi desakan dilakukan di Dataran Tahrir, kemudian Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama membuat gesaan untuk Mubarak mempercepatkan proses transformasi. Masih juga pemimpin ini enggan berundur. Dalam ucapan penting di khalayak yang berkumpul di tengah-tengah pusat Kaherah, beliau hanya menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Timbalan Presiden dengan dirinya masih berkuasa.
Kekecewaan dilihat pada wajah-wajah rakyat Mesir yang mahu melihat Mubarak meletakkan jawatan dan berundur dari jawatannya. Tindakan Mubarak ini mengundang amarah dan mengundang lebih ramai rakyat Mesir untuk turun ke jalan raya dan meminta presiden yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun itu turun dari takhta keagungannya. Dua hari seterusnya, Mubarak tidak lagi dapat menahan kehendak rakyat Mesir lalu mengusulkan pengundurannya dari singgahsana selama tiga dekad dengan tindakan tidak bertanggungjawab. Apabila mendapat kuasa beliau berhadapan dengan rakyatnya sendiri, namun setelah hilang kuasa selepas melakukan pelbagai kerosakan sosial ekonomi dan politik, beliau hilang begitu sahaja tanpa berani berdepan dengan rakyat Mesir.
Banyak cerita yang boleh dijangkakan dalam tempoh 18 hari Mubarak berhadapan dengan rakyatnya. Sebagai seorang pemimpin yang telah lama bergelumang dengan kuasa dan kekayaan, hartanya yang dianggarkan sebanyak $40 bilion hingga $70 bilion memang susah hendak dibawa lari dalam satu hari. Apatah lagi Switzerland telah membekukan aset Mubarak. Kekayaan dalam bentuk bukan wang seperti hartanah, kediaman mewah dan kenderaan sudah tentu mengambil masa untuk dipindah milik.
Selepas harta, ahli keluarganya pula bersiap sedia untuk merancang kehidupan baru di bumi orang kerana bumi Mesir tidak lagi ingin kepada penguasa yang zalim dan menindas rakyat marhain. Berkoyan-koyan wang yang dikumpulkan selama 30 tahun akan digunakan untuk kehidupan baru mereka. Jumlah $40 bilion mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dihabiskan bahkan mungkin sampai ke anak cucu.
Sepanjang pemerintahan Mubarak, beliau mengumpulkan kekayaan melalui aktiviti ekonomi negara. Bagaimana seorang pegawai tentera mampu mengumpulkan kekayaan sedangkan beliau tidak terlibat dengan bisnes? Inilah dikatakan kaitan di antara kuasa dan kekayaan. Apabila kuasa berada di hadapan mata, semua khazanah negara dikebas, pemimpin politik dan pegawai tentera dibelai dengan kesenangan hidup.
Mesir selepas Mubarak dalam kedaaan kelam-kabut. Walaupun pihak tentera mengambil alih pentadbiran, pemilihan presiden yang baru tentu diperhati dengan dekat oleh Amerika Syarikat , Israel, negara-negara Islam dan tetangga yang lain. Andai kata presiden ini tidak menepati kehendak rakyat, mungkin kebangkitan kedua akan berulang kembali.
No comments:
Post a Comment