Thursday, February 25, 2010

1Malaysia ke arah memupuk perpaduan (2)

Apabila kumpulan-kumpulan etnik boleh hidup bersama dalam satu jangka masa yang panjang, mereka mungkin bergerak ke arah penyatuan kumpulan, terus mengekalkan perbezaan atau membesar-besarkan perbezaan di atas. Masyarakat pelbagai etnik yang sedemikian mungkin sedang menuju ke arah integrasi atau pemisahan melalui proses asimilasi atau pemajmukan.

Konsep yang paling utama ialah kumpulan etnik dan ras.

Ciri-ciri kumpulan etnik

Kumpulan atau kategori etnik digunakan untuk merujuk secara asasnya kepada warisan sosiobudaya seseorang itu. Antara ciri konsep etnik ialah budaya, adat, bahasa, agama, negara asal, dan lain-lain. Kumpulan etnik ialah kumpulan yang ahlinya memiliki satu set ciri sosiobudaya yang tersendiri ini.

Melvin Tumin mentakrifkan kumpulan etnik sebagai ‘satu kumpulan sosial yang wujud dalam satu sistem sosial dan kebudayaan yang besar dengan menuntut atau diperakui dengan status istimewa dari segi satu ciri etnik yang kompleks yang ditonjolkan atau dipercayai ada memilikinya’.

Mengikut J. Milton Yinger pula satu kumpulan wujud dalam erti kata sebenar apabila ‘satu segmen dari masyarakat besar dilihat oleh orang lain sebagai berbeza dengan beberapa kombinasi dalam ciri-ciri berikut - bahasa, agama, ras dan negara nenek moyang bersama adat dan kebudayaan yang berkaitan; ahli-ahli kumpulan ini pun melihat diri mereka sedemikian, dan mereka melibatkan diri dalam kegiatan yang dikongsi bersama berdasarkan asal usul keturunan atau kebudayaan yang sama (sebenar atau buatan)’. Pandangan Yinger ini ada kaitan dengan pemerhatian umum semenjak dulu kala yang memperlihatkan ahli-ahli keluarga sering kali serupa satu sama lain dari segi rupa paras dan tingkah laku jika dibandingkan dengan mereka yang tiada ikatan keluarga.

Ciri-ciri kumpulan ras

Pada hari ini, kumpulan atau kategori ras dirujukkan kepada warisan fizikal diri seseorang itu seperti warna kulit, bentuk rambut, bentuk muka, dan lain-lain.

Konsep ‘ras’ dari perspektif biologi tidak begitu diutamakan oleh sarjana sains sosial. Perspektif sedemikian dipentingkan oleh sarjana biologi dan antropologi fizikal. Dari perspektif sosiologi, kumpulan ras secara sosial didefinisikan sebagai satu kumpulan yang dilihat oleh ahli-ahli kumpulan itu dan orang lain sebagai kumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri biologi yang tersendiri, tanpa mengira sama ada mereka itu sebenarnya merupakan satu kumpulan biologi yang tersendiri atau tidak.

Definisi perpaduan

Perpaduan ditakrifkan sebagai gabungan dua atau lebih unsur, elemen atau bahagian untuk menjadi satu. Dalam konteks negara, perpaduan ialah gabungan kumpulan etnik untuk bernaung di bawah satu bendera, menggunakan satu bahasa dan satu budaya. Kesetiaan adalah nilai yang diutamakan apabila masyarakat pelbagai etnik ini bersetuju untuk membentuk sebuah negara.

Dalam mesyuarat panel penasihat perpaduan negara 1992, perpaduan di Malaysia ditakrifkan sebagai ‘satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan dan Rukunegara’.

Di Malaysia, integrasi adalah lebih signifikan berbanding asimilasi kerana setiap etnik utama membentuk peratusan penduduk yang besar. Justeru asas kepada perpaduan ialah integrasi di mana setiap etnik bergerak ke arah penyesuaian diri, bertolak ansur dan dalam sesetengah keadaan terpaksa melupakan pengenalan atau identiti etniknya. Mereka juga digalak untuk melupakan asal usul negara masing-masing demi kepentingan bersama di negara baru. Peranan integrasi ialah memupuk persefahaman, membina toleransi dan harmoni serta meningkatkan kerjasama menang-menang dalam menguruskan negara.

Sehingga kini integrasi dilihat membawa banyak kejayaan kepada Malaysia kerana dapat menguruskan kepelbagaian etnik yang membantu mempercepatkan proses kemodenan negara. Selepas 13 Mei 1969, tidak ada konflik besar yang berasaskan perkauman kerana wujudnya persefahaman yang kental khususnya di kalangan pemimpin kaum dan keberkesanan agensi penguatkuasa mengekang rebakan api perkauman.

Bagi menilai pelaksanaan ke arah perpaduan rakyat Malaysia, dua petunjuk diambil kira untuk menggambarkan proses integrasi dan tahap toleransi iaitu dasar kerajaan dan perkaitannya dan perkara yang tidak berkaitan dengan dasar kerajaan.

No comments:

Post a Comment