Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Brunei, selepas lima tahun lalu, kini, kedatangan saya ke negara itu dirasakan seolah-olah baru sebulan lepas kembali ke negara sendiri. Umpama kilat, kenangan silam ketika bekerja di sini muncul silih berganti tanpa dapat dihalang. Beberapa wajah rakan-rakan sama ada yang masih di Brunei ataupun telah kembali ke negara asal berlegar-legar di ruang fikiran saya. Rakan-rakan yang sama-sama tinggal di Kampung Mata-Mata, Gadong, seperti Zaid dan Fauzi Limbang tidak lekang dari fikiran.
Begitu juga tempat-tempat tumpuan kami untuk makan dan minum bersama mengimbau kembali detik-detik suka bersama. Restoran Tasek Merimbun, Seri Zamrud dan Mameh di Bunut menjadi nostalgia yang sukar dilupakan.
Brunei telah menunjukkan perkembangan pembangunan yang agak cepat dalam tempoh lima tahun yang lalu. Banyak bangunan dan lot kedai didirikan sebagai bukti semakin ramai masyarakat di sini menunjukkan minat memasuki dunia perniagaan yang mencabar. Bagi membangunkan masyarakat Melayu yang menjadi usahawan berjaya, lebih banyak usaha agresif perlu dilakukan untuk memperkasa kemahiran dan menambah jaringan sosial khususnya bakal usahawan muda. Kehadiran ramai pekerja asing yang melibatkan diri dalam kerja-kerja perburuhan wajar menjadi cabaran kepada kerajaan untuk meningkatkan tahap pengetahuan teknikal golongan muda supaya mereka dapat memasuki dunia industri yang bertahap tinggi di samping mengusahakan bisnes yang berorientasi eksport.
Cabaran-cabaran kerja bagi golongan muda dalam perniagaan ini sepatutnya dikongsi bersama oleh kerajaan dan persatuan usahawan supaya mereka dibimbing dan diberi galakan untuk cekal dalam bisnes yang diceburi. Dengan kaedah ini, kadar pengangguran yang sedia ada dapat dikurangkan. Ia juga mampu menjana golongan belia yang memiliki inisiatif sendiri berbanding mengharapkan bantuan kerajaan.
No comments:
Post a Comment