Bahagia adalah ramuan hidup. Ia tidak wujud sendirian kerana banyak perkara yang membentuk rasa bahagia ini. Ada orang yang memiliki kekayaan demi kekayaan, namun rumah tangganya berkecai-berai. Ada orang yang mengecapi status sosial yang hebat dalam masyarakat, namun di rumah sendiri, hatinya kosong daripada kasih sayang isteri dan anak-anak.
Bagaimana membentuk bahagia dalam hidup?
Paling utama dan pertama ialah lupakan isu-isu dan masalah lepas yang menjadi belenggu hidup. Lupakan dan maafkan kesalahan, kesilapan atau perlakuan buruk orang lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ kehidupan yang sedang kita lalui. Kata-kata nista, cacian atau cemuhan yang disimpan, lama-kelamaan akan menjadikan diri kita lebih sengsara.
Benci adalah barah pemikiran yang mempercepatkan pelbagai masalah kesihatan. Kehidupan sangat pendek untuk membenci orang lain. Tukar benci kepada sayang supaya ia memberi tenaga untuk kita meneruskan persahabatan dengan semua orang.
Orang tua sangat berharga untuk kita sayangi dan hargai. Lebihkan banyak masa untuk mereka yang berumur lebih 70 tahun kerana orang tua memberi iktibar yang sangat berguna bagi mengembangkan pengalaman hidup kita kelak. Salah satu sifat yang sangat baik ialah sabar. Dalam pada itu, kanak-kanak berumur di bawah 6 tahun pula boleh memberi pengalaman bahagia kerana kanak-kanak tidak banyak masalah untuk mereka fikirkan. Jadi, hidup mereka penuh keceriaan dan wajah mereka juga sangat bercahaya. Rasulullah saw juga menunjukkan cara melayan kanak-kanak iaitu mencium mereka setiap kali bertemu, kadang kala baginda saw mengusap-usap rambut sebagai tanda sayang.
Akhir sekali, letakkan Tuhan pada tempat pertama dalam hidup, dalam pemikiran, perbualan dan tindakan yang akan dilaksanakan. Fikirkan Tuhan dapat meredakan kegelisahan kerana apa sahaja yang berlaku dalam hidup pada hakikatnya telah disusun. Andai kata kita diuji, itulah tanda kasih sayang Tuhan kepada kita dan Dia ingin menjadikan hidup kita lebih baik dan bahagia pada masa depan.
No comments:
Post a Comment