Daripada jumlah 338,400 orang penduduk Brunei, terdapat 261,800 orang yang berumur di bawah 39 tahun. Jumlah ini membentuk 77.4 peratus daripada keseluruhan penduduk negara berkenaan. Taburan banci tahun 2000 menyatakan kadar pengangguran telah meningkat kepada 4.6 peratus (lebih 6,500 orang) iaitu satu jumlah yang tinggi jika dibandingkan dengan kadar 2.6 peratus pada tahun 1993. Menurut Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, dalam kalangan belia yang berumur 15 hingga 19 tahun, mereka tidak meneruskan persekolahan formal menyebabkan 41 peratus daripada kelompok ini tidak memberi sumbangan yang signifikan dalam aktiviti ekonomi diri dan keluarga. Bagi belia dalam kelompok umur 20 hingga 24 tahun pula, 18 peratus daripadanya merupakan penganggur.
Senario golongan belia yang tidak berminat dengan kerja berada di semua negara termasuk Amerika Syarikat dan Jepun. Ada dalam kalangan mereka ini yang memiliki tahap pendidikan yang baik namun masih mengharapkan keluarga untuk makan dan minum. Namun masalah utama pengangguran yang semakin meningkat ialah tahap kebergantungan kepada pekerjaan di sektor awam yang tinggi dan kurangnya pendedahan kepada budaya keusahawan hingga melunturkan keinginan untuk berdikari.
Apabila peluang-peluang pekerjaan di dalam negara semakin mengecil kerana persaingan, ruang yang paling baik untuk memiliki pekerjaan ialah mencari kerja di negara luar. Pergerakan tenaga kerja dan modal insan yang merentas sempadan sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat di negara-negara yang berpenduduk padat seperti India, China, Pakistan atau Bangladesh tetapi masih menjadi trend baru dalam kalangan negara kecil seperti Brunei. Dengan jumlah penduduk yang sedikit, berhijrah ke negara lain untuk mencari peluang kerja yang lebih baik jarang menjadi pilihan.
Banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh pencari-pencari kerja di negara idaman mereka sama ada memiliki tahap pendidikan yang tinggi atau rendah. Sesetengah orang memang bertuah apabila mendapat majikan yang baik dan prihatin. Selepas membuat keputusan menerima kerja dan melaporkan diri, mereka terus memulakan tugas dengan kemudahan tempat tinggal dan kenderaan. Hati mereka sentiasa dalam keadaan tenang dan bahagia. Fikiran juga tidak rungsing memikirkan kebajikan selama berada di negara orang.
Ada pula mereka yang berjaya mendapat pekerjaan namun berhadapan dengan sikap majikan yang kurang mengambil berat kebajikan pekerja seperti melengah-lengahkan masa untuk memohon permit kerja, tidak ambil peduli tempat tinggal dan tidak memikirkan kesusahan yang dihadapi oleh pekerja ketika membuat keputusan untuk datang mencari kerja. Keadaan seperti ini menjadikan kehidupan pekerja tidak stabil kerana banyak perkara asas yang perlu diselesaikan seperti mencari rumah, menguruskan keluarga dan mencari kenderaan untuk pergi ke tempat kerja.
Seorang penganggur dan berhasrat mencari kerja mesti memiliki sifat tabah dan cekal ketika menempuh saat-saat susah dalam fasa kehidupan mereka. Jika tidak, nasib mereka akan menjadi lebih teruk kerana meletakkan diri dalam keadaan tertekan dan tidak mampu berfikir untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi diri sendiri. Sifat lain ialah sedia menghadapi risiko untuk bertindak dengan kreatif pada bila-bila masa.
Berada di negara orang, segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Pengalaman, tahap pendidikan dan kemahiran bersosial adalah penyelamat kepada keadaan 'rusa masuk kampung' kerana ketiga-tiga unsur ini akan mencetuskan idea untuk survive di tempat yang baru. Andai diri sendiri memiliki semangat juang dan mahu mencuba sesuatu yang baru serta berkobar-kobar menghadapi cabaran, di sinilah medan yang bakal menguji seluruh kepintaran mereka.
