Slogan yang sangat baik dan boleh menjadi inspirasi berdakwah ialah ‘baiki diri dan seru orang lain’. Sama ada untuk individu atau organisasi, ia boleh diguna pakai bagi menggerakkan usaha-usaha dakwah. Membantu diri perlukan persiapan dalam banyak perkara seperti pembinaan akhlak yang mantap, pengetahuan yang luas dan kemahiran berunding manakala menyeru orang lain lebih mudah jika memahami bagaimana jaringan sosial berfungsi.
Rasulullah saw menyeru masyarakat kepada Islam bermula dengan seorang diri diikuti orang-orang yang berada di sekitarnya. Kaedah ini lebih berkesan kerana ahli keluarga dan kenalan sangat mengetahui latar belakang dan peribadi baginda saw. Seterusnya dakwah Islam berkembang ke seluruh Semenanjung Arab dan di dunia Timur dan Barat.
Mustafa Mahsyur turut menyeru kepada dakwah dengan menggunakan slogan yang sama.
Apa yang akan terjadi jika juru dakwah hanya membaiki diri supaya lebih trampil? Jawabnya ialah tanpa menyeru orang lain, tidak akan muncul rasa keimanan dalam hati. Ia kaku dan pasif kerana dakwah bersifat dinamik serta memberi pengalaman kerohanian.
Hari ini dakwah telah menjadi fardhu ‘ain kerana kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja dan belia semakin rendah. Wujudnya golongan mat rempit, bohsia, bohjan, punk dan sebagainya adalah kerana implikasi daripada pengabaian terhadap dakwah. Gerak kerja dakwah mesti direncanakan dengan sebaik-baiknya supaya golongan muda dapat merasai nikmat hidup di bawah naungan Islam. Institusi-institusi agama wajar melihat kembali strategi dakwah yang diguna pakai supaya kaedahnya selari dengan cabaran-cabaran masa kini.
Usaha-usaha dakwah amat berat jika dilakukan seorang diri. Justeru, bergerak secara kolektif adalah lebih baik dan berterusan kerana lebih banyak tenaga kerja dapat digemblengkan. Hari ini, komunikasi tidak menjadi masalah atau halangan kerana banyak alat telekomunikasi yang boleh dipilih. Masa depan dakwah bergantung pada kemahuan dan tindakan bijak juru dakwah.
No comments:
Post a Comment