Mencari wang dan kekayaan dunia memang menjadi impian setiap orang. Di negara kita, orang paling kaya ialah Robert Kuok Hock Nien dengan jumlah hartanya RM42.7 bilion, satu jumlah yang sangat besar dan mengambil masa yang agak lama untuk dikira. Orang yang paling hampir dengannya ialah T. Ananda Krishnan dengan jumlah kekayaan RM27.0 bilion. Jika dibandingkan kedua-dua jutawan ini, Ananda Krishnan perlu berusaha lebih kuat untuk menyamai kekayaan Robert Kuok.
Menilai kekayaan harta dan wang ringgit lebih mudah berbanding kaya hati atau kaya jiwa. Harta dan wang boleh dilihat, dipegang dan dibilang satu per satu tetapi hati dan jiwa tidak boleh dibuat begitu. Ia hanya dapat dirasa.
Bagaimana kehidupan orang kaya-raya agaknya? Adakah mereka turut kaya hati dan jiwa? Bagaimana hendak ukur kekayaan hati dan jiwa ini? Siapakah pula yang layak mengukurnya?
Dalam sejarah dunia dari dulu hingga sekarang, orang yang kaya-raya sering menjadi perhatian kerana keadaan hidup mereka. Raja-raja Mesir yang digelar firaun hidup dalam kekuasaan hingga meninggalkan tugu piramid kepada kita. Namun al-quran menceritakan kepada kita terdapat firaun yang mati kelemasan kerana ingkar dengan ajaran para nabi dan rasul.
Si kaya yang tamak, Qarun, turut mati kerana terlalu asyik dengan harta. Kisahnya juga diabadikan dalam al-quran.
Kisah Raja Midas yang ingin melihat semua benda yang disentuh menjadi emas, sering menjadi bahan cerita buku kanak-kanak kerana kehidupan yang di kelilingi emas tidak memberi kebahagiaan kepadanya.
Gelojoh menjadi kaya ini menyebabkan seseorang sanggup bertindak di luar kebiasaan. Asalkan dapat apa yang dikehendaki, undang-undang dan peraturan boleh di ketepi. Kisah seorang setiausaha politik yang mengumpul kekayaan segera RM2 juta dan beberapa buah kereta mewah adalah contoh sifat tamak hendak cepat kaya. Gaji dan elaun orang politik tidak banyak tetapi dengan kuasa, dia boleh menjadi kaya dengan cepat.
Kaya harta belum tentu menjadi jaminan untuk masuk syurga Allah swt. Dalam kalangan orang awam, hanya Abdul Rahman bin Auf yang diketahui akan masuk syurga. Itupun dengan merangkak-rangkak kerana sulitnya untuk menilai ke mana hartanya diagihkan. Biarpun merangkak, dia tetap masuk syurga. Kita yang tidak kaya dan setiap hari bekerja inipun belum tentu tahu nasib kesudahan kita di akhirat.
Justeru, sama ada kaya atau miskin, belum tentu dapat masuk syurga.
No comments:
Post a Comment