Menganggur tidak memberi banyak kelebihan kepada pembangunan diri, keluarga dan negara. Bagi seorang graduan universiti yang baru melangkah ke alam pekerjaan, majikan akan mengutamakan pengalaman kerja sebelum dipanggil temuduga. Soalnya, bagaimana mahu ada pengalaman sedangkan baru selesai belajar? Di sinilah kepintaran berfikir menguji keupayaan dalam bertindak. Jika majikan inginkan pengalaman kerja, graduan berkenaan mestilah berusaha tanpa rasa rendah diri dan malu untuk melakukan kerja-kerja sambilan. Barangkali kerja-kerja ini memenatkan, bergelumang dengan kekotoran atau suasana persekitaran kerja yang tidak kondusif, namun pengalaman merasai suasana kerja itulah yang lebih penting. Ini kerana dalam dunia pekerjaan bermacam-macam situasi boleh berlaku.
Ketika menghadiri temuduga untuk jawatan akademik di sebuah institusi pengajian tinggi, saya berbual-bual dengan seorang calon wanita bagi jawatan guru bahasa Inggeris. Daripada perbualan tersebut, wanita ini baru sahaja menamatkan pengajian. Di sisinya terdapat laporan akhir ijazah muda yang berwarna ungu. Fikir saya, mungkin untuk ditunjukkan kepada panel temuduga nanti. Selepas namanya dipanggil masuk ke bilik temuduga, saya dan beberapa orang rakan yang lain berbual-bual mengenai bentuk soalan yang bakal ditanya kepada kami. Selang sepuluh minit, wanita tadi muncul dengan wajah yang agak terkejut dan kelihatan pucat. Dia hanya berkata 'good luck' dan berlalu pergi. Besar kemungkinan dia yakin akan gagal dalam temuduga.
Lalu kami membuat beberapa kesimpulan. Antaranya mungkin disebabkan kemahiran mengajar perlukan beberapa kemahiran khusus, wanita berkenaan pastilah belum ada pengalaman yang banyak memandangkan baru menamatkan pengajian. Salah seorang rakan saya pun berkata, 'Lebih baik kalau dia mencari dulu pekerjaan yang berkaitan dengan pengajaran ... mungkin jadi guru tuisyen, editor ataupun mohon jadi guru sambilan.'
Gagal mendapat pekerjaan setelah menghadiri temuduga bukanlah kegagalan yang berterusan. Keadaan ini hanya benar kepada mereka yang enggan berusaha untuk mencari kerja. Namun bagi mereka memahami bahawa kejayaan datang bersama usaha, berkali-kali gagal adalah lumrah kerana Allah swt ingin menguji kesabaran dan ketabahan seseorang. Kegagalan adalah enggan mencuba. Untuk berjaya, seorang penganggur mesti mencuba sama kecil atau besar usaha berkenaan. Dalam mencuba ini, perlu juga disertai kreativiti dan kemahiran berunding supaya apa yang dikehendaki akan menjadi kenyataan.
Menjadi jurujual adalah pekerjaan paling mudah ketika menganggur kerana tidak perlukan modal yang besar. Persamaan setiap jurujual ialah pasti pernah menerima penolakan. Orang tidak berkenan, mengherdik atau meninggikan suara adalah watak-watak yang perlu dihadapi. Bagi seorang jurujual yang tabah dan ada cita-cita beliau akan terus menerima kritikan dan belajar daripada setiap kesilapan lalu. Apabila dipanggil untuk temuduga bagi jawatan yang layak untuknya, di sinilah segala kemahiran yang dipelajari selama menjadi jurujual berkenaan akan terserlah. Insya Allah, jika rezekinya, dia akan mendapat jawatan yang diidam-idamkan.
Menganggur memberi tekanan kepada diri sendiri dan keluarga. Di mana sahaja kita berada, berusaha sendiri adalah langkah yang terbaik tanpa bergantung kepada orang lain. Merancang, berfikir dan bertindak tidak memerlukan kepakaran yang hebat kerana yang penting ialah kemahuan diri untuk berjaya dan mencapai matlamat. Orang yang berjaya menunjukkan hasil, orang gagal memberikan seribu alasan.
No comments:
Post a Comment