Kejadian banjir yang kerap berlaku memberi kesan kepada kualiti hidup masyarakat. Bebanan yang ditanggung telah mengukuhkan persepsi orang ramai bahawa setiap kali banjir, kos hidup akan meningkat. Kenaikan harga barangan keperluan tidak dapat dielakkan lagi kerana permintaan melebihi penawaran menyebabkan golongan berpendapatan rendah bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya.
Kejadian banjir yang berlaku pada akhir tahun lalu melibatkan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Keadaan yang sama berulang kembali pada awal tahun ini yang melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. Jika sebelum ini hanya Kelantan dan Terengganu yang sering kali dilanda banjir, keadaan telah berubah kerana hampir separuh Semenanjung Malaysia telah dan sedang berhadapan dengan banjir.
Baru-baru ini Bank Pembangunan Asia (ADB) telah mengeluarkan laporan yang memberi amaran kepada kerajaan negara-negara Asia bahawa kegagalan menyediakan pergerakan yang pantas dan cekap kepada penduduk yang terlibat dengan banjir akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang berpanjangan. Justeru negara-negara Asia mesti bersedia untukmenguruskan beribu-ribu perpindahan rakyat masing-masing dari kawasan bencana ke kawasan yang lebih selamat malahan merentas sempadan diakibatkan oleh perubahan cuaca yang terlalu ekstrem ketika ini. Sehingga kini, 89 peratus daripada 207 juta penduduk dunia yang mengalami bencana alam adalah terdiri daripada penduduk di benua Asia.
Para penyelidik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersetuju dengan kenyataan bahawa tahun 2010 adalah tahun yang paling teruk akibat bencana alam di seluruh dunia.
Di Malaysia, kejadian banjir yang berlaku setiap tahun telah memberi kesan besar kepada cara berfikir dan bertindak agensi-agensi kerajaan yang memberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan. Dari semasa ke semasa agensi-agensi ini memperkemaskan operasi menyelamat dan mengurus pusat pemindahan. Pertambahan dana untuk memberi peralatan ketika operasi banjir telah meningkatkan kecekapan mereka melaksanakan operasi menyelamat, manakala kemahiran mengendalikan kerenah mangsa juga semakin baik. Contohnya, ketika banjir di Alor Gajah baru-baru ini, tindakan pantas Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela telah membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda mangsa banjir. Tindakan pantas agensi-agensi ini telah mengurangkan panik mangsa banjir. Sekiranya tidak ada kesepaduan dalam operasi menyelamat ini, mangsa banjir akan mengalami tekanan berganda. Pertama kerana terpaksa meninggalkan rumah tanpa sempat menyelamatkan harta benda, keduanya ialah keselamatan nyawa juga terancam kerana ada mangsa yang menghadapi penyakit kronik, hilang upaya dan tekanan mental yang muncul secara mendadak.
Keadaan mangsa pasca banjir berubah sama sekali. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang mula berfikir untuk menjual rumah dan berpindah ke tempat lain yang lebih tinggi dan selamat. Harga hartanah untuk kawasan perumahan di tempat tinggi dan jauh dari masalah banjir dan tanah runtuh mungkin meningkat secara mendadak selepas ini apabila masyarakat mula memikirkan tempat tinggal yang bebas dari bencana alam. Bandar-bandar baru dan moden yang sedang dibangunkan ketika ini akan dinilai sepenuhnya oleh bakal pembeli kerana mereka merasakan biarlah wang yang dilaburkan untuk membeli rumah baru akan memberi kesan keselesaan yang berpanjangan dalam hidup mereka.
No comments:
Post a Comment